Travelog – Sebuah Perjalanan Spritual Bersama ESQ 165 Malaysia

Speechless !

Ya, itu yang dirasai sewaktu menghadiri setiap kursus anjuran ‘ESQ Malaysia‘. Betapa banyaknya kesilapan yang dilakukan selama Allah meminjamkan waktu yang terbatas untuk menghirup udara kurniaannya di muka bumi sehingga kini.

Alhamdulillah, Allah membuka hati saya untuk mengikuti ‘Program ESQ Personal Transformation Program’ pada December 2016 yang lalu. Melalui training ini, saya bersama para sahabat digolongkan dalam ‘Angkatan ke-98‘.

Segalanya bermula setelah saya melihat dan mendengar berkenaan training ESQ ini pada pertengahan tahun 2015 yang lalu. Ketika itu adalah waktu yang perit bagi kami yang bertugas di industri Oil and Gas yang mana, terlalu ramai yang kehilangan kerja di seluruh dunia angkara harga minyak yang menjunam dengan teruk sekali.

Saya adalah salah satu mangsa keadaan. Setelah projek saya di perairan Myanmar selesai sepenuhnya, saya kembali ke Malaysia dan hanya berehat dan menunggu sekiranya ada sebarang perkhabaran samada untuk bertugas kembali ataupun di ‘cuti’ kan tanpa sebarang gaji.

Jujur, hidup saya kosong dan banyak waktu saya bermuhasabah akan diri. Melihat anak-anak yang sedang membesar di depan mata dan semangat sang isteri yang tidak putus memberikan galakan tidak terkecuali ayahanda dan arwah bonda (Al-Fatihah di baca), Alhamdulillah, sememangnya itu suatu anugerah terindah untuk di kenang.

‘Ketakutan’ yang ada pada diri saya jika tidak lagi bertugas di industri ini adalah kehilangannya harga diri, harta dan taraf hidup yang sebelum ini dilengkapi dengan kemewahan yang sangat melebihi masyarakat selainnya.

Dan ‘ketakutan’ ini tanpa di duga menidakkan akan kuasa Yang Maha Pemberi Rezeki dan Yang Maha Berkuasa akan segala sesuatu. Astagfirullah, saya adalah insan yang terpedaya dan tercela. Dengan mengagungkan dunia maka akhirat saya tinggalkan tanpa rasa bersalah. Lebih parah, tiada rasa di hati saya akan betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya.

Di sebalik ketidaktahuan dan ‘mencari’, banyak sekali tamparan hati yang menghujam ke dada saya. MasyaAllah, banyak sekali sesuatu yang tertutup di buka satu persatu sehingga kini. Hidayah adalah milik Allah dan demi Allah, ia adalah anugerah terhebat yang Allah kurniakan kepada saya.

Namun, menghadiri training pertama ESQ Personal Transformation Program (PTP) ini bukan semudah yang di jangka. Allah izinkan saya menghadirinya setelah setahun setengah masa berlalu. Syukur, ketika itu saya telah kembali bertugas di perantauan, di bumi Saudi yang bertuah dan sehingga artikel ini di tulis, saya telah berkhidmat selama hampir 5 tahun di sini.


ESQ Way

Sebelum itu, ESQ165 adalah pusat latihan sumber manusia yang bertujuan membentuk karakter melalui tiga potensi manusia iaitu Intellectual, Emotional dan Spiritual. Selama ini, ketiga-tiga potensi itu terpisah dan tidak digunapakai secara optimum dalam membangun sumber manusia.

Melalui training ini, ketiga-tiga potensi manusia digabungkan dan dibangkitkan sehingga terbentuknya karakter yang kuat dan meningkatkan produktiviti sekaligus melahirkan kehidupan yang bahagia dan penuh makna di dunia dan akhirat. InsyaAllah

Modul ESQ Character Building Training ini di bahagikan kepada empat (4) peringkat iaitu;

  • ESQ PTP – Personal Transformation Program (Tahap 1)
  • ESQ MCB – Mission and Character Building (Tahap 2)
  • ESQ E=SC2 – Self Controlling & Strategic Collaboration (Tahap 3)
  • ESQ Total Action – The Power of Execution (Tahap 4)

Untuk menghabiskan keempat tahap ini bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang mampu melaksanakannya selama kurang dari setahun malah ada yang melebihi 10 tahun. Dari segi usia, paling muda ialah 18 tahun dan paling tua dari pengalaman saya ialah berumur 67 tahun.

Bagi saya secara peribadi, saya melengkapkan kesemua training ini selama 3 tahun atas sebab cabaran tugasan sedia ada di perantauan. Alhamdulillah


Saya di hari pertama menghadiri training Personal Transformation Program di Hotel Sunway Resort

ESQ Personal Transformation Program (Tahap 1)

Pada modul ini, peserta akan mendapatkan cara bagaimana untuk membangun peribadi. Salah satunya dengan kaedah pengulangan kerana cara ini akan menimbulkan kebiasaan dan kebiasaan ini akan membentuk peribadi. Anda akan belajar bagaimana untuk menjadi seorang yang hebat dengan cara mengubah paradigma dalam melihat sebuah masalah, supaya ia menjadi kesempatan untuk bangkit.

