Jangan Sampai Kita Muflis di Akhirat !

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda;

“Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab;
“Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda;
“Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain. Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” [Hadith Riwayat Ahmad | Hadith No: 8062 | Status: Hasan Sahih]

Allah SWT menyuruh manusia mencari bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa pulang ke akhirat. Sebaik-baik bekalan adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Maka, kita disuruh beramal dan melakukan kebajikan sebanyak yang mungkin.

Bagaimanapun, bukan satu perkara pelik jika dikhabarkan terdapat golongan manusia kelak membawa pahala amal kebajikan selama mereka hidup di dunia, namun semuanya diberikan kepada orang lain.

Lebih dahsyat, dia terpaksa pula menanggung dosa dilakukan orang lain. Golongan itu digelar oleh Rasulullah SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat.

Bayangkan, pada asalnya, banyak pahala dibawa ke akhirat termasuk solat, puasa, zakat dan sebagainya, namun sayang semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa yang dilakukan terhadap mereka.

Setiap manusia akan menuntut semula pembalasan di atas setiap kezaliman yang pernah dilakukan seseorang itu di dunia dahulu.

Antara dosa paling banyak dilakukan sesama manusia adalah disebabkan lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang- kala disalahgunakan untuk memaki-hamun, mencela, memfitnah dan menuduh orang lain dengan tuduhan jahat. Begitu juga amalan mengadu domba, mengumpat dan seumpamanya.

Selain itu, ada juga yang mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran atau dengan cara salah serta zalim. Ini termasuk dengan cara mencuri, menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya.

Walaupun nilai diambil itu mungkin sedikit, ia tetap akan dituntut oleh tuannya di akhirat kelak.

Barangkali ada manusia ketika di dunia mereka terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat dia tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada menerima hukuman daripada Allah SWT.

Begitu juga buat mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman berlaku juga tidak akan terlepas daripada mendapat balasan.

Keadilan wajib ditegakkan, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kuasa ketika di dunia ini. Oleh itu, jangan sekali-kali membiarkan diri kita tergolong dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud, ayat 113)

Kesimpulannya, Allah SWT mengharamkan kezaliman berlaku dalam kalangan makhluk-Nya. Jika seseorang dizalimi, pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun tiada seorang manusia pun yang mahu membela dirinya.

Sudah tentu pembelaan daripada Allah SWT lebih mulia dan doa orang dizalimi juga tidak akan ditolak oleh-Nya.

Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s