Atas Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Artikel ini dibuat demi mendidik dan mengingati diriku sendiri serta sekalian Muslimin dan Muslimat sekalian agar bersama kita mendapat manfaat darinya. In Shaa Allah
Tidak dinafikan antara kelebihan menyimpan logam mulia bernama Emas dan Perak ini ialah menunaikan kewajipan membayar zakat kerana pelbagai ganjaran yang dijanjikan Allah SWT ke atas hamba-hambanya.
Ini adalah kerana logam ini sangat berguna berdasarkan penggunaannya sebagai nilai tukaran wang / muamalah bagi segala sesuatu. Adapun barang perhiasan selain daripada Emas dan Perak iaitu Intan, Mutiara, Sutera, Suasa dan sebagainya adalah tidak wajib zakat ke atasnya.
Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram). Jumhur Fuqaha telah menyandarkan nisab wang kepada nisab emas (85 gram).
Syarat wajib Zakat Emas dan Perak
- Milik orang Islam
- Dimiliki oleh orang yang Merdeka
- Hak milik sepenuhnya
- Cukup nisab
- Genap setahun
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya banyak di antara ahli-ahli pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam). Maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas perak dan harta benda itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya di dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka sambil dikatakan kepada mereka, Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah azab daripada apa yang kamu simpan itu.” ( Surah At-Taubah: 34-35 )
Sabda Rasulullah SAW;
“Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah SAW;
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kaedah Kiraan Zakat Emas dan Perak
Emas Perhiasan Wanita (اَلْحُلِّى)
- Iaitu emas yang digunakan untuk perhiasan badan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan sekali-sekala atau berterusan. Emas perhiasan wanita wajib dizakat apabila jumlah beratnya melebihi ‘Uruf’ (adat kebiasaan). Kadar uruf Emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa).
- Contoh;
= [(Berat Emas – Uruf) x Harga Emas Semasa x 2.5%]
= [(900 gram – 800 gram) x RM144.38 x 2.5%)]
= RM360.95
Emas Bukan Perhiasan ( غَيْرُالحُلِّى )
- Iaitu emas yang dimiliki bukan untuk tujuan perhiasan sama ada dalam bentuk matawang, jongkong, tempa, barang kemas dan seumpamanya.
- Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan wanita. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram.
- Contoh;
= Timbangan Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 100 gram x RM144.38 x 2.5%
= RM360.95
Emas Bercagar
- Emas yang digadai adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.
- Contoh;
= [(Berat Emas Semasa x Harga Semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5%
= [(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470
Perak
- Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih
- Contoh;
= 600 gram Perak x RM2.45 (segram pada 30 April 2014) x 2.5%
= RM36.75
Kalkulator Zakat Emas dan Perak
Terdapat pelbagai application yang boleh anda gunakan bagi membuat pengiraan bayaran Zakat ini. Namun, dinasihat terlebih dahulu untuk anda melihat harga semasa per Gram nya terlebih dahulu.
Untuk di Web, anda boleh gunakan Kalkulator Maya di link; http://www.zakatselangor.com.my/calkulator-zakat/zakat-emas-perak/
Nilai Uruf Mengikut Negeri di Malaysia
- Kedah adalah 150 gram
- Perlis adalah 170 gram
- Pulau Pinang adalah 165 gram
- Melaka adalah RM5000
- Johor adalah 850 gram
- Negeri Sembilan adalah 200 gram
- Selangor adalah 800 gram
- Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
- Kelantan – Tiada uruf
- Terengganu adalah 850 gram
- Pahang adalah 200 gram
- Perak adalah 500 gram
- Sabah adalah RM5000
- Sarawak adalah 775 gram
Galakan Membayar Zakat
Dalam al-Quran Surah An-Naml, Allah SWT menerangkan siapa yang dikira beriman dan mengambil al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk.
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
“Tha Sin, Inilah ayat-ayat al-Quran, kitab yang memberi penjelasan sebagai petunjuk dan berita gembira bagi orang yang beriman. Iaitu orang yang mendirikan solat dan membayar zakat, serta yakin akan adanya hari akhirat.” (Surah an-Naml 27:1-3)
Dalam al-Quran surah al-A’raf, Allah s.w.t berfirman sebagai menceritakan kisah Musa a.s bersama kaumnya yang bermaksud;
“Dan rahmat Ku akan meliputi segala sesuatu. Akan Ku tetapkan kehidupan yang baik untuk orang yang taat beribadat dan membayar zakat serta mereka yang percaya akan ayat-ayat Kami.” (Surah al-A’raf : 156)
Kelebihan Membayar Zakat
- Mendapat rahmat daripada Allah SWT – Harta dan rezeki kita akan bertambah dan bukannya berkurang
- Mengeratkan Kasih Sayang – Orang yang kaya dan senang membantu orang yg miskin dan fakir. Si kaya turut merasai kepayahan dan kedhaifan yg dilalui oleh saudara seIslam dengannya
- Mendapat ganjaran Syurga Firdausi – Allah SWT telah menjanjikan balasan Syurga yg tertinggi sekali iaitu Jannatul Firdausi buat semua pembayar zakat
- Membersihkan Hati dan Harta Daripada Perkara Yang Merosakkan – Zakat mengajar dan mendidik kita agar bersikap pemurah, saling bantu membantu dan memberi pertolongan kepada orang yang berhak mendapatkannya. Justeru itu terhindarlah sikap tamak, bakhil dan sombong yg berada di hati-hati kita Na’uzubillah
Dengan Bismillah pantun bermula,
Sampaikan rukun Islam yang mulia,
Agar terjauh dari bala,
Serta pula mendapat pahala.
Rukun nya Islam yang ke-Empat,
Setiap Muslim Membayar Zakat,
Agar harta menjadi berkat,
Terjauh kita dari laknat.
3 thoughts on “Zakat Emas dan Perak”