Demi tuhan, saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai training ini pada asalnya. Hanya melalui apa yang saya dengar dan baca maka itulah yang dapat saya simpulkan pada awalnya.

Sepatutnya saya mengikuti training ini lebih awal namun beberapa kali tertunda oleh kerana tugasan di Saudi. Tatkala peluang tiba, saya bersama para Sahabat Alumni bergabung selama 3 hari menimba ilmu di Hotel Sunway Resort yang mana jumlah keseluruhan kami hampir menjejak angka 600 orang.

Allahu, ramai sekali yang hadir dan saya benar-benar teruja dengan gaya penyampaian serta seni visual yang digunakan oleh para pendidik dari ESQ Malaysia.

Selama menimba ilmu 3 hari di sini, tidak terkira banyaknya airmata yang tertumpah ikhlas kerana Allah tatkala jiwa nurani yang sangat dalam tersentuh waktu demi waktu di setiap slot training tersebut.

Saya tunduk menyakini betapa diri ini Maha Kerdil dan jauh ‘lebih hina‘ di hadapan Allah. Lidah menjadi kelu dan dada saya berombak laju. Ketika itu saya bersama para sahabat lantas turun bersujud ke lantai memohon keampunan Allah. Kami bertaubat dengan sesungguh taubat kepada Allah. Menyatakan kesalahan diri selama ini dan memohon keampunan dariNya. Air mata dan raungan menjadi keras dan hiba. Sungguh, tidak mampu untuk diri menahan derasnya air mata itu. Dan sungguh, suasananya semasa itu sangat hening dan mendamaikan jiwa.

Kesedaran saya amat terkesan pada awal training mengenai kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Musa mencari tuhannya dan slot seterusnya melalui ‘Inner Journey’ dan ‘Outer Journey‘ yang turut memainkan peranan membuka hati saya untuk menyinari kembali fitrah diri.

Melaluinya, kami beroleh jawapan yang selama ini menjadi persoalan utama dalam diri samada di kala sedar atau sebaliknya iaitu;

  • Siapa kita?
  • Dari mana kita?
  • Mahu ke manakah tujuan kita?

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu, Setelah Tuhannya Tajalla (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) TajalliNya menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)” (QS. Al-A’raf 7: Ayat 143)

Kami di dedahkan juga dengan pengetahuan awal terciptanya alam semesta raya yang dikenal dengan kejadian ‘Big Bang’ yang merupakan sebuah ledakan maha dahsyat yang dianggarkan ianya berlaku pada hampir 15 billion tahun yang lalu.

Masih saya ingat di awal training ini, digambarkan seorang lelaki yang tersesat di hutan tanpa sebarang alat bantu, lalu guru kami bertanya kepada kami; “Jika itu adalah anda, apakah cara untuk anda menemukan jalan pulang?”

Rata-rata kami menjawap agar mencari laluan sungai dan menyusurinya hingga ke hujung. Tidak terkecuali dengan jawapan selainnya.

Setelah itu, guru kami menyatakan bahawa anda perlu mendaki ke tempat yang tinggi untuk melihat kebenaran jalan yang perlu anda lalui. Maka dari sini lah ceritanya bagaimana Nabi Allah Musa as dan Ibrahim as mencari tuhan. Kisah yang diceritakan ini seumpama ‘santapan jiwa’ kami di pagi hari tersebut. Alhamdulillah

3 hari itu benar-benar saya rasakan penuh di jiwa. Kami benar-benar di ‘brain wash’ secukupnya agar fitrah kami yang terbelengu selama ini kembali bersinar. Setiap kali waktu pulang ke rumah, saya lebih banyak termenung dan berdiam diri kerana ‘keras’ nya tamparan hati itu berbekas yang dalam sehingga isteri saya bingung melihat keadaan saya ketika itu.

Banyak sekali latihan dalam kumpulan yang kami laksanakan bukan hanya mengeratkan hubungan sesama sahabat ESQ tetapi lebih kepada mengajar diri agar untuk pertingkatkan lagi kebaikan dalam diri. Kisah-kisah tauladan seperti ‘Rudi dan Sikat Gigi‘ , semangat perjuangan Sultan Al Fateh dan selainnya membantu kami untuk lebih faham akan tanggungjawap kami dalam erti kata sebenar sebagai ‘hamba’ Yang Maha Esa.

Di waktu tersebut, kami belajar dari pengalaman peserta lain yang pernah mengalami kegagalan hidupnya samada kehilangan keluarga, harta, keupayaan diri malah tidak terkecuali harga diri pada pandangan masyarakat. Sungguh, hidayah itu milik Allah dan hanya Allah yang mampu memberi kurnia kepada hamba yang dipilih oleh-Nya.


Sebagai Alumni ESQ, kami di didik dengan ‘7 Nilai Dasar ESQ 165‘.

