Semutar ialah kain yang digunakan untuk mengikat/melilit/menutup kepala bagi orang-orang Melayu pantai timur khususnya Melayu kelantan.
Kebiasaannya semutar terdiri daripada kain batik lepas , kain tuala dan kain serban. Selain kegunaan untuk melindungi kepala dari panas matahari , mengibas badan ketika berehat dan juga untuk mengelap peluh ianya turut berfungsi sebagai senjata.
Pada masa kini pemakaian semutar amat jarang dilihat terutama bagi generasi muda. Ia hanya kelihatan di pakai oleh orang-orang lama, petani, nelayan, peraih, tukang, penarik beca dan juga para pesilat.
Secara amnya ianya adalah pemakaian bagi orang kebanyakan yang memiliki cara lilitan yang berbeza-beza dengan gubahan yang indah.
Budaya Melayu sebenarnya memiliki nilai-nilai estetika tersendiri yang tercermin daripada kelembutan dan kefahaman masyarakat melalui penggabungan dan penghayatan perasaan, pemikiran, ungkapan dan perlakuan. Berasaskan kepada elemen-elemen dan kehalusan adat budaya inilah masyarakat Melayu muncul dan menyerlahkan pelbagai gubahan seni yang indah-indah, termasuklah semutar salah satu daripadanya.
Cara pemakaian melayu dahulu dan juga busana inilah yang menjadi imej kemelayuan seseorang. Namun sayang, budaya Melayu hari ini semakin tenggelam di arus komedenan terutamanya dalam kalangan anak-anak muda . Disebalik itu, Alhamdulillah masih ada lagi yang membudayakan cara pemakaian melayu walaupun zaman semakin maju.
Mereka tidak pernah pupus dan sentiasa ada waris yang menyambung legasi budaya melayu. Walaupun tidak ramai tetapi mereka tidak merasa malu dan segan walau sedikit pun untuk memakainya di khalayak ramai.
Orang melayu kita hari ini perlukan lebih ramai lagi golongan seperti ini. Mengapa perlu malu untuk memakai cara pemakaian orang terdahulu. Inikan seni warisan yang patut dibanggakan?
Wahai anak-anak muda Melayu, daku berseru agar kalian teruskanlah seni warisan budaya nenek moyang kita. Setiap seni melayu itu ada maksud tersendiri dan tujuannya.
Bukan sekadar busana namun ianya adalah khazanah bansa yang besar bagi orang melayu yang tidak pernah dimiliki oleh bangsa selainnya. Ayuh bersama memartabatkan kembali budaya pemakaian kita kerana ianya adalah lambang pencerminan bangsa kita yang penuh dengan kesenian dan makna tersendiri yang perlu kita gali bersama.
Berbanggalah menjadi Bangsa Melayu Islam!
“Takkan Melayu hilang di dunia, selagi dirimu berpegang teguh dengan agama Islam.”
Jangan dihina warisan Melayu!
Jangan dihina kesenian Melayu!
Jangan dihina budaya Melayu!
Kitalah penerus warisan budaya nenek moyang kita!
Assalamualaikum tuan. Saya tertarik dengan lakaran grafik kain semutar dalam penulisan tuan. Saya mohon izin untuk muat turun gambar tersebut bagi kegunaan pengajaran saya dalam subjek Bahasa Melayu tahun 4. Harap dapat maklum balas daripada pihak tuan.
LikeLiked by 1 person
Salam Puan, Alhamdulillah dan silakan demi pendidikan anak-anak kita … 🙂
LikeLike
Terima kasih, tuan.
LikeLike