Saat berderai jatuhnya titisan airmata suci Nabi Ibrahim, melihatkan keteguhan iman anaknya Nabi Ismail, dikala itulah bermulanya sejarah agung erti sebuah pengorbanan.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud; “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari.
Maka Rasulullah SAW bertanya; Hari apakah yang dua hari ini?
Mereka menjawab; Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah.
Kemudian Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”
(Riwayat Abu Daud)
Malah Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud;
“Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.”
Justeru itu, Saya dengan perasaan rendah diri mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha‘ buat semua kaum keluarga serta sahabat handai yang beragama Islam di mana jua kalian berada.
Semoga kita dirahmati Allah dan terpelihara sepenuhnya dari melakukan sebarang kesilapan. InsyaAllah
Tingkatkan ‘Pengorbanan’ dan Suburkan ‘Keikhlasan’ !
Allahumma Ya Rahman Ya Rahim Ya Mujib,
Jadikanlah kami menjadi sebaik-baiknya Hamba-Mu dan jauhkan kami dari kelalaian, kekufuran, kefakiran serta melakukan sebarang kemaksiatan. Allahumma Ameen
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.
Abu Adam
Uthmaniah Field – Saudi Arabia
10 Zulhijjah 1441