Ia merupakan nilai dasar Emotional, Spritual Quotient (disebut ESQ) yang diambil dari ‘Asmaul Husna‘ yang harus dijunjung tinggi sebagai bentuk pengabdian manusia kepada sifat Allah yang terletak pada pusat orbit (God Spot) iaitu;

  • Jujur Adalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah, Al mukmin
  • Tanggung JawabAdalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah, Al Wakiil
  • Disiplin Adalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah, Al Matiin
  • KerjasamaAdalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah, Al Jami’
  • Adil Adalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah Al’adl
  • Visioner / WawasanAdalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah Al Aakhir
  • Peduli / Prihatin Adalah wujud pengabdian manusia kepada sifat Allah, As Sami’ dan Al Bashir

Ketujuh sifat inilah yang harus dijadikan values atau nilai, di mana akan memberikan ‘makna’ atau nilai bagi yang melaksanakannya, disamping nilai-nilai lainnya yang berjumlah 99 melalui sifat-sifat Allah (Asmaul Husna) sebagai sumber pengabdian.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Ar-Ruum : Ayat 30)


Tidak terkecuali, kami juga mempunyai ikrar yakni kesetiaan kepada akujanji kami agar ianya menyerap dan tertanam di dalam sanubari hingga ke hujung waktunya ‘tiba’.

IKRAR THE ESQ WAY 165 – Satu Nilai, Enam Prinsip, Lima Langkah

1 (Satu) Hati

  • Allah melihat setiap langkahku

6 (Enam) Prinsip

  • Allah adalah Tuhanku
  • Malaikat mencatat perbuatanku
  • Nabi dan Rasul teladanku
  • Kitab Suci pedomanku
  • Hari Kemudian cita – citaku
  • Ikhlas dan Tawakal sikapku

5 (Lima) Langkah

  • Pengabdian kepada Allah syahadatku
  • Sholat karakterku
  • Puasa bentengku
  • Zakat keluarkan potensiku
  • Haji derap langkahku

6 (enam) prinsip dalam membangunkan karakter ini di bahaskan kepada kami melalui beberapa principle iaitu;

  • STAR Principle – Orientasi hanya kepada Allah Yang Maha Esa
  • ANGEL Principle – Integriti Malaikat, dan mengingatkan diri bahawa Allah Maha Melihat dan Malaikat mencatat atas segala apa yang kita laksanakan samada, perbuatan, percakapan malah pemikiran
  • LEADERSHIP Principle – Meneladani kepemimpinan Nabi dan Rasul
  • LEARNING Principle – Manusia pembelajar, berpedoman pada kitab suci-Nya
  • VISION Principle – Visi jauh ke hadapan (Dunia & Akhirat)
  • WELL ORGANIZED Principle – Siap dan ikhlas menghadapi segala kesulitan, keadaan semasa, tentangan dan risiko

Manakala 5 (lima) langkah untuk berjaya di dunia dan akhirat ini pula bersandarkan kepada;

  • Mission Statement – Mengucap 2 Kalimah Syahadah
  • Character Building – Menunaikan Solat 5 Waktu
  • Self Control – Berpuasa di Bulan Ramadhan
  • Strategy Collaboration – Menunaikan Zakat
  • Total Action – Mengerjakan Haji Buat Mereka Yang Mampu

Kesemuanya ada dalam Rukun Islam bagi mereka yang memahami. Hayati dan pegang dengan utuh 5 tiang ini dalam kehidupan seharian kita sebagai Hamba Sang Pencipta. Allahumma Ameen


Suasana sewaktu training itu berlangsung bukan hanya sekadar air mata yang mengalir namun, keceriaan tetap kami rasakan dengan pelbagai keletah para trainer, tarian dan pergerakan yang bertujuan agar kami sentiasa cerdas dan tidak mengantuk.

Dari pelbagai lagu berserta tarian yang saya teramat suka mendengarnya adalah lagu khas jaguh tinju dunia ‘Muhammad Ali‘ berjudul “Black Superman” yang disertakan tarian khas semasa training itu berlangsung.

Sambil lagu ini didendangkan, kami berpasangan berdua-dua seperti ingin bertinju. Gamat suasana di dewan ketika itu dengan gelak tawa para peserta.

Muhammad Ali theme song – Black Superman

Lagu utama yang digunapakai sewaktu ESQ training berlangsung adalah “Demi Matahari” dari kumpulan Snada (Indonesia) dan lagu ini di olah dari terjemahan Surah Asy-Syams Ayat 1-10.

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah …
Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah …
Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya …
Subhanallah

Indahnya janji Allah SWT dari surah Asy-Syams. Segalanya berputar mengikut paksi sepertinya manusia mengikut prinsip yang benar dalam kehidupan.

Matahari, bulan dan segalanya kehidupan mengikut perintah Allah. Maka siapalah kita jika sombong tidak mengikut perintah & laranganNYA.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?” [Surah Ar-Rahman : Ayat 13]

MasyaAllah, bergetar pintu hati. Benar, diri begitu kerdil dan tiadanya upaya melainkan izin dari Yang Maha Esa.

Dan sungguh, tiada satupun di antara nikmatmu yang aku dustakan Ya Rabb!


Di ESQ, kami turut mempunyai ‘yell’ khas yang sering di laungkan untuk membangkitkan semangat yang diketuai oleh para trainer kami iaitu;

ESQ – Go, Go, Go !
ESQ – Fight, Fight, Fight !
ESQ – Win, Win, Win !
ESQ – 1.6.5. !
ESQ – Yes !

