Untuk pengetahuan Anda, mangkuk tandas bersalut emas ini tersimpan di Muzium Solomon R. Guggenheim, Amerika Syarikat (AS). Ia berfungsi sepenuhnya dan disifatkan 100 peratus hasil kerja seni yang boleh dibanggakan.
Menurut agensi berita UPI, tandas bersalut emas 18 karat itu dihasilkan oleh seorang juruukir Itali, Maurizio Cattelan dan ditempatkan di salah satu sudut dalam muzium itu.
“Cattelan telah menggantikan tandas biasa yang terdapat di muzium bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri hasil seni yang sangat mewah ini,” kata pengurusan muzium itu dalam laman sesawang mereka.
Selain mangkuk tandas bersalut emas itu, muzium berkenaan mempamerkan beberapa ukiran atau hasil seni menarik untuk tatapan pengunjung terutama bagi mereka yang menghargai sebarang bentuk kesenian.
“Kebanyakan hasil seni ini bersifat semula jadi dan dekat dengan hidup kita,” tambah pengurusan muzium itu.
Dalam pada itu, Pengarah Bersekutu Operasi muzium, Micheal Zall memberitahu akhbar The New York Times, mangkuk tandas tersebut dipasang oleh seorang tukang paip yang bertauliah.
“Jika dia (tukang paip) sebelum ini hanya tukang paip biasa, namun situasi itu sudah berubah sekarang,” katanya berseloroh.
Difahamkan, hasil kerja seni itu bernilai sehingga AS$1.7 juta (RM7.3 juta) !!