Salam Dari Bumi Saudi Arabia

WhatsApp Image 2017-09-11 at 4.44.05 PM

Sobahul Khair !

Antara keindahan di dunia Oil & Gas, saya berpeluang bertemu dengan pelbagai manusia dari berbeza negara mahupun agama. Apabila adanya waktu terluang, banyak topik kami bincangkan samada isu berkaitan semasa, negara, masyarakat mahupun soal ‘Hati ke Hati’. Bertugas menghampiri 16 tahun di dalam ‘Dunia’ ini, mereka lah keluarga kedua saya secara tidak langsung.

Sejak kelmarin, tersentuh rasa hati tatkala mendengar kisah Inspirasi yang sangat menakjubkan bagi saya yang diberitakan oleh rakan setugas saya dari Pakistan. Beliau memberikan saya satu tips yang hebat untuk perkongsian bersama dan saya dedikasikan kisah ini khas buat anda yang bergelar usahawan.

Menurut beliau, pernah ada seorang insan istimewa di Pakistan yang sebelum itu sangat berjaya dalam dunia musik yang setelahnya sering jatuh dan bangun di dalam perniagaan yang diceburi hingga akhirnya membuatkan beliau merasai untuk apa hidupnya menghabiskan waktu berniaga siang dan malam kerana dipenghujunya beliau mendapat hasil yang tidak sehebat mana. Walaupun pernah seketika mendapat hasil yang sangat lumayan, tetap perasaannya seperti adanya satu kehilangan yang besar di dalam hidup, kosong . Setelah kecundang, bangun dan gagal lagi melalui pelbagai business akhirnya beliau pasrah.

Atas izin Allah, suatu hari datangnya seorang Hamba Allah memberikan nasihat yang sangat hebat. Hamba Allah ini berkata;

“ Jika kamu ingin terus berniaga, gunakan baki wang yang ada dan mulakan apa sahaja perniagaan yang kamu fikirkan ianya sesuai walaupun ianya kecil dan mendapat sedikit keuntungan. Syaratnya, kamu wajib mempunyai partner di dalam perniagaan tersebut. Jika sendirian jadikan berdua. Jika berdua, jadikan bertiga dan begitulah seterusnya. Setiap dari keuntungan, kamu perlu bahagi sama rata. Satu untuk kamu dan bahagian lainnya untuk mereka. Jangan sesekali mengabaikannya malah berkongsi hasil keuntungan sampai bila-bila selagi business kamu berjalan !’

Perusahaan barunya sangat kecil. Ketika itu beliau mendapat kontrak membuat label untuk seluar jeans dan sangat kecil juga keuntungannya. Namun, dia yakin dan bersyukur atas setiap pemberian. Terus berusaha saban waktu dan tidak sesekali mengabaikan partner nya itu.

Subhanallah, dari sekecil perusahaan membuat label pakaian, perniagaan beliau terus berkembang dan maju hingga ke Negara Eropah dan Timur Tengah sebagai pengeluar produk pakaian berjenama J.J.

Maha Suci Allah, tidak sesekali beliau abaikan partner nya dan pasti keuntungan diberikan sama rata hingga ke hujung hayatnya. Beliau merasai kebahagiaan, hidupnya tidak lagi sepi malah empayar perniagaannya semakin hari semakin teguh dan utuh.

Di penghujung cerita saya bertanya lagi kepada rakan setugas saya;

“Siapakah partner nya yang bertuah itu ?”

Dengan tenang dan pandangan yang terus menusuk ke hati beliau menjawap;

“Allah Almighty !”

Sepertinya satu tamparan keras ke muka saya ketika itu. Terdiam, dan bertanyakan kepada diri kenapa tidak sebelum ini saya menyedari ? Walau perniagaan saya berjalan dan zakat keuntungan di bayar setiap tahun, bagaimana pula dengan membela kehidupan insan yang lebih memerlukan sepertinya anak-anak yatim, sekolah-sekolah tahfiz juga selainnya ke jalan fisabilillah ?

Pernah saya mendengar bahawa Saidina Abu Bakar R.A. pernah berdoa iaitu;
“Ya Allah, jadikan dunia di tangan kami dan bukannya di hati kami.”

Maha Suci Allah, mereka memiliki kekayaan dunia tetapi di hati mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada Akhirat.

Alangkah beruntungnya jika kita kaya harta, dan dalam masa yang sama hati kita kaya dengan cita-cita menuju ke dunia Akhirat. Usah malu memasang impian untuk menjadi seorang Hartawan.

Dalam konteks membina kekayaan, pertama sekali kita mesti set dalam kepala bahawa “Kaya Itu Mulia”. Jadikan Rasulullah SAW dan para Sahabat sebagai idola dan motivasi untuk kita menjadi kaya. Kita juga perlu tahu ke mana arah tuju ingin dibawa kekayaan tersebut.

Buat sesiapa yang berniaga, carilah rahsia Usahawan Muslim tersohor di zaman Baginda Muhammad iaitu Abdul Rahman Bin Auf yang mana beliau bukan hanya seorang Multi- Millionaire malah beliau juga adalah salah seorang dari Ahli Syurga !

Jadilah seorang kaya dari apa yang kamu rasai dan bukannya dari apa yang orang kata.

Siapakah Insan hebat ini?

Beliau ialah Junaid Jamshed Khan. Meninggal dunia pada 7th Dec 2016 akibat pesawatnya terhempas dan mengakibatkan semua penumpang meninggal dunia serta merta. Subhanallah, ketika itu beliau dalam perjalanan untuk menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Parlimen. Sedikit sebanyak mengenai kisah beliau boleh Anda baca di link: https://en.m.wikipedia.org/wiki/Junaid_Jamshed

Al-Fatihah. Semoga damai ruhMu di sana. Allahumma Ameen

Alhamdulillah, suasana pagi yang mendamaikan di bumi Saudi Arabia ketika ini. Angin mulai kencang bertiup membawa bahang hangat sejak bebrapa hari yang lalu di Site #27 Aramco Field. Barangkali musim dingin tahun ini lebih awal datangnya.

Banyak ilmu yang saya timba selama 2 tahun bertugas di Saudi. Dan perasaan syukur yang amat atas kurniaan Ilahi. Semoga rahmat dan perlindungan Allah tetap kami rasai selagi adanya kudrat mencari rezeki di bumi bertuah ini.

Allahumma Ameen

– Yuhailmy a.k.a. Jimmy –

 

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s