Sahabatku yang mulia. Jangan sesekali berjalan tanpa arah tujuan dan semestinya elakkan membuat percaturan yang mengundang padah. Dengan niat yang mulia serta tepat pastinya kalian akan mendapat ganjaran lumayan seperti yang diharapkan.
Seperti itu jua dalam dunia pelaburan. Apabila lahirnya hasrat untuk melabur dalam apa-apa instrumen pelaburan sekalipun, pastikan terlebih dahulu mempunyai matlamat yang jelas untuk dicapai. Ketahuilah, melabur tanpa objektif yang jelas pasti mengundang pembaziran juga kerugian dari segi waktu, tenaga juga wang ringgit.
Tanya diri anda secara ikhlas, apa yang Aku inginkan di dalam Pelaburan Emas ini ?
Definisi Pelaburan Emas
Ianya bermaksud pembelian Emas fizikal atau apa sahaja produk kewangan bersandarkan kepada Emas dengan tujuan memenuhi matlamat pelaburan.
Sebagai contoh, anda boleh membuka Akaun Simpanan Emas (Gold Saving Account) melalui mana-mana penyedia pelaburan yang sah. Ianya membolehkan para pelabur membeli dan menjual Emas mengikut harga semasa tanpa melibatkan Emas fizikal.
Maaf saya katakan, sepanjang pengetahuan saya, hanya Kuwait Finance House (KFH) sahaja yang patuh syariah buat masa ini kerana Akaun Simpanan Emasnya disokong oleh Emas Fizikal.
Matlamat Pelaburan Emas
Menurut Pakar Ilmu Pelaburan Emas Malaysia juga salah seorang mentor emas saya, Tuan Syukor Hashim, terdapatnya 4 matlamat utama pelaburan Emas ini iaitu;
- Emas Sebagai Insurans Harta Dan Kekayaan — Anda menukarkan harta dan kekayaan dalam bentuk wang tunai kepada bentuk Emas fizikal. Seperti yang kita maklumi, wang tunai bukanlah harta yang sebenar kerana risikonya terdedah kepada inflasi dan kejatuhan nilai.
- Emas Sebagai Simpanan Dan Pelaburan — Anda boleh memilih Emas fizikal atau melabur menerusi Akaun Simpanan Emas (Gold Saving Account) atau menyertai Program Pengumpulan Emas (GAP – Gold Accumulation Program) seperti yang ditawarkan oleh Public Gold.
- Emas Sebagai Pelaburan — Kita boleh memilih untuk membeli pelbagai saham pelaburan yang dijual oleh syarikat perlombongan atau Gold Exchange Traded Fund. Pada masa yang sama, anda juga boleh gunakan teknik ‘Buy Low Sell High’.
- Pelaburan Emas Bersifat Spekulasi — Kita boleh memilih BSKL Gold Futures atau Gold Spot dan membuat keuntungan daripada naik turun harga Emas tanpa melibatkan produk.
Fahami sedalam-dalamnya apa yang anda inginkan daripada pelaburan tersebut. Setelah jelasnya matlamat yang diletakkan, pilih produk dan instrumen yang sesuai dengan matlamat pelaburan Emas itu. Untuk menggandakan keuntungan, tidak salah untuk anda memilih lebih dari 1 matlamat. Namun, pastikan anda pilih pelaburan yang benar-benar patuh shariah agar keberkatan mengiringi kekayaan. In Shaa Allah
Matlamat Pelaburan Emas Saya
Matlamat utama Pelaburan Emas yang saya tetapkan buat masa ini ialah sebagai Insurans Kekayaan dan juga sebagai Simpanan & Pelaburan.
Sebagai Insurans Kekayaan, saya membeli Emas Fizikal dalam bentuk Gold Bar dan Dinar Emas melalui Public Gold. Saya niatkan untuk menyimpan sebaik mungkin sampai bila-bila dan hanya dicairkan sekiranya keadaan benar-benar mendesak di suatu hari nanti atau setelah harga emas semasa mampu untuk saya menukarkan emas fizikal yang ada kepada aset selainnya seperti hartanah. Doa dan harapan Saya semoga harta ini menjadi warisan abadi buat generasi saya seterusnya dan berkemungkinan besar ada bahagiannya untuk diwakafkan demi tujuan yang mulia sebagai bekalan di Akhirat nanti. In Shaa Allah (Mohon anda doakan saya. Allahumma Ameen)
Manakala untuk Simpanan dan Pelaburan, saya telah membuka Akaun Simpanan Emas melalui Gold Accumulation Program (GAP) yang juga disediakan oleh Public Gold. Ianya, merupakan Platform Online yang sangat memudahkan saya untuk monitor turun naik harga Emas semasa dan mampu untuk saya jual semula sewaktu harga tinggi pada bila-bila masa di seluruh dunia. Urusan yang mudah hanya di hujung jari.
Pada masa yang sama, ianya patuh syariah atas kerana simpanan melalui GAP ini disokong sepenuhnya oleh emas fizikal. Alhamdulillah
Doa dan harapan agar anda mendapat manfaat dari artikel ini bagi tujuan menetapkan Pelaburan Emas yang jelas, tepat dan terbaik. Buatlah sedikit Research sebelum wang bertukar tangan agar wang yang dilaburkan mendapat pulangan yang terbaik di masa mendatang.
Adakah anda telah mengenalpasti matlamat yang ingin dicapai setelah membaca Artikel ini ?
Yakinlah bahawa logam mulia bernama Emas ini sangat bernilai sepanjang zaman, bertindak sebagai Insuran Kekayaan, penyimpan nilai yang terbaik juga kalis inflasi !