Tawadu’ secara bahasa artinya rendah hati. Secara istilah tawadu’ adalah sikap merendahkan hati, baik di hadapan Allah SWT maupun sesama manusia. Sikap tawadu’ merupakan bagian dari akhlakul karimah sehingga sikap dan perilaku manusia akan menjadi lebih baik. Manusia yang sedar akan hakikat kejadian dirinya tidak akan pernah mempunyai alasan untuk merasa lebih baik antara yang satu dan yang lainnya.
Melatih Diri Menjadi Tawadu’
Takbur dan tawadu’ adalah dua sifat yang berlawanan. Sifat yang pertama itu sangat dibenci dan manusia wajib menjauhinya kerana ia sifat iblis, manakala yang kedua dipuji dan patut menjadi perhiasan diri setiap individu.
Disebabkan takbur, iblis dikutuk Allah dan berbekalkan sifatnya itu jugalah ia menggoda manusia tanpa mengira sempadan daerah dan waktu supaya mengikut jejak langkah menjadi bongkak.
Sungguh jelek sifat takbur, bukan saja dikeji, bahkan membawa kecelakaan kepada diri, sebagaimana iblis yang dijanjikan seburuk-buruk tempat di akhirat.
Begitupun, sifat tawadu’ tidak mudah digapai melainkan melalui latihan jiwa dan mujahadah yang penuh kesungguhan dan keazaman. Justeru, ada yang bersifat takbur dan susah untuk menjadi tawadu’. Antara kaedah membantu ialah bersahabat dengan mereka yang bersifat tawadu’ untuk mendapat nasihat, tunjuk ajar dan mencontohi mereka.
Asas pertama menjadi tawaduk ialah melalui ibadat solat, kerana di antara gerak rukun perbuatannya mengandungi latihan untuk tawaduk. Kemudian, menatap kisah generasi yang bersifat tawaduk seperti nabi, rasul dan pewaris mereka
Lihatlah kehidupan Rasulullah SAW yang diakui sebagai manusia paling agung dan mulia tetapi baginda sentiasa merendah diri sehingga makan di atas tanah, lalu bersabda:
“Aku hanyalah seorang hamba. Apabila suatu hari nanti aku dimerdekakan (maksudnya bebas di akhirat) barulah aku akan memakai pakaian baru.”
Menurut kisah diceritakan Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah memberi makan unta, mengikatnya, membersih atau menyapu rumah, memerah susu kambingnya, membaiki kasutnya, menampal bajunya dan makan bersama khadam.
Rasulullah juga menggantinya (khadam) mengisar gandum apabila khadamnya kepenatan, membeli sendiri barang keperluannya dari pasar dan membawanya kembali ke rumah, berjabat salam dengan si kaya dan miskin, yang tua dan kanak-kanak.
Baginda mendahului salam kepada setiap yang menemuinya, baik yang dewasa atau kanak-kanak, yang hitam atau selainnya, merdeka atau hamba sahaya.
Dalam satu perjalanan, Rasulullah meminta sahabatnya memasak daging kambing. Sesetengah sahabatnya ada yang bersedia untuk menyembelihnya, sebilangan lagi bersedia untuk melapahnya dan sebilangan lagi bersedia untuk memasaknya.
Rasulullah s.a.w menyatakan kesediaannya mencari kayu api. Tindakan Rasulullah itu tidak disenangi sahabat, lalu menyarankan:
“Kami cukup untuk kerja ini wahai Rasulullah.” Jawab Rasululllah: Aku tahu…kamu semua sudah mencukupi, tetapi aku tidak suka dibezakan daripada kamu. Allah tidak menyukai hamba-Nya yang dilihat berbeza daripada kalangan sahabatnya.”
Rasulullah SAW menaiki apa saja tunggangan yang didapatinya, kadangkala kuda, keldai dan himar, malah berjalan kaki tanpa kasut, selendang, kopiah atau serban. Semua ini menggambarkan sifat tawaduk atau rendah diri Baginda Rasulullah. Jika manusia yang sebegini mulia rela bersifat tawaduk, jadi apatah lagi insan kerdil seperti kita.
Kita boleh menguji diri sama ada mempunyai sifat tawaduk atau takbur, iaitu melalui cara berikut:
(1) Mendedahkan diri kepada kritikan membina dan benar. Jika hati berasa berat untuk menerima kebenaran, sukar untuk mengakui dan patuh kepada arahannya, malah berat untuk berterima kasih atas kritikan dan teguran itu, menunjukkan takbur masih tersemat di dalam diri.
Justeru, perlulah kita melatih diri sehingga biasa dengan teguran dan kritikan. Pada masa yang sama hati tidak berat untuk mendengarnya.
(2) Bergaul dengan teman sebaya dalam majlis keramaian dan cuba mengutamakan mereka, cuba berjalan di belakang mereka dan cuba duduk di bawah mereka. Jika hati terasa berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur.
Tetapi dalam keadaan ini, kita juga perlu berwaspada daripada tipu daya syaitan yang membisik supaya bergaul dengan orang dianggap rendah dan hina supaya disangkanya bersifat tawaduk, sedangkan hakikatnya tidak.
Jika demikian, tanpa disedari sebenarnya dia sudah bersifat takbur di sebalik tawaduk yang dicari-cari dan cuba dilakonkan itu.
(3) Menghadiri jemputan orang fakir dan miskin, malah sanggup ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga serta teman. Jika hatinya berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur dalam dirinya.
(4) Boleh juga diuji dengan memakai pakaian buruk, kerana nafsu biasanya berat untuk memakai pakaian buruk.
Sahabat mengalirkan air mata melihat kehidupan Baginda yang memilih untuk tidak terkesima dengan kelazatan dunia. Baginda pernah ditawarkan harta kekayaan sebanyak ‘Timur dan Barat,’ tetapi memilih hidup penuh tawaduk, berbakti kepada umat serta agama Islam. Kerana itu, Baginda diberi kemuliaan dengan segala kebaikan dan kerahmatan.
Oleh itu, seorang Mukmin perlu sentiasa menyuluh apakah ada nilai tawaduk di dalam hati, atau terselit banyak sikap takbur yang mengikis nilai kebaikan.
Sebagai peringatan buat diriku yang hina dan Maha Benar atas apa yang difirmankan oleh Yang Maha Esa.
QS AL ARAF — Ayat 199
Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma´ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh.
QS AL HIJR — Ayat 88
Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.
QS AL ISRA — Ayat 37
Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.
QS AL HAJJ — Ayat 34
Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah),
QS AL FURQAN — Ayat 63
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.
QS ASY SYUARA — Ayat 215
dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman.
QS LUQMAN — Ayat 18
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
QS LUQMAN — Ayat 19
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ اْلأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا. وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اْلإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.
‘Barangsiapa yang mengajak kepada suatu petunjuk, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala-pahala mereka. Dan barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan maka dia memperoleh dosa semisal dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun dari dosa-dosa mereka.’ [Sahih Muslim: #2674]
Justeru, dalam kita menyuluh kekurangan dan mencari kebaikan diri, jangan sesekali terhasut dengan tipu daya syaitan yang selalu mengajak manusia membuat penilaian yang salah. Menilai diri lebih baik daripada orang lain adalah penyakit hati yang paling parah.
Penyakit itu sering menimpa kita yang berusaha menjadi baik. Sebenarnya kita tidak menjadi baik tetapi hanya berasakan diri lebih baik daripada orang lain. Oleh itu, latih hati dengan nilai rendah diri supaya ia akan meninggikan darjat kita di sisi Allah SWT.