Dan setelah ‘yell’ itu berakhir, antara kami akan mencari teman-teman untuk ‘Salam Semut‘ demi mengeratkan hubungan silaturrahim antara kami.

Mengikut kata Pak Guru yang dikasihi Dr Ary Ginanjar, biasakan diri dengan ‘3S’ iaitu;

  • Senyum simetris (2cm kanan dan 2cm kiri)
  • Salam semut (Bersalaman dengan teman dan berpelukan sambil mendoakan kebaikan di telinga teman kita itu sehingga dia mendengar doa tersebut lalu ianya menyusup ke dalam hatinya)
  • Sahabat sejati
‘Salam Semut’ bersama Pak Guru Dr Ary Ginanjar

3 hari tersebut sangat bermakna buat saya dan pengalaman ini pasti akan saya kenang hingga ke hujung hayat saya.

Alhamdulillah atas anugerah Allah yang terindah ini. Hari demi hari saya meniti kehidupan dengan penuh semangat. Pengajaran paling utama yang saya dapatkan ialah, lepaskan pergantungan kepada makhluk dan pegang eratlah pergantungan kepada Yang Maha Pencipta.

Faqir adalah sebagaimana sifat seorang hamba. Dia berserah diri kepada segala apa yang diperintahkan oleh tuannya ke atas dirinya. Segala keperluannya dalam melaksanakan tugas yang diberi dan keperluannya untuk hidup akan dipersiapkan oleh tuannya.

Dia hanya meletakkan harapan hanya kepada tuannya dan tidak kepada yang lain. Dia menerima apa sahaja pemberian tuannya walaupun ia tidak berasa memerlukan pada pemberian itu.

Dan jika tidak diberi maka dia tidak mempersoalkannya meskipun telah beberapa kali dia meminta. Dia tidak merasa kecewa kerana menyedari bahwa dirinya itu seorang hamba.

Sang faqir adalah seorang yang meletakkan pergantungan kepada Allah SWT semata-mata kerana Dia jualah yang memiliki sifat-sifat iftiqar yang mewajibkan makhluk berhajat dan bergantung kepada-Nya.

Kefanaan di dalam Allah SWT juga diistilahkan sebagai faqir. Orang faqir adalah orang yang melihat ‘dari Allah’, ‘beserta Allah’ dan ‘kepada Allah’.

Sang faqir itu adalah seorang yang sentiasa berharap kepada Allah akan Kasih sayang-Nya, KurniaNya, Rahmat-Nya dan petunjuk-Nya.

Tag khas buat saya yang tertulis Batch 098 ESQ Malaysia dengan no register 0294
Sijil kehadiran Personal Transformation Program
Kad Alumni yang mana melayakkan saya untuk menghadiri kursus yang sama pada bila-bila masa sepanjang hayat saya secara percuma !

ESQ Mission and Character Building (Tahap 2) / ESQ Self Controlling & Strategic Collaboration (Tahap 3)

Pada modul ini, peserta akan mendapatkan tingkatan cara bagaimana untuk membangun peribadi di samping tambahan modul baru iaitu;

Spiritual Self Control – Berbagai penelitian menunjukkan bahawa kemampuan mengendalikan diri adalah hal yang menentukan kejayaan seseorang. Dalam setiap sesi, peserta akan dibimbing secara bertahap agar menjadi seseorang yang mampu memiliki kecekapan mengurus emosi.

Spiritual Strategic Collaboration – Mengurus kekuatan agar ketiga-tiga potensi yang kita miliki dapat dikeluarkan serta membina kerjasama antara individu ataupun sesama bahagian. Dengan latihan ini, ia akan membantu mengesan kekuatan setiap individu atau sebahagian serta bersinergi untuk meningkatkan prestasi.

Tahap kedua dan ketiga ini digabungkan dan training nya mengambil masa selama 2 hari penuh. Alhamdulillah atas izin Allah, saya berjaya menyelesaikannya setelah 3 bulan training tahap pertama saya selesai.

Di awal training bermula, Guru saya Pak Firdaus Djamaris menyampaikan bacaan ‘Surah Ar-Rahman‘ berserta terjermahannya.

Surah Ar-Rahman adalah merupakan surah ke-55 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surat makkiyah, terdiri atas 78 ayat. Dinamakan Ar-Rahman yang bererti Yang Maha Pemurah berasal dari kata Ar-Rahman yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Ar-Rahman adalah salah satu dari nama-nama Allah. Sebagian besar dari surah ini menerangkan kemurahan Allah kepada hamba-hamba-Nya, iaitu dengan memberikan nikmat-nikmat yang tidak terhingga baik di dunia maupun di akhirat nanti.

Maha Benar Allah atas firman-Nya yang agung;

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Surah Ar-Rahman : Ayat 13)

Sebanyak tiga puluh satu (31) ayat dalam surah Ar-Rahman memiliki kalimat ini dan terus berulang. Allah memberi peringatan kepada kita berulang kali bahawa Maka Nikmat Tuhan Kamu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?

Melalui surah ini juga Allah SWT seolah memberi signal kepada kita akan sifat kita yang pelupa, kufur nikmat, dan tidak mahu berfikir. Ya, tiga sifat itu adalah sifat yang selalu dimiliki oleh manusia.

