Israk dan Mikraj – Kisah Sebuah Pengajaran Yang Agung

Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.

Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi “Sidratul-Muntaha”; Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.” (Surah an-Najm : Ayat 13-18)

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam. Maha Suci Allah

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar.

Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW dan bukannya roh sahaja.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya ataupun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali.

Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan;

“Benar! Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya”.

Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. Astagfirullah


Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya.

Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.

Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk (perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Setibanya di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan solat sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah;

  • Negeri Thaibah (Madinah) – Tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah
  • Bukit Tursina – Tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah
  • Baitul-Laham – Tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan Jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.


Peristiwa Simbolik Sebagai Pengajaran Semasa Israk

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail; “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah; “Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail; “Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail; “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.”
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail; “Itulah orang yang memakan riba.”
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail; “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail; “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail; “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail; “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.”
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail; “Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail; “Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.”
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail; Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Antara pengajaran lain dalam peristiwa itu ialah mengenai wanita. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi.

Lalu Baginda bertanya kepada Jibril kawasan apakah yang sedang mereka lalui. Jibril menjawab;

“Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga.” Beliau adalah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun.

Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka. Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah. Apabila puteri itu mendengar perkataan “Allah”, dia bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya. Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: “Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah.”

Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah. Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan Firaun untuk membunuh Masyita. Firaun memerintahkan patung lembu itu diletakkan di atas api sehingga panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.

Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam lembu itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun kerana terlalu sayangkan anaknya.

Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: “Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran.” Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.

Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj. Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah kerana mempertahankan akidah sehingga mati.

Dalam perjalanan itu, Baginda turut diperlihatkan 10 jenis seksaan yang menimpa wanita yang membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali mengenangkannya.

  • Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.
  • Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.
  • Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
  • Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dahulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.
  • Selain itu, Baginda melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
  • Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.
  • Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.
  • Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

Dan banyak lagi peristiwa yang dilihat oleh Nabi Muhammad SAW.


Peristiwa Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT)

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail, Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Maka setelah itu didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama: Rasulullah SAQ dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Langit Ketiga: Naik langit ketiga lalu bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat dan bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu;

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda;

“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT; “Ya Muhammad.”

Rasulullah; “Labbaika.”

Allah SWT; “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Rasulullah; “Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

Allah SWT; “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ‘ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah‘ sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Peristiwa Selepas Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.


Kisah Pembuktian Israk dan Mikraj

Orang-orang kafir Quraisy tidak percaya sama sekali dengan kisah Israk dan Mikraj ini dan mereka meminta bukti jika benar Baginda Rasulullah telah pergi ke Baitul Maqdis dalam satu malam.

Mereka minta dua bukti isra miraj yang mereka bisa memeriksa kebenarannya iaitu;

  • Pertama, tentang Baitul Maqdis. Kerana di antara tokoh Quraisy ada yang telah mengetahuinya dengan sangat jelas termasuk pintu-pintunya. Menurut mereka, Muhammad tidak mungkin tahu sedalam itu.
  • Kedua, tentang kafilah dagang mereka. Menurut logik, Muhammad tidak mungkin tahu rombongan dagang mereka kecuali jika melewati mereka dalam perjalanan ke Baitul Maqdis tersebut.

“Wahai Muhammad nyatakan secara terperinci kepada kami tentang Baitul Maqdis,” pinta mereka.

Benar, Rasulullah memang telah israk ke Baitul Maqdis. Tetapi kejadian itu terjadi di malam hari sehingga beliau tidak begitu memperhatikan bangunannya dengan jelas. Lagi pula, beliau juga tidak perlu memperhatikan sedalam itu kerana ianya bukan lah tujuan utama israk dan mikraj tersebut.

Orang-orang kafir Quraisy sebenarnya ingin mempermalukan Rasulullah dan mencari alasan agar dapat mendustakannya. Namun Allah tidak menghendaki demikian.

