Antara Kehebatan Bersedekah

Dalam banyak-banyak amalan kebaikan, akan ada manusia ketika di dunia dulu sangat berat untuk bersedekah. Namun, ketika menghadapi saat kematiannya, dia merayu kepada Allah supaya ditangguhkan seketika supaya dia dapat berbuat demikian.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun : Ayat 10)

Manusia hanya akan tahu kehebatan dan ketinggian amalan sedekah itu selepas mereka meninggal dunia dan sedekah itu digambarkan sebagai sesuatu yang sangat luar biasa.

Mengikut perkiraan asas matematik, apabila satu tolak satu, maka hasilnya adalah kosong. Bagaimanapun, tidak bagi amalan sedekah kerana perkiraan (1-1) itu akan jadi 10 sehingga 700.

Demikian besarnya ganjaran pahala dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang bersedekah dan berinfak di jalan Allah.

Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah.

Kerana itu, bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan kita hari ini, sedekah adalah jalan penyelesaiannya. Secara logiknya, apabila berada dalam kekurangan, pasti kita mengharapkan orang lain memberikan sesuatu.

Bagaimanapun, perkara itu perlu diubah. Kita perlu berusaha untuk bersedekah walaupun dalam keadaan kekurangan selain meyakini amalan itu menyebabkan diri kita akan memperoleh banyak kelebihan.

Jika seseorang itu memberi sedekah, dan dia tahu bahawa sedekahnya itu sampai kepada Allah SWT dahulu sebelum orang yang disedekahkannya, maka dia akan mendapat kegembiraan dalam pemberiannya.

Adapun, di antara kehebatan bersedekah itu adalah;

  • Sedekah adalah salah satu pintu untuk menuju ke Syurga Allah SWT
  • Sedekah ialah perbuatan yang paling mulia antara semua perbuatan kebaikan dan sedekah yang paling baik adalah dengan memberi makanan kepada orang lain
  • Sedekah akan dihisab pada hari Kiamat dan melalui sedekah juga akan menjauhi api neraka jahanam
  • Sedekah mampu memadamkan kemurkaan Allah SWT dan mampu memadamkan kepanasan di dalam kubur
  • Perkara yang paling memberi keuntungan kepada orang yang telah meninggal dunia adalah sedekah dan Allah SWT akan sentiasa memanjangkan pahala dari sedekah tersebut
  • Sedekah mampu mensucikan roh dan menambah pahala kebaikan
  • Sedekah adalah salah satu cara untuk mendapat kebahagiaan di hari Kiamat di hadapan Allah SWT
  • Sedekah boleh menyelamatkan diri dari celaka di hari Kiamat dan tidak akan membuat anda sengsara disebabkan masa lampau anda
  • Sedekah mampu menghapuskan dan diampunkan dari dosa yang telah dibuat
  • Sedekah adalah kepastian untuk meninggal dunia dalam keimanan serta ketakwaan terhadap Allah SWT dan malaikat akan mendoakan kebaikan kepada anda
  • Orang yang memberi sedekah ialah orang yang baik dan sesiapa yang terlibat dalam melakukan kebaikan tersebut akan diberi ganjaran oleh Allah SWT
  • Orang yang memberi sedekah dijanjikan akan mendapat ganjaran yang hebat dari Allah SWT
  • Orang yang memberi sedekah adalah tergolong dari golongan orang yang disayang oleh masyarakat
  • Memberi sedekah adalah perbuatan yang mulia dan dihormati
  • Sedekah mampu melepaskan anda daripada kesusahan dan doa yang dipohon akan dimakbulkan Allah SWT
  • Sedekah mampu menghapuskan kesulitan hidup dan ditutup 70 pintu kecelakaan di dunia
  • Sedekah mampu memanjangkan umur seseorang itu dan boleh memberi kejayaan hidup
  • Sedekah adalah ubat
  • Sedekah mampu menolong anda dari kecurian, kematian yang dahsyat dan hina, kebakaran dan lemas
  • Sedekah ialah ganjaran yang baik meskipun anda memberi kepada binatang sekeliling

Ayat Al-Quran Tentang keajaiban Bersedekah

  • Gambaran Orang yang Mengajak Bersedekah

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.(Surah An-Nisa : Ayat 114)

  • Sedekahkan Harta yang Kita Sukai

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran : Ayat 92)

  • Pahala Orang Yang Bersedekah

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al-Baqarah : Ayat 261)

  • Sedekah di Waktu Sulit

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah At-Thalaq : Ayat 7)


Dalam satu hadis menerangkan, manusia jika mereka biasa bersedekah walaupun dengan sedikit kurma, ia mampu menghalang wajahnya daripada dibakar api neraka.

Selain itu, apabila berada dalam keadaan bersedih juga kita mencari peluang untuk bersedekah. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kegembiraan pada hati kita yang berdukacita itu.

Lihat bagaimana kisah Asma’ binti Abu Bakar iaitu anak sahabat karib Nabi SAW, Abu Bakar As-Siddiq. Beliau terkenal dengan sifat pemurah walaupun dirinya dalam keadaan tidak berkemampuan.

Meskipun bapanya ahli perniagaan yang kaya raya, namun selepas berhijrah ke Madinah, Abu Bakar tidak meninggalkan sebarang harta buat keluarganya.

Begitu juga dengan suami Asma’, Zubair bin Awwam. Beliau seorang yang sangat dihormati dan berjaya juga dalam perniagaan. Namun, seluruh harta yang dimiliki turut diinfakkan di jalan Allah. Kemurahan hati dan sifat dermawan itu akhirnya turut mengalir dan sebati dalam diri Asma’.

Diriwayatkan dari Qasim bin Muhammad, “Aku mendengar Ibnu Zubair berkata, ‘Tidak pernah aku melihat seorang wanita pun yang lebih murah hati dari Aisyah dan Asma’.

Dalam hadis riwayat Bukhari ada diceritakan, pada satu ketika Asma’ datang kepada Rasulullah kemudian dia bertanya; “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai apa pun selain yang dibawa pulang Zubair, apakah aku harus bersedekah?”

Kemudian Rasulullah menyuruh Asma’ bersedekah dan tidak menyimpan hartanya. Kisah kemurahan hati Asma’ binti Abu Bakar itu sepatutnya dijadikan contoh buat diri kita.

Jika hendak melakukan sesuatu kebaikan seperti bersedekah, jangan terlalu banyak berfikir atau berkira untuk melaksanakannya kerana amalan itu sebenarnya sangat dekat dengan nilai ketakwaan.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” (Surah Ali-Imran : Ayat 133)

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Surah Ali-Imran : Ayat 134)

Justeru, setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Bila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat, walaupun pada awalnya dilihat begitu sukar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya.

Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.


Dikesempatan ini, saya mewakili ‘Sekolah Anak Yatim Alkitab, Beranang‘ yang kini di dalam fasa pembangunan madrasah yang baru merayu agar orang ramai dapat menginfaqkan sedikit dari hartanya agar dapat untuk kami melaksanakan hasrat murni ini.

Melihat berdirinya kompleks madrasah berlandaskan kepada pelan pembangunan di suatu masa nanti adalah antara ‘Impian Utama’ saya sebelum mata terpejam buat selamanya.

Anda mampu membuatkan saya tersenyum ‘Bangga’ jika bersama membantu untuk merealisasikan impian indah ini nanti. Subhanallah, saya yakin dengan impian murni, pasti Baginda Rasulullah tersenyum di sana.

Doakan saya !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s