Ujian Sebagai Tanda Kasih Allah Kepada Hamba-Nya

Salam buatmu Saudaraku yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda;
“Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh apabila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. Tetapi buat yang tidak, mereka tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja”.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan apabila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Alhamdulillah… Allah ingat lagi padaku).

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (QS. Al-‘Ankabut 29: Ayat 2)

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
(QS. Al-‘Ankabut 29: Ayat 3)

Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji;

  • Kuatkan iman, pupuk kesabaran dan mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya yakni Allah Yang Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.
  • Cuba serapkan rasa di dalam hati bahawa kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita dan bukan apa yang berlaku di luar diri kita. Allah berikan yang pahit untuk dijadikan ubat. Tatkala Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam, buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
  • Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Apabila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadana, insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (QS. Al-Baqarah 2: Ayat 286)

Bersyukur Dalam Musibah

Bersyukur dalam musibah dengan menganggapnya sebagai nikmat dapat membuat diri senang dan jiwa tenang. Senangnya diri dan tenangnya jiwa akan membuat indah kehidupan. Kehidupan yang sementara jika terlihat indah, maka akan terisi dengan amal-amal yang menarik walaupun amal itu begitu berat.

Ini merupakan satu kedudukan yang sangat sukar dicapai dii mana seorang insan, berasa gembira dan bersyukur apabila diuji, sehingga ucapan yang keluar daripada mulutnya ialah ucapan manusia yang menerima nikmat iaitu Alhamdulillah.

Kita harus yakin bahawa kita sebetulnya mampu untuk melewati semua ujian yang Allah berikan pada kita. Dan ingat, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita!

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s