Maka datanglah Malaikat Jibril membawakan gambaran Baitul Maqdis di atas sayapnya. Sembari melihat apa yang ditampilkan oleh Jibril, Rasullullah menjawab pertanyaan Kafir Quraisy dengan sangat jelas. MasyaAllah

Mereka amat terkejut. Bagaimana mungkin Rasulullah mampu menjelaskan dengan sangat baik? Lalu mereka segera beralih ke pertanyaan kedua.

“Aku melintasi rombongan unta Bani Fulan di Rauha’ dan mereka sedang kehilangan salah satu unta mereka lalu mereka berusaha mencarinya. Lalu aku sampai pada kumpulan kendaraan mereka dan tidak seorang pun berada di sana tiba-tiba aku menemukan semangkuk air lalu aku meminum darinya. Silakan kalian tanyakan tentang itu kepada mereka,” jawab Rasulullah.

“Lalu aku sampai kepada rombongan dagang Bani Fulan. Maka lari dariku seekor unta dan seekor unta betina berwarna merah berlutut, di atasnya terdapat tandu untuk membawa barang-barang yang ditulis dengan tulisan putih. Aku tidak tahu apakah unta-unta yang telah mematahkannya atau tidak. Silakan kalian tanyakan kepada mereka tentang itu.”, lanjut Rasulullah

“Lalu aku tiba di rombongan dagang Bani Fulan di Tan’im, berada di barisan terdepan seekor unta putih berbelang hitam dan sejenak lagi dia akan datang kepada kalian melalui Ats Tsaniyah (jalan di lereng bukit) !”

“Demi Tuhan, ini adalah pertanda,” sebagian mereka berbisik setelah mendengar jawaban Rasulullah

Rasulullah menghadirkan empat bukti lengkap. Maha Suci Allah yang mengaturkan segala-galanya.

Tidak mahu kaumnya percaya dengan jawapan Rasulullah dan Israk Mikraj ini, Walid bin Mughirah langsung membuat pernyataan;

“Dia seorang tukang sihir,” kata Walid menuduh Rasulullah.

Orang-orang kafir Quraisy itu mengetahui bahwa empat bukti Israk Mikraj yang disebut Rasulullah adalah nyata sebagaimana fakta yang mereka ketahui. Namun, mereka lebih condong ke tuduhan Walid bin Mughirah.

“Benar apa yang dikatakan Walid Bin Mughirah tentangnya,” kata mereka sembari pergi meninggalkan Sang Nabi.

Astagfirullah


Peristiwa Israk Mikraj itu berlaku ketika dakwah menghadapi tentangan cukup hebat daripada pembesar Musyrikin. Ia berada di kemuncak penindasan dan penyeksaan serta komplot pemulauan dan sekatan ekonomi terhadap umat Islam.

Di tengah senario itu, isteri Nabi SAW, Sayidatina Khadijah al-Khuwailid RA dan bapa saudaranya, Abu Talib wafat sedangkan mereka banyak memberikan perlindungan kepada perjuangan Baginda hingga sejarawan menamakannya sebagai ‘Am al-Huzni atau Tahun Kesedihan.

Ini sedikit sebanyak memberikan impak mendalam kepada jiwa Nabi SAW. Ditambah penolakan total penduduk Thaif sehingga Baginda dibaling batu oleh kanak-kanak kota itu. Pengajaran Allah SWT itu berterusan dan merentas sempadan masa hingga pada zaman kita, termasuk hakikat jalan dakwah yang sukar dan payah itu.

Allah SWT mahu membangkitkan semangat Rasulullah SAW bersama pengikut Baginda yang taat dan iltizam supaya terus memiliki momentum dakwah. Ia hadiah Allah SWT kepada Baginda bagi menyegarkan semula semangat, memperbaharui tekad perjuangan, membangkit kekuatan dan cita-cita bagi memikul gagasan besar dakwah.

