Keistimewaan 2 Ayat Terakhir – Surah Al Baqarah

Para ulama’ menyebutkan bahawa barang siapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, maka Allah akan memberikan kecukupan baginya untuk urusan dunia dan akhiratnya, juga ia akan dijauhkan dari keburukan.

Ada juga ulama’ yang mengatakan bahawa dengan membaca ayat tersebut imannya akan diperbaharui kerana di dalam ayat tersebut adanya sikap pasrah dan berserah diri kepada Allah Ta’ala.

Dan, ada juga ulama’ yang mengatakan bahawa ayat tersebut boleh digunakan sebagai pengganti dari berbagai zikir kerana di dalamnya sudah terdapat doa untuk meminta kebaikan dunia dan akhirat.

Daripada Ibni Mas’ud, berkata Ia; Bersabda Junjungan Nabi SAW;
“Barangsiapa yang membaca dua ayat daripada akhir surah Al-Baqarah pada malam hari nescaya mencukupi keduanya akan dia.”

Adapun dua ayat tersebut ialah;

Surah-al-Baqarah-Khasiat-ayat-285-286

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya”. Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami ta’at. (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. [Al Baqarah – Ayat 285]

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ma’afkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. [Al Baqarah – Ayat 286]

Makna mencukupi keduanya bagi sesiapa yang membacanya ialah mencukupi kepadanya daripada melakukan ibadah pada malam hari, atau daripada melakukan bacaan Al-Qur’an, ataupun dapat menolak keduanya kejahatan dan bencana syaitan atau manusia dan jin, atau mencukupi untuk menambah kekuatan iqtikadnya, kerana dua ayat itu ada mengandungi makna iman dan amal secara ringkas.

Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa membaca dua ayat di akhir surah Al-Baqarah pada malam hari nescaya Allah taala akan menjaganya dari segala gangguan musuh dan syaitan.”

Sabda Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya Allah taala telah mengakhiri surah Al-Baqarah dengan dua ayat yang mana ianya adalah perbendaharaan Allah di bawah ‘Arasy, maka belajarlah kamu akan ayat itu dan ajarkanlah ia kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu. Maka sesungguhnya ia adalah solat, doa dan Quran.”

Usahakan membaca ayat ini sekurang-kurangnya 7 kali setiap hari. Maha Suci Allah, terlalu banyak keistimewaan buat pengamalnya atas izin Allah antaranya;

  • Jika dia seorang lemah, maka akan menjadi kuat
  • Jika dia seorang hina, maka akan menjadi mulia
  • Jika dia kalah, maka akan segera mendapat pertolongan
  • Jika dia dalam kesempitan, maka akan mendapat ketenangan
  • Jika dia berhutang, maka akan segera dapat melunaskan
  • Jika dia dalam kesusahan, maka akan diberikan kesenangan

Surah Al Baqarah

Dari Abi Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. bersabda; “Janganlah kau jadikan rumah-rumahmu seperti kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang di dalamnya dibaca surat Al Baqarah.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Ayat Kursi

Dari Ubai bin Ka’ab ra. berkata: Rasulullah saw. bersabda, “Wahai Abu Munzir, tahukah engkau ayat manakah dalam Al Qur’an yang paling agung menurutmu?” Aku menjawab, “Allahu laailaaha illa huwalhayyul qoyyuum (Ayat Kursi)”,
Lalu beliau menepuk dadaku dan bersabda, “Semoga Allah memudahkan ilmu bagimu wahai AbuMunzir.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Hafal dan amalkan setiap malam. Rujuk al-Quran dan hayati juga maksudnya yang merupakan doa yang sangat bermakna. Semoga anda terus dalam rahmat serta pelindungan darinya.

One thought on “Keistimewaan 2 Ayat Terakhir – Surah Al Baqarah

Leave a comment