Dalam khazanah kisah-kisah Sufi ada diceritakan tentang seorang pemuda yang begitu lantang mencemuh tokoh sufi Zun Nun Al Misri dan tarikatnya.
Setelah pemuda itu puas memperlihatkan kebenciannya, Al Misri mencabut cincin dari jarinya dan berkata; “Bawalah cincin ini ke pasar dan gadaikanlah dengan harga satu dinar sahaja”
Pemuda itu hairan, namun cincin itu diterimanya jua dan dibawanya ke pasar. Dia menawarkan kepada para pedagang, dari penjual buah sampai penjual makanan.
Tiada seorang pun melirik apatah lagi tertarik. Lalu dengan wajah hampa pemuda itu kembali kepada Al Misri dan berkata; “Engkau membohongiku, cincin ini tidak berharga !”
Jawab Al Misri; “Jangan kamu marah dahulu dan sekarang jual lah cincin itu kepada ahli permata. Tawarkan kepada mereka dengan nilai seribu dinar.”
Tentu saja pemuda itu menjadi gusar. Namun, perasaan ingin tahunya membuatkan dia menuruti perintah ahli sufi itu. Sungguh menghairankan, ternyata para pedagang permata berebut untuk membeli cincin itu.
Pemuda itu merasa takjub dan bergegas menemui Al Misri dan berkata; “Mereka bersaing untuk membelinya.”
“Nah.” kata Al Misri.
“Orang tidak akan mengetahui suatu benda berharga atau tidak jika ia belum mengenalnya. Bagaimana mungkin kamu berani mencaci para sufi dan ilmu tasawwuf, jika kamu belum mengetahui isinya? Pelajari dulu baik-baik, barulah tentukan pendapatmu. Itulah sikap orang yang bijak.”
Siapakah Dzun Nun Al Misri?
Beliau adalah salah seorang Wali Allah di dalam abad ke 3 hijrah (tahun 180 H). Nama sebenar beliau adalah Abu Faidh Tsyuban bin Ibrahim Al Misri. Al Misri itu sempena beliau itu dari Mesir.
Beliau mendapat gelaran “Dzun Nun” atau yang membawa maksud penguasa ikan nun adalah kerana kisahnya sewaktu berlayar di atas sebuah kapal.
Pada ketika itu, terdapat seorang kaya di dalam kapal tersebut yang kehilangan sebentuk permata. Oleh kerana Dzun Nun itu orang yang paling miskin maka beliau dituduh mencuri permata tersebut. Lalu Dzun Nun pun berdoa dan menyerahkan masalahnya itu kepad Allah.
Dengan takdir Allah SWT, maka berduyun-duyun lah ikan nun membawa batu permata dari dasar laut lalu Dzun Nun pun berkata kepada orang kaya itu; “Adakah permata kamu itu lebih berharga dari permata yang ikan nun itu bawa?“.
Akhirnya semua ikan nun tersebut membawa Dzun Nun menuju ke pantai.
Fikir-fikirkanlah;
- Mengapakah jasad dan diri kita masih angkuh kepada Pencipta Alam?
- Bukankah segalanya datang daripada Allah?
- Jika kita cantik, tampan, bijak, berjaya, kaya bukankah semuanya datang dari Allah?
- Kalau kita cinta kepada ilmu, ulama’ bukankah ianya juga rahmah dari Allah?
Perasaan rindu kepada perkara akhirat, kepada para sahabat dan tabiin semuanya bukan dari kita. Bukan sesuatu yang patut kita banggakan dengan mengatakan ianya hasil usaha kita. Walhal, semuanya datang dan kesan dari pemberian Allah yang Maha Pemberi.
Ingat,
Kita berdoa, Dia memilih manakala kita berusaha, Dia menetapkan.
Setiap zarah juga nikmat yang Allah beri segalanya kepunyaan Dia. Tiada satupun dapat kita sandarkan pada diri kita. Jika kita ke arah yang lebih baik, rendahkan lah diri dengan hanya melihat Allah.
Jika diri ditimpa musibah, lihatlah pada Allah kerana adanya rahsia jua hikmah dari ujian yang ditimpakan olehNya. Banyakkan berdoa dan sentiasa memandang kepada zat yang Maha Agung.
Pada kelemahan diri dan nafsu yang sentiasa membawa kepada kemurkaan Allah, pintalah agar Allah memimpinnya dan jangan biar kita tertipu dengan diri sendiri, dunia dan nafsu. Mohon di bukakan pintu makrifah dan mengenal Allah.
Imam As-Sya’rani r.a. berkata; “Seseorang itu selalunya, mengingkari apa yang dia jahil tentangnya”
Semoga hati kita yang keras dengan kesibukan dunia hingga susah mencari masa bermesra dengan zikrullah akan lembut dan basah melalui kisah ini.
Wallahu a’lam