Dari mana asalnya perkataan “SUFI” ?
Ibn Khaldun Rahimahullah (1322M – 1406M) menegaskan bahawa pada kurun ke-2 Hijrah dan seterusnya, masyarakat mula cenderung kepada urusan duniawi. Pada masa itu, nama “SUFI” diberikan kepada mereka yang cenderung kepada ibadah. [Rujukan kitab (al-Muqaddimah, 3/76)]
Menurut Abu Nasr al-Sarraj Rahimahullah pula istilah SUFI ditemui seawal zaman al-Imam al-Hasan al-Basri Rahimahullah yang pernah berguru dengan beberapa Sahabat Rasulullah SAW.
Diriwayatkan beliau pernah berkata; “Aku telah melihat seorang Sufi melalui tawaf. Oleh itu, aku memberinya sesuatu tetapi ditolaknya dan dia berkata: ‘Aku sudah mempunyai empat dawaniq (duit syiling perak kecil). Jadi, ia mencukupi bagiku.” [Rujukan Kitab (al-Luma’: 42)]
Jadi istilah Sufi dan tasawwuf mula dikenali seawal zaman Tabi’in iaitu awal kurun ke-2 Hijrah. Ini kerana, Imam al-Hasan al-Basri meninggal dunia pada 5 Rejab 110 Hijrah. Oleh kerana beliau sempat berguru dengan beberapa orang Sahabat Rasulullah SAW dan meriwatkan hadith daripada;
- Sayyidina Uthman bin Affan r.a.
- Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a.
- Sayyidina Abu Musa al-Asy’ari r.a.
- Sayyidina Abdullah bin Umar r.a
- Sayyidina Abdullah bin Abbas r.a
- Sayyidina Anas bin Malik r.a
dan masih banyak lain, maka beliau imam hassan al-Basri dikira sebagai seorang Tabi’in.
Ibn Khaldun yang menyatakan istilah sufi wujud pada awal kurun ke-2 Hijrah juga bertepatan dengan kenyataan oleh Imam al-Qusyairi dalam al-Risalah al-Qusyairiyyah, Dan Imam al-Suhrawar di dalam Kitab Awarif al-Ma’arif, (m/s. 63) juga menyatakan sedemikian.
Istilah tersebut wujud pada kurun ke-2 Hijrah malah lebih awal. Manakala, kenyataan Ibn Khaldun secara spesifiknya boleh jadi merujuk kepada awal kurun ke 2 Hijrah iaitu sebelum 110 Hijrah/728 Masihi. Malah, keadaan masyarakat yang disebutkan oleh Ibn Khaldun, bertepatan apa yang diceritakan oleh Imam al-Hasan al-Basri dalam al-Risalah.
Tujuan artikel ini adalah untuk menyanggah segala tuduhan yang menyatakan istilah SUFI dan istilah tasawuf ini masih baru, sedangkan ianya telah wujud sebelum 1,300 tahun yang lampau. Tatkala orang lain sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan para ahli sufi sibuk beribadah dan membersihkan jiwa rohani mereka dari sifat-sifat tamak, ujub, riak, takbur dan sifat buruk lainnya.
Wallahu a’lam