Suatu ketika, syaitan telah memasuki ke dalam hati salah seorang daripada murid Al Junaid Al Baghdadi dan telah membisikkan bahawa murid itu telah mencapai kesempurnaan dan tidak perlu lagi menuntut dengan Aulia Allah tersebut.
Maka dari itu, murid tersebut telahpun memencilkan dirinya.
Berkata murid itu pada suatu hari bahawa dia telah dikunjungi oleh malaikat setiap hari dengan membawa unta yang berhias dan membawa dirinya ke langit!
Apabila Al Junaid Al Baghdadi mendengarkan perkara ini, maka beliau pun tinggal semalaman bersama dengan muridnya itu bagi melihat sendiri dari apa yang dikatakan.
Al Junaid Al Baghdadi menyuruh murid itu berkata kepada malaikat yang dikhabarkan mengunjungi muridnya itu apabila ia datang;
“Kamu itu pesuruh iblis dan jahanamlah kamu !”
Setelah mengucapkan perkataan itu maka larilah ‘malaikat dan untanya’. Pada masa yang sama, murid itu menyedari dirinya berada di ruangan sampah serta dipenuhi dengan rangka binatang di sekelilingnya.
Murid itupun bertaubat dan menyesali akan kesilapan diri dan berkatalah Al Junaid Baghdadi;
“Memencilkan diri bagi orang yang dalam permulaan menjalankan perjalanan (tariqah) adalah bahaya dan berdampingan dengan guru yang mursyid adalah perlu.” (Tazkiratul Auliya’)
Doa untuk mencari Guru Mursyid;
Ya Allah, tunjukkanlah aku dengan orang yang dapat menunjukkan aku kepada-Mu, dan sampaikanlah aku kepada orang yang dapat menyampaikan aku kepada-Mu.
Allahumma Ameen