Allahu Akbar. Begitu banyak sekali nikmat kurniaaan Allah buat para hamba-Nya. Tatkala hati dikelilingi belenggu hitam yang pekat, maka diri mendustakan segala kurniaan malah, anugerah ilahi sejak mata terbuka melihat dunia tidak sesekali diri ini mensyukurinya.

Sungguh, tiada satu pun nikmat kurniaan mu yang aku dustakan Ya Rabb!

Kami turut diperkenalkan dengan lagu dan makna ‘Lir-ilir‘ yang diciptakan oleh Sunan Kalijaga yang juga merupakan salah seorang dari anggota Walisongo.

Menurut apa yang diberitakan, alasan menyebarkan dakwah menggunakan medium kesenian setempat dapat membuka hati kepada pendengarnya yang selama ini sudah lama sebati dalam kehidupan mereka. Namun, ianya bukan sekadar lagu tetapi turut mengandungi makna yang sangat dalam apabila kita menghayati sepenuhnya.

Ternyata dalam sekali makna dari lagu “lir-ilir” tersebut. Dan inilah salah satu lagu peninggalan Sunan Kalijaga yang sampai ke saat ini masih sering kita dengarkan.

Masih saya ingat simulator ‘gempa bumi’ di dalam dewan. Ketika itu, lampu dewan tertutup dan suasananya amat gelap. Setiap dari kami dibekalkan dengan sekeping kertas yang tertulis senarai keperluan yang boleh kami bawa bersama. Tetapi, kami hanya boleh memilih hanya 1 sahaja dan waktu yang diberikan amat singkat sekali.

Saya tidak sempat berfikir dan melihat secara keseluruhan apakah barang yang perlu saya bawa. Suasana sangat gamat, dengan kesan audi visual yang kuat membuatkan kami seperti benar-benar terperangkap dalam gempa bumi yang dasyat.

Allahu, mata saya melihat 1 perkataan di dalam kertas tersebut dan ianya adalah Al Quran. Ya, saya yakin dan pasti jika di masa itu adalah sebenar-benarnya kejadian yang benar, Al Quran ini lah menjadi peneman dan ‘sahabat’ walau apa yang terjadi.

Sunguh, ada hikmah yang terkandung di dalamnya untuk saya renungi.

Kami juga merasai simulasi berkenaan meniti ke ‘Titian Sirat’. Walau ianya hanyalah sekadar simulasi, hanya Allah yang tahu betapa kuatnya debaran jantung kami. Sukar untuk saya ceritakan bagaimana perjalanan simulasi ini. Biarlah saya pendamkan di hati sebagai peringatan buat diri yang alpa agar tidak terjerumus ke lembah yang membinasakan.

Wahai Empunya Diri,
Sudahkah dirimu bersedia menuju suatu yang sangat pasti?

Jujur, modul bagi tahap kedua dan ketiga ini sangat berat. Persiapan diri dari segi kesihatan dan mental itu perlu kita usahakan sebelum melangkah ke modul ini. Sebaik mungkin, bersihkan hati dan mohon Allah kuatkan jiwa kita agar perjalanan training ini dipermudahkan.


Di sinilah segalanya bermula.
Setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Apabila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat, walaupun pada awalnya dilihat begitu sukar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya.

Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.

Sebelum itu saya seorang yang amat berkira-kira. Bersedekah bukanlah sesuatu yang saya anggap perkara yang penting dalam kehidupan. Ya, ada waktunya tangan menghulur juga tetapi pasti akan terbit perasaan ragu dan meluat kepada si penerima.

Zakat? Ya, saya tahu ianya wajib malah salah satu dari rukun Islam yang lima. Sering saya anggap sukar untuk melaksanakan manakan tidak, setiap waktu tidak cukup untuk perbelanjaan keluarga dan hutang-piutang yang perlu dibayar setiap hujung bulan walhal, tidak saya sedar bahawa nikmat dan kekayaan yang Allah berikan kepada saya itu sangat melebihi dari sepatutnya selama ini jika dibandingkan dengan masyarakat lainnya.

Astagfirullah. Semoga saya tidak terlambat untuk memperbetulkan andaian yang terpesong selama ini.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun : Ayat 10)

Di dalam dewan, setiap dari kami dibekalkan dengan secawan plastik yang berisi 5 gumpalan bulat seperti guli yang diperbuat dari kertas. Kami dikehendaki berjumpa dengan setiap teman yang ada di dalam dewan tersebut untuk menghadiahkan ‘guli’ tersebut.

Maha Suci Allah, saya melihat semakin banyak yang saya berikan kepada teman saya maka semakin bertambahnya ‘guli’ di dalam cawan plastik yang saya miliki.

Sangat menakjubkan !

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al-Baqarah : Ayat 261)

Sebagai seorang Muslim, demi Allah, keunikan yang dikurniakan-Nya amat berbeza. Untuk menjadi seorang yang kaya raya bukan dengan cara menyimpan harta dan bakhil sepertinya ‘Kisah Qarun‘. Akan tetapi adalah dengan menyumbangkan harta ikhlas ke jalan yang Allah redhai.

