Salam buatmu Saudaraku di mana sekali pun kalian berada.
Ingatlah, sebuah kapal yang sedang belayar itu perlu jelas pulau mana yang mahu ditujunya agar tiada tersesat di lautan yang luas atau berlabuh di pulau yang salah.
Bayangkan jika puluhan tahun hidup dalam kesalahan arah tuju, tatkala tersedar dilihat sudah begitu jauh ia dari pulau yang sebenar. Jika ada rahmat Allah ia akan mampu membetulkan kembali pelayarannya, jika tiada maka terus berada dalam pelayaran yang tiada arah tuju.
Kehidupan ini adalah sebuah pelayaran, bumi adalah lautan dan akhirat adalah pulau. Seluruh Bani Adam sedang belayar kini dalam lautan yang penuh gelora, luas, panjang, ganas, damai, tenang, indah dan menggerunkan.
Kita tidak boleh merunggut pada lautan yang berombak kerana memang sifat lautan adalah berombak, kita juga tidak boleh marahkan angin yang kuat hingga kadangkala kapal kita kehilangan arah, lantaran memang sifat lautan adalah dibadai dengan angin yang kadangkala amat kuat.
Apa yang perlu dilakukan kita perlu ada ilmu untuk mengetahui pulau yang mahu dituju, perlu ada kompas untuk memandu dengan betul ke arah tujuan, perlu kapal dibesarkan agar tidak bergoncang dengan lantunan ombak dan hembusan angin berderau.
Kita menjadi lemah kerana melihat kepada diri, bergantung dengan pemberian, bergaul dengan golongan yang lemah dan bersifat negatif.
Kita perlu mengubah diri kepada hidup bergantung dan menyerah diri kepada Allah dalam hal yang lepas, sekarang dan akan datang. Segalanya dalam genggaman Kasih SayangNya dan tiada sesaat kita dilepaskan dalam pemeliharaanNya. Beruntunglah bagi mereka yang yakin dan menyerahkan diri kepada Allah dan sesungguhnya rugilah mereka yang tiada keyakinan dan berserah diri kepadaNya.
Ibarat seorang yang memikul bebanan, kemudian berada di atas kapal yang besar untuk belayar, dia tidak mahu meletakkan bebanan yang dipikulnya di atas kapal yang disediakan, mahu terus memikul dalam keadaan berdiri hingga sampai ke destinasi.
Ibarat juga apabila kita hadapi satu masalah yang buntu, tiba-tiba ada mereka yang berkata, “serahkan urusan itu kepada kami, kami selesaikan”, akan tetapi malangnya dia tidak mahu serahkan, dia tetap mahu memikulnya.
Ibarat juga seorang yang berjalan di padang pasir yang luas dalam dahaga, kelaparan dan ketakutan, tiba-tiba bertemu Raja yang miliki kerajaan yang besar, amat kaya, amat penyayang dan amat pemurah, lalu dikatanya kepadanya, “jika engkau serahkan dirimu pada kami, maka beta akan menjagamu dan selesaikan segala kelaparan, dahaga dan menjamin keamanan.”, namun malangnya dia enggan serahkan dirinya kepada Raja tersebut, tetap mahu memikul segala kesusahan itu sendiri.
Tidakkah orang seperti ini melambangkan keegoan dan kebodohan yang amat sangat kerana tetap mahu memikul walaupun berat, walapun ada yang mahu membantu?
Sifat tersebut membawa kehidupannya penuh dengan tekanan dan tiada bahagia, kemudian ia menjadikan alasan untuk terus menjadi lemah, pasif, rendah diri, rasa tersisih dan pelbagai tipu daya syaitan dalam suara jiwanya.
Alangkah baiknya jika diserahkan urusan kehidupan yang dulu, sekarang dan akan datang kepada Allah dalam apa jua permasalahan, kita akan merasa ringan apabila benar kita serahkan kepadaNya.
Bukankah Allah telah berjanji akan selesaikan segala urusan mereka yang serahkan kepadaNya?
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar” (At Thalaq : 2)
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah menjadikan mudah dalam urusannya” (At Thalaq : 4)
Allah mengikut sangkaan hambaNya, jika benar sangkaan pada Allah dengan amat meyakini janjiNya, maka Allah akan menempati janjiNya, namun jika seseorang itu mempunyai sangkaan yang buruk padaNya, maka Allah akan biarkan mereka dengan masalahnya tanpa Dia menempati janjiNya.
Kutipan ilmu menjentik hati ini amat berbekas di hati yang ingin saya kongsikan kepada kalian semua. Semoga bersama mendapat manfaat demi mencari keredhaan Allah. Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran. Allahumma Ameen