Selawat Fatih – Permata Yaqut Yang Sangat Berharga

Memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW dapat menyemarakkan kecintaaan dan kerinduan kita terhadapnya dan sebagai satu jalan untuk meraih keredhan Allah SWT.

Pada kali ini kita akan membincangkan salah satu dari galaksi selawat yang mempunyai kesan dan impak yang besar kepada rohani iaitu ‘Selawat Al Fatih‘.

Ertinya: “Ya Allah berikanlah selawat kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang menutupi apa-apa yang terdahulu,penolong kebenaran dengan kebenaran yang memberi petunjuk ke arah jalan yang lurus. Dan kepada keluarganya, sebenar-benar kemuliaan padanya dan kedudukan yang amat mulia.”

Selawat ini disusun oleh al-‘Arif al-Kabir Sayyid Muhammad al -Bakri, salah seorang dari keturunan Rasulullah SAW.

Selawat al-Fatih adalah salah satu ciri khas dari Tarekat Tijani. Di antara keistimewaan selawat Fatih ialah lafaznya yang tidak menyimpang dari ayat atau kandungan Al quran, tetapi harus diingat bahawa Selawat al-Fatih bukan sebahagian dari ayat Al quran.

Syeikh Ahmad Tijani ra. belum pernah memberi suatu pernyataan sedikitpun bahawa Selawat al-Fatih itu sebahagian dari ayat Al-Quran, kitabullah, hadis qudsi atau wahyu kenabian. Cuma dinyatakan konteksnya adalah tidak lari dari kandungan ajaran al-Quran dan Hadis.

Beliau juga belum pernah menyatakan Selawat al-Fatih lebih utama dari Al-Quran atau mengimbanginya. Tidak ada satu kalam pun yang melebihi Al quran, begitulah yang ditegaskan oleh Syeikh Ahmad Tijani.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW ada yang menggunakan wasallam /wasallim dan ada yang tidak menggunakannya.

Ketika Syeikh Ahmad bin Muhammad ditanya; Mengapa Selawat al-Fatih tidak ada wasallim-nya ?

Beliau menjawab;
“Haakazaa minal ghaaib” (demikianlah dari al-ghaib).

Bacaan Selawat Fatih

Kisah Yang Pernah Diberitakan

  • Lama sekali Al-Qutb Asy-Syeikh Muhammad bin Abil Hasan Al-Bakri As-Siddiq beribadah, munajat dan mohon kepada Allah SWT agar diberi selawat yang mana pahala, sirr, faedah dan keistimewaan semua selawat masuk di dalamnya. Kemudian malaikat datang membawa kain bertuliskan Selawat al-Fatih dengan tulisan cahaya, sebab itu diberi nama Selawat Al-Bakriyah sebagaimana juga diberi nama Al- Yaaqutatul Faridah (Permata Yaqut) yang tidak ada duanya, tetapi kemudian terkenal dengan Selawat al-Fatih.
  • Setelah 16 tahun (1180-1196 H) dalam usia 46 tahun Al-Qutbul Maktum Asy- Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syarif Al-Hasani At-Tijani ra. berjumpa Sayyidul Wujud SAW dalam keadaan jaga tidak dalam tidur/mimpi dan diberi ijazah Selawat Al-Fatih dan diberi penjelasan tentang pahalanya, sirr-nya, faedahnya dan keistimewaannya juga tingkatan memberi ijazah pada orang lain.

Dan telah berkata Abul Abbas Tijani ra; “Talqinlah/ijazahlah manusia dengan selawat fatih, supaya mereka mati dalam keimanan.”

Selawat Fatih ini dinamakan akannya ‘Selawat Ahli Bait’ juga dinamakan dengan ‘Selawat yang membuka akan rahsia Hakikat Muhammadiah’ dan tidak terkecuali dinamakan dengan ‘Ibu Selawat’. (sekadar makluman kepada para pengamalnya)

Bermimpi Rasulullah dengan Selawat Al- Fatih

Bermimpi melihat Rasulullah adalah haq, di dalam Hadits dijelaskan;

“Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, dia benar-benar melihatku. Karena syaitan tidak mampu meniru rupa diriku.” (HR.Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain yang artinya; “Barangsiapa melihatku dalam mimpi maka dia benar benar telah melihatku.”

Imam Nawawi berkata;
“Melihat Rasulullah adalah salah satu kegembiraan yang luhur dan berita gembira yang agung. Allah mengkhususkan hal itu bagi orang-orang yang dicintaiNya.

Melihat Rasulullah SAW adalah hak yang umum bagi setiap orang mukmin dan muslim, baik buat mereka yang sholeh mahupun tidak namun bentuknya berbeza-beza sesuai dengan perbezaan sumber yang keluar dari hati mereka, kebersihan dan kesediaan mental mereka.”