Teringat saya akan persoalan mengapa kita perlu bersedekah kepada fakir miskin?

Ianya adalah kerana, Allah ingin menunjukkan kepada kita bahawa fakir miskin itu sebenarnya adalah diri kita sendiri. Yakni, ‘Fakir’ dengan ilmu dan ‘Miskin’ dengan amalan. Apabila kita bersedekah, sebenarnya pemberian itu adalah untuk diri kita sendiri agar dapat membantu kita di akhirat kelak. InsyaAllah

Akhirnya, saya mendapatkan kekuatan diri yang sangat luar biasa setelah training ini tamat dengan jayanya. Damai rasa hati dan biarlah ianya seperti ini sampai kapan pun waktunya.

Doaku;
“Ya Allah jadikan hatiku seluas Samudera !”

Saya menghadiri training Tahap Kedua dan Ketiga di Shah Alam Convention Centre (SACC)

ESQ Total Action – The Power of Execution (Tahap 4)

Pada modul ini, peserta akan mengetahui apakah itu ‘Kunci Kejayaan‘ dalam setiap perlaksanaan. Ramai orang yang pandai membuat perancangan, namun tidak mampu melaksanakannya. Puncak kecerdasan emosi dan rohani adalah tindakan atau perlaksanaan. Training ini menanamkan kesedaran bahawa waktu untuk mewujudkan visi itu sangat terhad.

Alhamdulillah, kemuncak training ini dapat saya genggam setelah 2 tahun setengah menunggu angkara waktu yang terbatas di perantauan. ‘ESQ Total Action‘ merupakan ‘Final Stage of Personal Transformation Program‘.

Bersama Bapak Guru Dr Ary Ginanjar Agustian di Majlis Graduasi

Bukan mudah untuk mengikuti Tahap Keempat ini kerana ianya hanya di laksanakan setahun sekali pada setiap bulan December dan dibawakan khas oleh Guru Utama kami iaitu Bapak Guru Dr Ary Ginanjar Agustian.

Training ini mengambil waktu selama 2 hari penuh. Terlalu banyak latihan demi latihan yang kami lakukan berlandaskan kepada model ‘7 Pillars Execution‘.

7 Pillars Execution

Mengikut Guru saya Pak Ary, kebanyakkan manusia di dunia bermula dari no 7 yang akhirnya terkandas di no 5.

Fikiran mereka ini berkiblat kan kepada keuntungan dan kenikmatan semata-mata yang akhirnya ‘memakan’ diri sendiri. Ini adalah kerana dunia hari ini mengagungkan pendidikan barat walhal pendidikan berlandaskan Islam itu sendiri mengungguli segala-galanya.

Di peringkat antarabangsa, pelbagai sequence kebaratan untuk berjaya di ikuti. Allahu, kurangnya manusia yang mengikuti ‘sequence’ kisah kejayaan Nabi Ibrahim as.

Lebih malang, personaliti luar ini diangkat setingginya berbanding manusia termulia di bumi ini yakni Baginda Muhammad SAW (sollu alan nabi).

Kita seharusnya bermula dari ‘Ihram’ dan berakhir dengan menikmati ‘Zam-Zam’ yakni simbol kejayaan yang tidak akan pernah berhenti atas izin Allah.

Wa Arina Manasikana – “Tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami” (Surah Al Baqarah : Ayat 218)

Kami ditugaskan untuk mencipta sebuah bandar sebagai antara latihan dalam kumpulan

Kita tidak akan pernah tahu bila datangnya hidayah itu. Yang mampu kita lakukan adalah terus melangkah. Hidup itu indah bukan kerana kita ini sempurna namun, ketika kita mampu menerima.

Setiap langkah adalah penuh hikmah asalkan diri ini terus mencari dan mencari tanpa pernah merasa lelah.

Suatu saat diriku akan tahu, bahawa tiada lagi yang lebih indah dari segala yang terindah kecuali wajah DIA Yang Maha Terindah !

Sekalung kasih buatmu para Guru, membuka hati yang selama ini keras, hanya dengan kuasa ‘kelembutan’ dapat menyinarkan fitrah yang selama ini kelam terkurung di dalam belenggu-belenggu hitam.

Perjalanan masih jauh, rintangan sentiasa akan adanya yang mengekori cuma di kala ini, keyakinan yang menebal bahawa diri ini tidak bersendiri.

ESQ Total Action Graduation Day
ESQ Graduation Day
Kad Alumni Total Action beserta name tag dan medal
Sijil kehadiran Total Action (Tahap 4)

ESQ New Chapter

Terkini, ESQ telah melancarkan satu program yang mirip kepada Personal Transformation Program (Tahap 1) yang di tambah baik dari sebelumnya. Training ini mengambil masa selama 2 hari penuh dan ketika ini sessi pengajaran dalam bentuk maya (online).

