Tatkala Tertutup Semua Jalan

Selawat dan Salam buatmu Ya Rasullullah !


Setelah tiga tahun Rasulullah SAW dan umat islam dipulaukan oleh bangsanya sendiri, ramai yang telah memeluk agama islam meninggal dunia akibat kesukaran hidup.

Selang tidak berapa lama kemudian, dua orang yang paling dicintai Baginda SAW; Khadijah isteri kesayangan dan Abu Talib yang sentiasa mempertahankan Baginda SAW meninggal dunia.

Bayangkan,
Betapa pilunya hati Baginda SAW menghadapi kenyataan kehidupan ini. Maka, tahun itu disebut sebagai Am al-Huzni (tahun kesedihan).

Pada ketika itulah Allah telah mengurniakan Baginda SAW dengan sebuah pengembaraan yang amat luar biasa yang disebut ‘Israk dan Mikraj‘.

Pada keesokan hari, ramai orang telah berkata-kata tentang perjalanan Rasulullah SAW menuju ke Sidratul Muntaha di langit ke tujuh untuk menerima perintah solat.

Abu Jahal terdengar berita itu, lantas terus menuju bertemu Rasulullah SAW.

Maka berkatalah Abu Jahal, “Wahai Muhammad! Apa yang telah berlaku pada malam tadi?”

Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya aku telah diperjalankan dari Masjidil Haram ini menuju ke Masjid Al-Aqsa. Kemudian aku di bawa bertemu dengan Allah untuk menerima perintah solat”

Berdekah-dekah Abu Jahal ketawa mendengar kisah itu. Ini kerana perjalanan dari Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa yang terletak di Palestin mengambil masa dua bulan. Mustahil hanya semalaman manusia boleh pergi dan balik.

Abu Jahal berkata, “Wahai Muhammad! Selama ini kau telah dihalang untuk berdakwah kepada orang ramai. Hari ini, aku benarkan kau berdakwah di hadapan orang ramai dengan syarat kau ceritakan kisah ini kepada mereka”

Lalu, Abu Jahal terus berlalu sambil berteriak kepada orang ramai dengan berkata, “Wahai penduduk Mekah! Hari ini Muhammad akan sampaikan kepada kita sesuatu untuk kita dengar”

Maka, berkumpul lah sekalian penduduk Mekah untuk mendengarkan kisah Baginda SAW.

Rasulullah SAW telah berdiri di atas sebuah kawasan yang tinggi, lebih tinggi berbanding penduduk Mekah yang ingin mendengarkan kisah Baginda SAW.

Baginda SAW berkata, “Wahai sekalian penduduk Mekah! Seandainya aku beritahu ada musuh di sebalik bukit ini menyerang, adakah kamu percaya?”

Serentak mereka menjawab, “Pastinya kami percaya kerana engkau tidak pernah berbohong!”

Mendengar jawapan kaumnya itu, Rasulullah SAW menyambung, “Ketahuilah, pada malam tadi aku telah dibawa ke Masjid al-Aqsa dan bertemu Allah untuk mendapatkan perintah solat”

Selesai sahaja Rasulullah SAW mengungkapkan kata-kata itu, orang-orang kafir tergelak dengan terbahak-bahak sambil mengejek Baginda SAW.

“Muhammad sudah gila selepas kematian Khadijah dan Abu Talib !! “

Keadaan orang Islam kebingungan kerana kisah yang disampaikan itu tidak logik pada perkiraan mereka. Maka ramailah orang yang murtad.

Sebahagian daripada orang Islam yang kegelisahan itu terus menuju ke rumah Abu Bakar ra. Mereka mengadu hal itu kepada Abu Bakar ra; “Wahai Abu Bakar! Cuba kau lihat Muhammad itu. Dia membawa berita yang sangat tidak masuk akal”

Setelah mendengar aduan daripada orang-orang itu, tiba-tiba Abu Bakar dengan suara yang tegas berkata, “Sesungguhnya Muhammad itu kekasih dan utusan Allah. Seandainya kisahnya itu lebih daripada yang kau kisahkan kepadaku, nescaya aku akan percaya!”

Mendengar respon yang tegas seolah-olah mempunyai kekuatan tersendiri menjadikan hati orang yang mendengar itu tersentap. Lalu hati mereka kembali yakin dengan Rasulullah SAW. Sejak dari itulah Saidina Abu Bakar ra digelar sebagai as-Siddiq (Yang benar-benar mempercayai Rasulullah SAW).

Maka, bilangan orang islam menurun, tetapi hanya yang tinggal adalah mereka yang berjiwa kental dan benar-benar memperjuangkan kebenaran islam.

Setelah itulah mereka semua diseru untuk berhijrah dan bermulalah fasa kebangkitan umat islam sehingga berjaya menakluki dua pertiga muka bumi ini.

Kadang-kadang kita terfikir, mengapa Allah tidak menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj itu semasa Islam sudah berada di bumi Madinah?

Bukankah lebih mudah umat islam menerima berita itu berbanding ketika fasa Mekah di mana umat islam masih lemah lagi?

Begitulah Allah Yang Maha Bijaksana mengaturkan segala-galanya.

Peristiwa Israk dan Mikraj itulah merupakan peristiwa agung yang menjadi titik tolak kebangkitan umat islam kelak.

Sejarah pasti akan berulang kembali.

Dalam kehidupan tidak segalanya indah. Ada masa Allah akan menekan kehidupan ini dengan hebatnya. Pada masa itulah kau akan melihat manusia yang benar-benar percaya dirimu dan juga mereka yang bersamamu saat melihat kau mampu menyelesaikan masalah mereka.

Sepertimana orang Islam yang keluar Islam ketika mendengarkan kisah Baginda SAW, mereka memeluk Islam hanya sekadar untuk lari dari realiti kehidupan mereka dan merasakan islam itu penyelesaiannya. Mereka bukan benar-benar beriman dengan kebenaran sebagaimana Abu Bakar as-Siddiq.

Ketika mana kehidupan itu menyempit, engkau akan lihat dirimu mula ditinggalkan satu persatu. Tetapi percayalah, di situlah Allah sedang mendidikmu untuk terus teguh dan bersedia untuk bangkit lagi setelah itu !

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s