Salah satu ‘Keunikan’ sebagai seorang Muslim itu ialah pembayaran Zakat Emas & Perak.
Emas dan Perak adalah logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaatnya kepada manusia dan manusia juga menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu.
Sementara syariat pula mengibaratkan Emas dan Perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderamata, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.
Dalil Wajib Zakat Emas dan Perak
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu,maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu.” (Surah at-Taubah : Ayat 34 & 35)
Hadith Riwayat Muslim maksudnya;
“Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi, dan belakangnya setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambanya.”
Wahai Empunya Diri (khusus buatku);
Ingatlah bahawa apabila cukup haul setahun, keluarkan lah zakat dengan hanya sebanyak 2.5% demi menyuburkan rezekiMu dan secara tidak langsung menanam benih untuk AkhiratMu. Allahumma Ameen
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.
Wallahu a’lam