Semangat dan momentum diperoleh sepanjang pengembaraan itu mampu melonjak roh dakwah serta gerakan, mencari ruang baharu kerana mukjizat sarat dengan hikmah, kaya dengan nostalgia dakwah menerusi pertemuan antara beberapa generasi dakwah dari Adam AS hingga Rasul sebelum Baginda. Ia isyarat kesinambungan risalah.

Begitu juga kaitan antara dua masjid yang menjadi teras kesatuan akidah antara dua zuriat pewaris Nabi, zuriat Nabi Adam AS daripada Bani Israel dan Nabi Ibrahim AS serta penerimaan amanah agung di hadapan Allah SWT akan tanggungjawab solat.

Momentum itu memberikan ufuk baharu kepada perjuangan Baginda bahawa dakwah perlu dipacu dan menempuh manusia, manakala jaringan dakwah luas dan bahtera dakwah perlu dikemudi.

Antara yang boleh kita gali daripada mukjizat Israk Mikraj itu ialah ia cara atau uslub didikan Allah SWT kepada Rasulullah SAW bagi menyegar perjuangan dakwah.

Justeru, ketika pendakwah berasa lesu dan lemah, maka wasilah jaulah atau perjalanan menjadi kaedah terbaik untuk mengembalikan semangat, menimba pengalaman daripada orang terdahulu dan menenangkan perasaan.

Begitu juga pendakwah perlu sentiasa disuntik semangat supaya momentum dakwah sentiasa hidup. Pemimpin dakwah dan pendidik hendaklah meniupkan api perjuangan dan membina zon proaktif agar tenaga mereka sentiasa berkekalan.

Dakwah juga ialah ‘pewarisan’ seperti Rasulullah SAW bertemu Nabi terdahulu yang mengambil semangat dan memimpin jemaah solat mereka.

Ia juga menjadi pembaharuan keazaman selepas melewati pelbagai cabaran di jalan dakwah, sekali gus mengingatkan bahawa dakwah ialah hak milik Allah SWT, sedangkan manusia pemegang amanah. Segala ujian bukan tanda kemurkaan-Nya, sebaliknya untuk menjelaskan sunnah dakwah tidak lari dari dugaan.

Perjalanan itu sebenarnya ubat penenang dan penyegar jiwa Rasulullah SAW. Kesantaian dan keseronokan dalam pengembaraan itu, mengembalikan kekuatan Baginda dan menghilangkan kekusutan.

Begitu juga penyucian jiwa sangat penting dalam proses pendidikan. Untuk menghadap Allah SWT, maka pendakwah perlu memiliki jiwa bersih dan suci kerana ia perjalanan hati menuju kepada-Nya.

Ia mengajarkan kita bahawa bagaimana mungkin kita ingin bertemu Allah SWT sedangkan jiwa kotor dengan dosa. Di samping itu, kita tidak boleh lupa solat sebagai tiang utama Islam. Kewajipan itu mesti dititik berat sebagai wahana pembentukan peribadi Muslim dan pendakwah.

Dalam perjalanan dakwah, kita memerlukan bekalan dan bimbingan daripada Allah SWT. Kelangsungan pendidikan itu yang menjadikan pendakwah tidak gugur atau patah dalam perjalanan dakwah.

Pendidikan menjadi teras perjuangan. Nabi SAW sentiasa dibimbing dan dididik biar apa jua kesulitan menimpa dan kesenangan diterima. Susah senang ialah warna-warni perjuangan.

Dalam gerakan pendidikan dan dakwah, kita juga perlu melihat masa depan dengan penuh optimistik dan ada fiqh tanabbu’ atau kajian masa depan agar sampai sasarannya.

Kejayaan awal selepas berlaku mukjizat ini ialah peluang dakwah kepada penduduk Yathrib (Madinah) terbuka meskipun orang kafir di Makkah menolak untuk mempercayainya.


Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.

Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT yang mana, Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Muhammad SAW.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis (Palestin) yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam).

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam.

Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan serta menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Advertisement

One thought on “Israk dan Mikraj – Kisah Sebuah Pengajaran Yang Agung

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s