Di dalam pengajian ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan, tanpa dirancang atau ditadbir. Semua yang berlaku adalah di bawah tadbir Allah SWT.
Jika secara tiba-tiba seseorang itu mendapat sesuatu pengetahuan atau terbuka kepadanya sesuatu jalan, ianya berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi menurut tadbir Tuhan. Oleh kerana hal tersebut berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini bahawa Al-Haq, iaitu Tuhan yang Maha Mengasihani memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya yang berkenaan.
Apabila pengajaran tersebut dinisbahkan kepada al-Haq atau Tuhan, ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang yang menerima bimbingan secara demikian dapat merasakan bahawa pengetahuan yang sampai kepadanya adalah secara terancang bukan secara kebetulan.
Kehadiran Pembimbing Hakiki tersebut, walaupun tidak diketahui hakikatnya, menambahkan keyakinan kepada hamba yang sedang berjalan pada jalan Tuhan itu.
Wallahu a’lam