Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya.
Secara umumnya, surah ini banyak mengisahkan tentang kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini jelas digambarkan daripada tajuk surah ini, Al-Mulk, yang bermaksud ‘kerajaan’. Pada awal surah, ayat ini diceritakan kesempurnaan ciptaan alam ini, yang tidak ada cacat-celanya.
Allah telah menciptakan alam ini daripada awal yang tiada apa-apa kepada yang ada dan seterusnya menjaga alam ini dengan penuh kesempurnaan. Allah berkuasa menciptakan dan mematikan sesuatu menurut kehendak-Nya.
Beberapa ayat yang seterusnya mengisahkan azab di neraka, di mana setiap kali sekumpulan manusia di campakkan ke dalam api neraka, malaikat penjaga bertanya, “Apakah belum pernah datang orang yang memberi peringatan kepada kamu?”. “Ya, tetapi kami mendustakannya”. Begitulah respons mereka.
Cuba kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Adakah kita sering menolak ajakan untuk membuat kebaikan? Jika ya, cuba muhasabah diri dan lihat iman kita Mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam golongan yang akan menyesal di akhirat kelak.
Dan secara ringkasnya, ayat-ayat yang berikutnya berkisarkan kuasa Allah yang mengetahui perkara yang disembunyikan, berkuasa menciptakan burung yang terbang di angkasa, dan yang berkuasa memberi dan menahan rezeki kita.
Allah amatlah murka terhadap mereka yang mendustakannya, walhal telah jelas bukti kewujudan dan kekuasaaan-Nya.
Hadis – Kelebihan Surah Al-Mulk
- Ada suatu surah di dalam Al Quran yang terdiri dari tiga puluh ayat dan dapat memberi syafa’at bagi yang setiap yang membacanya, sehingga dia diampuni, iaitu: surah Al Mulk. (HR. Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
- Surah Al Mulk adalah penghalang dan penyelamat yang menyelamatkan pembacanya dari seksa kubur. (HR. Tirmidzi)
- Dahulu Rasulullah SAW tidak tidur malam sebelum baginda membaca surah As-Sajdah dan surah Al-Mulk. (HR. Tirmidzi)
Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama;
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
قُلْ اَرَءَيْتُمْ اِنْ اَصْبَحَ مَآ ؤُكُمْ غَوْرًا فَمَنْ يَّأْتِيْكُمْ بِمَآءٍ مَّعِيْنٍ
“Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?.” (QS. Al-Mulk : Ayat 30)
Masya Allah,
Semoga pembacaannya menjadi amalan untuk kita hingga ke hujung hayat. Allahumma Ameen