Guru Ibarat EMAS, merupakan suatu analogi yang sangat indah dan penuh bermakna. Jika dilihat sifat-sifat fizikal dan nilai EMAS itu sendiri sangat bertepatan dengan peranan, pengorbanan, dan karisma seorang pendidik bukan?
Alhamdulillah,
Menghampiri usia separuh abad, saya menemui pelbagai manusia hebat yang mewarnai lanskap kehidupan yang penuh gemilang seiring usia bermulanya kali pertama menghirup nafas anugerah Yang Maha Esa.
Melalui pendidikan formal yang bermula di sekolah rendah dan menengah sehinggalah pengajian tinggi berkaitan teknikal, ianya tidak terbatas pengajian di dalam kelas melainkan kombinasi dari tiga ranah utama iaitu pengetahuan, keterampilan dan pembentukan karakter.
Melalui ilmu spiritual, saya diajar akan pencarian makna hidup, mengenal diri juga bagaimana untuk dekat kepada Sang Pencipta.
Tidak dengan itu, alam pekerjaan yang saya anggap sebagai “Universiti Kedua” juga mengajar saya bagaimana mematangkan pengalaman, kemahiran dan ketrampilan dalam mengendalikan sesuatu tugasan yang di amanahkan serta sedikit sebanyak mengawal emosi, masa, kebijaksanaan politik dalaman, komunikasi dan permasalahan yang tidak diduga.
Namun disebalik semua itu, GURU TERHEBAT yang TIDAK sesekali saya lupakan adalah Arwah Bondaku Maimon Bt Baharum (al-fatihah di baca) dan Ayahandaku Jamil Ali. Pengiktirafan ini sememangnya amat wajar buat mereka berdua kerana berjaya membentuk asas keperibadian dan mencorakkan pemikiran saya sebagai anaknya melalui pengajaran berterus sejak saya lahir melalui TELADAN dengan penuh KASIH SAYANG TANPA SYARAT dan KESABARAN.
Ayahanda dan Bonda tahu akan potensi setiap anak-anaknya dan dari situlah pembentukan nilai murni dan moral diterapkan.
Jauh dari sudut hati,
JANGAN sesekali kita nafikan kehidupan dan alam ini yang tidak sesekali berhenti mengajar kita tanpa kita sedari.
Alam semesta dan kehidupan adalah madrasah terbesar yang diciptakan Allah SWT untuk para hamba-Nya. Sebagai Muslim, setiap detik kehidupan dan setiap sudut alam bukan sekadar fenomena alamiah, melainkan ayat-ayat kauniyah (tanda-tanda kekuasaan Allah yang tercipta) yang sarat dengan pengajaran buat mereka yang mengerti.
Kerana itu,
Jika EMAS FIZIKAL menjadi hiasan di badan, SANG GURU pula adalah “EMAS” yang menghiasi akal dan keperibadian manusia. Tanpa kilauan ilmu daripada seorang GURU, maka gelaplah masa depan sesebuah generasi.
Ya Allah,
Ampunilah guru-guru kami dan orang yang telah mengajar kami, rahmatilah mereka, berilah kesejahteraan kepada mereka, dan ampunilah kesalahan mereka, Allahumma Ameen.
Muhammad Yuhailmy (AbuAdam)
