Saudaraku Yang Mulia,
Seorang pemuda berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kuntuman bunga dan kupu-kupu yang indah tetapi sebaliknya Allah SWT memberikannya kaktus dan ulat.
Lelaki ini bersedih dan tidak mengerti mengapa pemberian-Nya berbeza dengan apa yang di mohon. Lalu pemuda itu berfikir;
“Barangkali Allah SWT terlepas pandang kerana begitu ramai hamba-Nya yang harus diurus”.
Setelah sekian lama, pemuda ini memikirkan kembali doanya yang telah sekian lama dilupakan dan beliau amat terperanjat tatkala melihat dari pohon kaktus yang buruk dan berduri itu telah tumbuhnya bunga yang sangat cantik malah dari ulat yang berselubung, telah berubah menjadi kupu-kupu yang begitu indah!
MasyaAllah,
Ternyata doanya selama ini benar-benar dimakbulkan oleh Allah SWT.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang Agung;
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (QS. Al-An’am 6: Ayat 59)
Saudaraku yang bahagia,
Cara Allah SWT adalah yang terbaik walaupun ada masanya kita menilai ianya seakan tidak wajar maka percaya dan yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa memberikan apa yang kita pinta pada waktu yang tepat.
Allah SWT tidak pernah gagal memenuhi permintaan hamba-Nya, teruslah berdoa kepada-Nya tanpa ragu dan mengeluh serta serahkan ketentuan itu kepada-Nya.
Duri hari ini adalah bunga di hari esok
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang Agung;
Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib? (Surah At-Taubah : Ayat 78)
Percayalah bahawa Allah Maha Mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya. Ingatlah bahawa Allah Maha Kaya cuma kita yang miskin meminta.
Allahumma Ya Rahman Ya Rahim Ya Mujib,
Jadikanlah kami menjadi sebaik-baiknya Hamba-Mu dan jauhkan kami dari kelalaian, kekufuran, kefakiran serta melakukan sebarang kemaksiatan. Allahumma Ameen
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.
AbuAdam