Karamah Melayu

Bangsa Melayu pernah digentar,
Ular, harimau ditepuk tampar,
Kerisnya bisa silatnya gempar,
Amuk Melayu bumi bergegar.

Bangsa Melayu pernah gagah,
Berkaki ayam hutan diredah,
Pernah cuba diganyang penjajah,
Umat Melayu jihad sabilillah.

Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Seantero dunia kesultanan hebat,
Tujuh penjajah cuba menempat,
Dengan kudrat semua dihambat.

Bangsa Melayu bangsa keramat,
Nabi (SAW) pernah beramanat,
Buat dakwah di bumi berkat,
Di akhir masa akan ramainya wali hebat.

Bangsa Melayu terasnya hikmat,
Sejarah Melayu tertera riwayat,
Nabi (SAW) memberi amanat,
Raja Melaka mendapat hidayat.

Bangsa Melayu penuh santunan,
Agama dijunjung zaman berzaman,
Wali Melayu penuh kehebatan,
Karamah barakah jadi laziman.

Bangsa Melayu penuh daulah,
Halusi sahaja kisah sejarah,
Wa’ad Melayu jangan disanggah,
Sanggah waad menjemput tulah.

Tanah Melayu pernah tersurat,
Raja rakyat saling muafakat,
Alim ulama dijunjung hormat,
Bumi bertuah terbilang sejagat.

Bumi Melayu penuh berkat,
Tempat tumpuan ulama sejagat,
Madrasah pondok merata tempat,
Menjana insan unggul berhikmat.

Tanah Melayu intinya hebat,
Bumi zuriyyat Nabi (SAW) sudah tersurat,
Kesultanan Melayu hampir padat,
Pancaran Baginda penuh karamat.

Bumi Melayu pernah terbilang,
Sejarah rajanya penuh gemilang,
Turunan penjajah mana menghilang,
Kesultanan tradisi masih ditatang.

Melayu pernah berilmu budaya,
Dari llahi satu kurnia,
Manuskrip tersebar serata sedunia,
Menyimpan khazanah Melayu tua.

Bangsa Melayu halus seninya,
Hayati warisan persuratannya,
Syair seloka indah madahnya,
Pertukangan sulaman tiada taranya.

Berkurun Melayu junjung agama,
Adat dijaga bersama-sama,
Bangsa Melayu harum namanya,
Rahmat Allah turun semua.

Orang Melayu usahlah alpa,
Warisan leluhur bukan sehari dua,
Pusaka Melayu 6 kurun lamanya,
Jadi kebanggaan anak bangsanya.

Orang Melayu usahlah goyah,
Propaganda musuh jangan melatah,
Ungkapan’Melayu lemah’ semata tohmah,
Strategi musuh mencabar maruah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Namun dicemar musuh keparat,
Propaganda keji dibuat-buat,
Maruah Melayu disiat-siat.

Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Silap Melayu membuang adat,
Silap rajanya membuang muafakat.

Bukan baru musibah Melayu,
Sudah wujud sekurun dua nan lalu,
Serangan penjajah bertalu-talu,
Tradisi dijarah tiadalah malu.

Melayu mula ditimpa musibah,
Pabila Inggeris datang menjajah,
Adat dibuang agama disanggah,
Akhirnya Melayu ditimpa tulah.

Sekian lama Melayu disasarkan,
Sejarah jatidiri diserang-serang,
Musuh luar dan dari dalaman,
Mungkin tersirat suatu ramalan?

Melayu kini resah gelisah,
Namun jelas hakikat sejarah,
Mungkin tersirat sebalik musibah,
Melayu pencetus kebangkitan ummah?

Ingat pesanan Rasulullah (SAW),
Panji hitam dari timur, bumi karamah,
Bangsa Melayu usah menyerah,
Cari kekuatan dari sejarah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat
Baka Melayu penuh hakikat,
Bumi ahlul-bait itulah kudrat,
Umara-ulama kunci terletak.

Laksamana Hang Tuah gagah orangnya,
Berilmu, bertariqat, berisi dirinya,
Jangan perlekeh riwayat firasatnya,
“Takkan Melayu Hilang di Dunia !”

Kesufian Melayu

One thought on “Karamah Melayu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s