Lagu Rasmi Politeknik Ungku Omar

Politeknik Ungku Omar,
Megah Terbina di Lembah Kinta,
di Ipoh Bandaraya,
Perak Darul Ridzuan.

Menjunjung Wawasan Pertiwi,
Mendidik Ilmu Teknologi,
Membantu Membangun Industri,
Negara Berdikari.

Menyahut Segala Cabaran,
Bina Negara Perusahaan,
Walaupun Seribu Halangan,
Maju Terus Ke Hadapan.

Politeknik Ungku Omar,
Mendukung Cita-cita Bangsa,
Prinsip Rukun Negara,
Menjadi Panduan Kita.

Tunjukkan Kepada Dunia,
Kita Juga Ada Upaya,
Menjadi Bangsa Berjaya,
Hidup Bebas Dan Merdeka.

Walaupun telah puluhan tahun menjadi Graduan PUO, ‘Lagu Rasmi’ ini masih saya hafal lirik dan senikatanya sehingga kini. Manakan tidak, boleh dikatakan setiap semester saya menyanyikannya bersama para pelajar baru di minggu orientasi memandangkan saya adalah Exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bermula dari Semester kedua hingga ke enam (tidak termasuk semester empat kerana mengikuti latihan industri).

Lagu ini adalah lagu keramat! Membangkitkan jiwa bagi yang mendendangkannya. Jika dihayati liriknya, kita akan faham akan misi dan visinya yang sangat besar.

Politeknik Ungku Omar mempunyai sejarah yang panjang di bumi Malaysia ini. Terletak di Jalan Raja Musa Mahadi (dahulunya dikenali sebagai Jalan Diary), Ipoh ,negeri Perak telah ditubuhkan pada tahun 1969. Politeknik ini telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO. Peruntukan sebanyak RM24.5 juta diperolehi daripada Program Pembangunan PBB (UNDP). Politeknik ini mengambil sempena nama Allahyarham Profesor Dato’ (Dr.) Ungku Omar Bin Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan perubatan.

Penekanan dan bidang pelajaran politeknik ini bercorak sains dan teknologi. Politeknik Ungku Omar ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO dan ini bertujuan untuk melatih tenaga pekerja separa profesional dan golongan pengurusan bawahan bagi menampung keperluan pembangunan negara. UNESCO telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan pembinaan PUO di atas tapak seluas 22.6 hektar di Jalan Dairy, Ipoh.

Politeknik bermula beroperasi dengan menumpang di Pusat Latihan Harian, Ipoh dengan 300 orang penuntut.Tenaga pengajarnya pada masa itu terdiri daripada 28 orang pensyarah tempatan dan dibantu oleh 14 orang sukarelawan dari Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Menjelang akhir tahun 1973, politeknik berpindah ke kampus barunya dan dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein.

Politeknik ini dibentuk untuk tujuan melatih lepasan sekolah, yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV) untuk menjadi juruteknik mahir dalam bidang kejuruteraan, pegawai eksekutif pertengahan dan separa profesional di khalayak ramai sektor dan juga sektor swasta.

Pada peringkat permulaan, politeknik ini hanya mempunyai empat jabatan akademik, iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan, yang menawarkan pelbagai program akademik di peringkat diploma dan sijil. Pada tahun 1972, Jabatan Kejuruteraan Laut dibentuk dan jabatan ini hanya menawarkan satu program akademik peringkat diploma. Pada 1 Mac 1999, dua unit akademik dinaik taraf sebagai jabatan. Unit Matematik dan Sains dinaik taraf sebagai Jabatan Matematik, Sains dan Komputer. Unit Bahasa dan Agama dinaik taraf sebagai Jabatan Pengajian Am.

Pada Januari 1999, Program Teknologi Maklumat ditawarkan untuk pertama kalinya di bawah Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Pada bulan Julai 1999, penyelarasan Program Teknologi Maklumat diambil alih oleh Jabatan Matematik, Sains dan Komputer. Pada bulan Januari 2007, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi mula menyelaraskan Program Teknologi Maklumat.

Manakala pada 1 September 1999, Maktab Perguruan Kinta menyerahkan kampusnya kepada Politeknik Ungku Omar. Kini, kampus ini dikenali sebagai Kampus B dan menempatkan Jabatan Perdagangan, Jabatan Pengajian Am, Unit Kokurikulum dan Unit Peperiksaan. Perluasan kawasan kampus sangat penting untuk memenuhi pengambilan pelajar yang semakin meningkat.

Alhamdulillah, terlalu banyak Alumni PUO yang saya jumpa baik senior mahupun junior, mereka kini berada pada posisi terbaik di luar sana dalam membina karier masing-masing. Sungguh, saya merasa bangga dan bahagia.

Allahu Akbar, terlalu banyak kenangan indah selama saya bergelar pelajar di sana dan segala memori indah ini begitu unik!

Dikesempatan ini, saya merakamkan sekalung kasih buat Politeknik Ungku Omar, Puan Hajah Atikah Bt Bakar (Ibu Guru DEE 99) dan para pensyarahyang bertungkus lumus memastikan pelajar DEE sessi Jan 1999 ~ Dec 2001 menamatkan pengajian dengan jayanya. Semoga PUO tetap unggul menuju ke puncak persada ilmu. Tanpamu, diri ini tidak akan berjaya sehingga ke tahap ini di masa kini.

Alhamdulillah atas izin-Nya, adalah suatu yang membanggakan apabila menjadi ‘Duta Kecil PUO‘ di persada dunia. Buat para graduan dan Alumni PUO, sesungguhnya anda adalah insan yang sangat istimewa!

Kekuatan dan Keamanan Melalui Teknologi!
Yuhailmy Jamil | 013DEE99 | Diploma in Electronic Engineering

One thought on “Lagu Rasmi Politeknik Ungku Omar

Leave a comment