Maha Suci Allah yang mengatur segala sesuatu dengan kemas, rapi dan sempurna.
Benar,
Sesungguhnya setiap ciptaan dari Allah Yang Maha Agung itu tidaklah sia-sia.
Maha Benar Allah di atas Firman-Nya yang agung;
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Surah Ali ‘Imran : Ayat 190)
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Ali ‘Imran : Ayat 191)
Segala sesuatu yang terjadi dalam hidup kita ini, tidak ada yang terjadi secara kebetulan. Semuanya atas izin Allah SWT dan setiap suatu kejadian itu ada hikmah yang terkandung di sebalik itu.
GHIRULLAH – Selain Allah
Ahli Makrifat itu tidak akan memiliki Makrifat jika ia tidak mengenal Allah dari segala sudut dan dari segala arah mana saja ia menghadap. Ahli Hakikat hanya ada satu arah iaitu ke arah yang Hakiki itu sendiri.
“Ke mana saja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah”
Ke mana saja kamu memandang samada melalui pancaindera, akal atau khayalan, maka di situ ada wajah Allah. Kerana itu dalam segala ain (Zat Ilahi) dan semuanya adalah “La ilaha illallah” (Tidak ada Tuhan kecuali Allah).
Dalam kalimah “La ilaha illallah” semuanya terkandung, iaitu wujud alam semesta dan wujud secara khusus; atau wujud atau apa yang dianggap wujud; atau wujud Hakiki dan wujud Makhluk.
Wujud Makhluk tunduk kepada kepada “La ilaha” yang berarti bahawa segala-galanya kecuali Allah adalah kosong (batil), iaitu dinafikan bukan diisbatkan. Wujud Hakiki termasuk dalam “illallah”. Oleh itu semua kejahatan tunduk di bawah “La ilaha” dan semua yang dipuji tunduk di bawah “illallah”.
Semua ada terkandung dalam mengisbatkan keesaan (La ilaha illallah) dan harus memasukan nya juga dalam menamakan hamba yang paling mulia (dalam mengatakan Muhammadun Rasulullah).
Muhammadun Rasulullah ini mengandung tiga Alam.
Muhammad itu menunjukkan alam nyata (Alam Nasut); iaitu alam yang boleh dipandang dengan pancaindera (senses).
Rasul itu menunjukkan alam perintah (Alam Malakut); iaitu alam batin tentang rahsia-rahsia tanggapan yang mujarad; dan ini terletak antara yang Muhaddas dengan Yang Qadim.
Nama Ilahi (Allah) itu menunjukkan alam pertuanan (Alam Jabarut). Lautan darinya terpancar pengertian dan tanggapan.
Rasul itu sebenarnya perantara yang Muhaddas dengan Yang Qadim; kerana tanpa dia tidak akan ada wujud, kerana jika yang Muhaddas bertemu dengan yang Qadim, maka binasalah yang Muhaddas dan tinggallah Yang Qadim.
Ketika Rasul diletakkan pada tempatnya yang wajar pada kedua itu, maka barulah alam ini diperintahkan, kerana pada zahirnya ia adalah hanyalah seketul tanah liat, tetapi batinnya ia adalah Khalifah Allah.
Pendeknya, maksud mengisbatkan Tauhid itu tidaklah Sempurna dan tidaklah meliputi tanpa diisbatkan keesaan atau tauhid zat, sifat dan kelakuan. Pengisbatan itu difahami dari “Muhammadun Rasulullah”.
Apabila seorang Ahli Makrifat berkata “La-ilaha illallah” maka ia ketahui pada hakikatnya bukan hanya pada majazi sahaja, iaitu tidak ada jalan lain kecuali Allah.
Oleh itu wahai Saudaraku, janganlah hanya mengucapkan dengan mulut sahaja Kalimah Syahadah yang mulia ini, kerana dengan itu mulut sajalah yang akan mendapat manfaatnya.
Dan ini bukanlah tujuan yang hendak dituju. Yang pentingnya adalah mengenal Allah sebagaimana Ia sebenarnya.
Kaum Sufi menafikan ada yang lain kecuali Allah. Maka mereka mencapai kedamaian dan ketenangan dan terus memasuki KalamNya. Mereka tidak akan keluar lagi setelah itu.
Sesungguhnya, Allah itulah tujuan kita yang terakhir.