Benar, kebahagiaan seseorang itu sifatnya relatif. Bahagia versi kita belum tentu mampu membuat orang lain bahagia juga. Kerana perbezaan inilah kadang kala membuatkan kita dan orang disekeliling kita tidak memahami malah, tidak terkecuali ‘bertegang leher’.⁣

  • Ada yang bahagia dengan karier dan pekerjaaannya
  • Ada yang bahagia dengan pasangannya
  • Ada pula yang bahagia kerana puas dengan populariti yang sudah diraih sejauh ini

Jikalau kita membandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain, tentu yang ada timbul sifat ego yang mampu melunturkan keakraban kita dengan orang tersebut.⁣⁣

Yang pasti, ada kebahagiaan yang bisa diraih dan mampu mengeratkan tali persaudaraan dengan orang lain. ⁣

Bagaimanakah caranya?⁣

⁣Kebahagiaan yang dimaksud berasal dari hati kita sendiri !

⁣Hati yang bersih dan terbebas dari penyakit hati tentunya menjadi sumber kebahagiaan bagi kita dan orang⁣ sekitar kita. Hati yang terhindar dari segala sifat tercela ini akan mampu membantu kita menemukan kebahagiaan yang berasal dari-Nya.⁣

⁣Kebahagiaan yang berasal dari Allah Yang Maha Esa tentu sifatnya unggul dan bersifat tidak lekang oleh waktu. Dan kebahagiaan inilah yang akan anda rasai malah mengalinya sebaik mungkin di dalam Training New Chapter dari ‘ESQ 165 Malaysia‘.⁣

⁣Training ini di bawakan khusus untuk anda oleh Guru Spritual saya Dr Ary Ginanjar Agustian secara langsung dari Menara 165, Jakarta, Indonesia.

Antara modul yang akan anda pelajari adalah seperti berikut;

The Power of WHY
Sebelum Anda mengetahui cara-cara dan langkah-langkah untuk sukses mewujudkan impian anda, terlebih dahulu anda harus tahu alasan mengapa Anda harus sukses, serta bagaimana anda mampu menggali potensi terdalam yang ada pada diri anda, dilanjutkan dengan cara memaksimalkan modal utama kesuksesan dalam diri anda, dan ditambahkan dengan bagaimana memiliki 3 alasan kuat untuk sukses sehingga mempu membangkitkan 3 Motivasi kesuksesan yang ada di dalam diri Anda.

The Law of SINGULARITY
Dalam Training ini kita akan mengetahui keberadaan, kebesaran, ke-Esaan dan keteraturan Yang Maha Pencipta. Kerana, hal ini yang menjadi tapak awal dalam menggapai tujuan hidup. Anda harus memiliki sandaran hidup sehingga anda akan kuat menghadapi segala tentangan kehidupan.

Finding Your INNER SELF
Di sini kita akan menemukan bagaimana ‘Devine Commitment’ antara manusia dengan Yang Maha Kuasa, sehingga kita akan mampu menemukan jati diri, keberadaan kita sebagai manusia di dunia dan mampu melakukan pencarian jati diri manusia yang sesungguhnya.

MENTAL BLOCK Break Through
Anda dan saya pernah memiliki ‘Mental Block’, yang menjadikan anda sukar meraih prestasi dan unggul dalam segala bidang, sehingga Anda tidak mampu mencapai kesuksesan sampai ke saat ini. Di sini kita akan belajar secara langsung, bagaimana menghancurkan belenggu, bagaimana menganalisa belenggu diri dan bagaimana cara menghancurkannya.

The Strength of SPRITUAL COMMITMENT
Bagaimana meraih keikhlasan dalam bekerja dan memiliki integriti tinggi, memegang teguh prinsip hidup yang abadi, selalu melakukan setiap pekerjaan kerana Allah, membangun kepercayaan diri dari dalam dan bukan kerana penampilan fizik semata, menjadi diri yang berkarisma, membangun motivasi, selalu ingin maju, ingin menjadi yang terbaik, kreatif dan inovatif.

Building SPIRITUAL INTEGRITY
Bagaimana mengerjakan segala sesuatu dengan tulus dan ikhlas, menjadikan pekerjaan sebagai pengabdian, berprestasi tinggi di setiap pekerjaan kerana Allah. Tulus ikhlas tidak mengharap pujian, bersemangat dalam meraih prestasi sehingga anda menjadi sosok yang berintegriti tinggi.

The LEADER In You
Bagaimana anda mampu membaca situasi dan kondisi, mampu membina hubungan persahabat di manapun anda berada pada bila-bila masa.Tulus ikhlas dari hati yang mampu menciptakan mentee atau pelapis yang lebih baik. Menjadi pemimpin yang berpengaruh dan terpercaya, mampu memimpin dengan hati bukan dengan mengarah, menjadi pemimpin yang memiliki keperibadian dan mampu menjadi ‘role model’ bagi orang lain.

The Miracle SELF DEVELOPMENT
Bagaimana memiliki kebiasaan membaca situasi yang ada, memiliki kebiasaan berfikir kritis dan analitis, mampu menilai situasi dan keadaan semsa, memiliki kebiasaan untuk selalu menyempurnakan segala sesuatu dan selalu sibuk memperbaiki diri sendiri yang sesuai dengan pedoman dan rujukan utama kehidupan.

The Secret Of THINKING BIG
Bagaimana memiliki ketenangan batin dan jaminan masa depan, mampu mengendalikan diri, sanggup mengoptimalkan usaha dan selalu berorientasi pada tujuan akhir. Mampu membuat skala keutamaan (priority) dalam setiap pekerjaan, memiliki target yang jelas dalam bekerja, selalu menilai pekerjaan, memiliki ‘log book’ dan mampu mencapai target harian, mingguan, bulanan tahunan dengan penuh komitmen dan konsisten.