Salah satu cara berjumpa Rasulullah dalam mimpi iaitu dengan membaca Selawat Al-Fatih yang terdapat didalam Kitab Maghnatisul Qabul Fil Wushul Ila Ru’yati Sayyidina Rasul karya Syaikh Hasan Muhammad Syiad Ba’Umar.

Selawat Fatih Rahsia Kejayaan Para Wali

Kiyai As Syeikh Mohammad Mokhtarullah mengungkapkan rahsia kejayaan dakwah para wali di dalam bukunya yang bertajuk ‘Kunchi Sukses Dakwahya Para Wali‘ di antaranya ialah doa selawat. Pembuka bagi doa selawat itu ialah Selawat Fatih kerana untuk membuka sesuatu sememangnya menggunakan kunci (fatih).

Doa dan Selawat Fatih juga menjadi amalan Kiyai Haji Fadhil Banten.(Ulama dan pengembang Tareqat Naqsyabandiah dan Tijaniyyah di negeri Johor. Beliau adalah penasihat agama bagi Sultan Johor (Sir) Ibrahim, juga guru kepada Panglima Kiyai Salleh. Beliau pernah menyebarkan rahsia kekuatan dakwah kepada murid-muridnya melalui Selawat Fatih seperti mana diwarisi oleh Tuan Guru Haji Mohammad Yassin (bapa kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin)

Dalam hubungan ini, ibadat selawat memiliki peranan besar dalam menghubungkan kita dengan junjungan besar Rasulullah SAW. Ibadat selawat menjadi saluran melalui baginda supaya rahmat Allah yang khusus diberikan kepada baginda akhirnya mengalir kepada kita. Melalui saluran selawat itulah, mengalirnya syafaat baginda tanpa perlu menunggunya di akhirat kelak.

Para wali sebagaimana para nabi bukanlah rahib-rahib atau sami-sami yang hanya tinggal di rumah-rumah ibadat tetapi mereka perlu mengembara untuk mendalami ilmu sekaligus menyebarkan Islam. Mereka ibarat danau, memiliki kerohanian yang mendalam dan pemikiran serta hati yang jernih.

Mereka bukan sahaja dikurniakan karamah yang diizinkan terhadapnya tetapi mengajarkan masyarakatnya ilmu tasawuf dan tareqat sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu tidak hairanlah mereka sering dikunjungi oleh orang-orang yang memerlukan ketenangan rohani.

Telah dibuktikan dalam sejarah, bahawa membawa ajaran Ahlussunnah wal Jamaah dan mazhab Syafie yang dibawa oleh para Walisongo itu sesuai dengan kedudukan bangsa Nusantara yang bersifat Majmuk. Apatah lagi Ahlussunah waljamaah mengajar umat supaya dapat hidup dalam ketenangan, mengembangkan fahaman untuk mendamaikan dunia keilmuan dengan dengan dunia politik serta rohani yang berperanan untuk membangunkan peradaban Islam itu sendiri

Justeru itu demi kesan yang lebih mendalam dan keberkatan dalam mengamalkannya, carilah guru untuk mendapatkan ijazah bagi tujuan memulakan amalan selawat fatih ini. In Shaa Allah

Peringatan buat diriku dan keluarga

Keistimewaan Buat Para Pengamalnya

Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulama terdahulu di antaranya;

  • Berkata sebahagian ulama Maghribi, sekali berselawat dengan Selawat Fatih menyamai 10,000 atau 600,000 yang lain.
  • Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.
  • Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.
  • Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih selama 40 hari berturut, dosanya akan diampuni Allah.
  • Sesiapa mengamalkan dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Beliau akan menjadi ahli syurga walaupun hanya membacanya sekali seumur hidupnya.
  • Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari.
  • Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.
  • Selawat ini bermanfaat kepada ahli sufi peringkat Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.
  • Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.
  • Sesiapa membacanya 1,000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad SAW.

Selawat fatih mempunyai triliunan rahsia yang tidak mampu untuk akal kita menjangkaunya. Cukuplah ini sebagai besarnya fadhilah dari Allah Ta’ala buat para hamba-Nya.

Rahsia Selawat Fatih ini baru hanya setitis air yang disebutkan, adapun yang seluas samudera masih menjadi rahsia dan milik Allah SW.

Justeru itu, marilah kita istiqamahkan pembacaan Selawat Fatih ini agar mendapat keberuntungan buat di dunia dan terutamanya di akhirat kelak. Insya Allah.

Selamat berbahagia dan mengamalkan!

Ilmu perkongsian yang sangat menyentuh hati dari Tuan Guru Paksu Haji Musa
Pesanan Tuan Guru Paksu Haji Musa

2 thoughts on “Selawat Fatih – Permata Yaqut Yang Sangat Berharga

  1. Pingback: TeratakEmas.Com

Leave a comment