“Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan pengampunan dari sisi-Mu, dan sayangilah aku, kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
“Ya Allah, jadikan aku perantara rezekimu untuk aku berbagi dengan yang lain dan jadikanlah hatiku seluas samudera yang indah”.
Allahumma Ameen
Alhamdulillah. Segala puji-pujian buat Allah, dengan pujian yang melimpah ruah, agung serta penuh keberkahan buat-Nya. Syukur di atas ‘Segala Nikmat Kurniaan‘ yang dicurahkan tanpa henti dan sungguh, tiada satu pun nikmat kurniaan-Mu yang aku dustakan Ya Rabb.
Bersyukur saat mendapat nikmat malah ku syukuri jua di saat diri ditimpa musibah kerana daku percaya musibah itu sangat mungkin terjadi kerana Allah menginginkan kebaikan untuk diri hambaNya.
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” (Surah al-Ankabut : 2)
Ujian itu tanda sapaan Allah, maka bersyukurlah!
Saudaraku, berdakwah dan mengajak orang lain ke arah kebaikan bukan bermakna kita sudah baik atau ingin menunjuk baik. Tetapi, itulah antara usaha kita untuk menjadi baik sebenarnya.
Seperti mana yang diperingatkan oleh Imam Hassan Al-Banna;
“Apabila membasuh pinggan kita akan memiliki dua keadaan iaitu,
- Pertama – Pinggan itu bersih
- Kedua – Tangan kita pun bersih
Begitu jugalah dalam diri kehidupan kita. Tatkala kita mengajak orang lain ke arah kebaikan, kita sebenarnnya membersihkan diri kita pada masa yang sama.”
Subhanallah. Teruskan berjuang untuk mencapai redha Allah. Semoga Allah mengurniakan kejayaan juga kekayaan buat dunia dan akhirat untuk Anda semua.
Berdakwah bukan menunjukkan kita ini Alim tetapi kerana kita adalah Muslim
Solat Sunat Dhuha
Solat ini boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya. Jangan sesekali meninggalkannya. Allahu, manfaatnya sangat besar buat sekalian hamba-Nya.
Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda; “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Apakah Kelebihan Dhuha Kepada Kita?
- Sebagai wasiat dan sunnah Rasulullah
Rasulullah SAW berwasiat kepada umatnya untuk merutinkan solat sunat dhuha.
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya. Abu Hurairah pernah berkata; “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”
- Dibangunkan sebuah rumah di syurga
Bagi golongan yang rajin mengerjakan dhuha juga akan dibangunkan sebuah rumah untuknya di dalam syurga.
Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW;
Barangsiapa yang solat Dhuha empat rakaat dan qabliyah Zuhur empat rakaat, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis Riwayat al-Thabrani)
- Mendapat rezeki dengan segera
Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda;
Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)
- Mendapat pahala umrah
Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib : 673)
- Mendapat keampunan dosa terdahulu
Barangsiapa yang menjaga solat dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

- Ganjaran Besar Menanti
Pada awal surah Ad-Dhuha, Allah berfirman; “Demi waktu dhuha”.
Imam Arrazi menerangkan bahawa jika Allah SWT bersumpah dengan setiap sesuatu, itu menunjukkan hal yang agung dan besar kelebihannya.
Ini bermaksud dhuha adalah waktu yang sangat penting.
Oleh itu, sudah jelas akan kelebihan-kelebihan solat sunat dhuha ini dan betapa besarnya ganjaran kepada sesiapa yang menunaikan solat sunat ini. Bahkan lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang istiqamah mengerjakannya.
Semoga Solat Sunat Dhuha ini menjadi sebahagian daripada amalan hidup dalam mencari keredhaan Allah SWT.
Allahumma Ya Rahman Ya Rahim Ya Mujib,
Jadikanlah kami menjadi sebaik-baiknya Hamba-Mu dan jauhkan kami dari kelalaian, kekufuran, kefakiran serta melakukan sebarang kemaksiatan. Allahumma Ameen
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.