The Power Of ABUNDANCE MENTALITY
Bagaimana memiliki kemampuan untuk mengatur dan membuat system, menentukan rencana dan tujuan dengan lebih jelas menjadi organizer yang handal, mampu memotivasi team anda untuk mencapai tujuan, menciptakan pengawasan, kawalan dan melakukannya dengan penuh disiplin dan kesadaran diri yang tinggi sehingga ikhlas menerima hasil akhir yang kita perolehi.

Zero Mind PROCESS TECHNIQUE
Di sini anda akan mempelajari bagaimana cara menggunakan teknik menganalisa belenggu diri, teknik membuka mindset kesuksesan, teknik pembersihan belenggu kesuksesan, teknik membuka kesuksesan diri sendiri, teknik memotivasi diri sendiri. Ingat bukan hanya tekniknya sahaja yang akan anda fahami namun anda akan mampu menggunakannya dan mengajarkannya kepada team anda.

Tidak dengan itu, masih banyak lagi perkongsian ilmu yang akan anda pelajari melalui Training ESQ New Chapter ini.

Pengalaman peribadi saya setelah mengikuti training ini, saya merasai kelapangan dan kebahagiaan hati. Diri umpama ‘magnet’ yang menarik sesuatu yan positif malah, hubungan antara sesama semakin terjalin atas izin Allah.

Tidak hanya sekadar tuntunan belaka namun anda akan dibentuk agar memiliki peribadi yang bahagia dengan ilmu 165 dari ESQ Malaysia.

InsyaAllah, melaluinya kebahagiaan hakiki itu akan segera di genggaman.⁣ Allahumma Ameen

Alhamdulillah atas izin-Nya dan semurni kasih-Nya yang meliputi segala sesuatu.

Tidak berakhir di sini, pelbagai training lainnya melalui ESQ turut saya hadiri. Yang membahagiakan saya, isteri dan 2 dari anak saya turut merupakan Alumni ESQ Malaysia. Alhamdulillah

Anakanda Adam dan Danish sewaktu menghadiri training ESQ Kids

Training ini banyak mengubah cara kehidupan saya. Benar, segalanya bukan sekadar kerana kita ini mampu tetapi yang utamanya, adakah kita ini mahu untuk berubah ke arah sesuatu yang lebih sempurna.

Demi Allah, tiada manusia yang sempurna melainkan Baginda Rasul yang terpilih. Namun, setidaknya dengan sedikit usaha untuk bangkit dari tidur yang lena itu adalah suatu yang amat terpuji agar diri mampu sedekatnya dengan Yang Maha Esa.


Dengan rendah diri saya mengalu-alukan para Sahabat yang berkesempatan untuk menghadiri Kursus ‘Personal Transformation Program‘ ini nanti tatkala pendaftarannya di buka. Ketika ini, namanya telah di rubah kepada ‘ESQ New Chapter‘.

‘Back to Fitrah’ dan pasti akan anda rasainya hingga menusuk ke hati yang dalam. Percayalah, ianya akan menjadi antara ‘azimat’ terkuat untuk digenggam hingga ke hujung hayat atas izin Allah.

Akhir kalam, saya berpesan kepada diri saya dan anda yang membaca nukilan ikhlas ini agar menjaga hati kita sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa;

“Tiada hati melainkan memiliki semacam awan yang menyelimuti rembulan. Ketika tidak terhalang, ia memancarkan sinarnya dan ketika awan datang, ia menjadi gelap”. (Terjermahan Hadis Riwayat Imam At Thabrani)

Sungguh, saya hanyalah insan kerdil yang menumpang di bumi yang bersifat sementara. Hanya Allah dan akhirat itulah tujuan hidup saya sebenar-benarnya. Doakan saya agar Allah menerima saya tatkala kembalinya saya di suatu masa dan pada masa yang sama, mampu membuatkan Baginda Rasullullah ‘tersenyum’ mesra ‘di sana’.

165 – Ihsan, Rukun Iman dan Rukun Islam. Jadikan ianya mengalir di setiap tubuh, tulang, urat dan darahmu !

Peaceful, steady, passion.

Salam 165, Pagi !

Yuhailmy a.k.a Abu Adam
Alumni ESQ 165 Malaysia

Suatu bangsa akan mengalami ‘Kejayaan‘ apabila hati menjadi Panglima. Dan akan mengalami masa ‘keEMASan‘ ketika akal fikiran dan hati di satukan. Dan mengalami ‘Kehancuran‘ ketika akal fikiran dan nafsu menjadi Panglima !
[Arnold Toynbee]
Setiap apa hasrat dan impianmu harus bermula dari ‘Find Your Big WHY ?
Sekalung kasih buatmu para Guru yang membimbing kami agar mencapai kekuatan spritual yang diharapkan. Sungguh, hanya Allah SWT yang mampu membalasnya
Name Tag dan Kad Alumni saya sekeluarga di abadikan di dalam ruangan office di rumah saya agar menjadi kenangan terindah kami.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s