Jika anda ke Timur Tengah terutamanya Arab Saudi rasanya tidak akan lengkap sekiranya anda tidak merasai keenakan manisan unik yang sangat istimewa yang mengandungi krim serta ditaburi kacang pistachio di atasnya!
Manisan ini sering di hidangkan sewaktu musim perayaan ataupun di sesebuah majlis khas dan merupakan tradisi sekian lama oleh masyarakat di sini.
Pelbagai nama diberi antaranya Konafa, Kunafa, Kunafeh atau Knafeh. Asal muasal nya tidak siapa yang dapat memberikan maklumat yang jelas tatkala saya bertanyakan kepada teman-teman di sini.
Ada yang mengatakan ianya datang dari Syria kerana umum mengetahui bahawa pelbagai juadah makanan dari Syria telah menjadi pelopor kepada kebanyakkan makanan tradisional di Saudi.
Dan ada juga yang mengatakan ianya dari Turki kerana negaranya amat terkenal dengan pelbagai manisan yang mengujakan.
Tidak terkecuali dari sumber yang lain, ianya di panggil Nablus yang berasal dari Palestine. Khabarnya, manisan ini telahpun wujud sejak zaman ‘Kerajaan Uthmaniah‘ lagi.
Dari mana asalnya tidak menjadi keutamaan setelah setiap juadah selamat masuk ke mulut … 😊
Manisan ini dibuat dari ‘phillo pastry’ yang telah direlaikan atau ‘kaitafi’ bagi nama setempatnya. Pastri ini terbuat dari tepung terigu dan mentega. Konafa biasanya ditaburi dengan kismis, kelapa parut dan kekacang sebagai topping atasnya setelah ianya siap di masak.
Pastikan konafa dihidangkan panas-panas untuk menikmati kelazatan maksima yang hasilnya dari gabungan kerangupan bahagian atas dan lembut di bahagian bawahnya.
Terdapat pelbagai versi mengikut citarasa pembuatnya. Ada yang menggantikan krim dengan keju, ada yang menambahkan kayu manis atau buah pelaga (cardamom) dan bentuknya juga turut dipelbagaikan.

Sewaktu bersama ‘Permasuri Hati‘ saya dalam menjalani ibadah Umrah dan ziarah pada Feb 2020 yang lalu, isteri saya amat teringin untuk menjamah manisan ini kerana tidak pernah mencubanya dan hanya mendengar keenakkannya dari buah mulut temannya juga hasil dari pembacaannya.
Alhamdulillah dapat juga saya memenuhi impiannya namun, konafa yang di jual di restoren samada di Madinah atau Mekah kebanyakkannya frozen dan hanya di panaskan setelah menerima tempahan.
Alhamdulillah, setidaknya dapat ia merasa. Nampak bahagia hatinya dengan senyum yang melebar dan sunguh, saya akan terus berusaha menyenangkannya. InsyaAllah
Manisan ini agak mudah dibuat tetapi pasti memerlukan waktu untuk membiasakan diri. Di khabarkan harga di Malaysia agak ‘keras’ juga tetapi saya yakin kerana bahan-bahan yang digunakan agak mahal berbanding di Timur Tengah ini. Pengalaman saya membelinya di Arab Saudi hanya dengan harga sekitar SAR10 sehingga SAR20 tergantung saiznya.

Ada waktu, Nesma Catering yang mengambil kontrak penyiapan makanan di lokasi tempat saya bekerja turut menyediakan juadah manisan ini. Pastinya menjadi pilihan utama bagi kami di sini … 😊