Umum mengetahui bahawa pelaburan adalah instrumen untuk menggandakan wang. Seperti berniaga, untung rugi adalah perkara biasa dalam pelaburan. Tiada pelaburan yang sentiasa menjanjikan untung sangat tinggi. Jika ada, anda perlu lebih hati-hati dan membuat sedikit ‘research’ kerana kebarangkalian ianya ‘scam’ adalah tinggi.
Ada orang mengatakan Unit Trust / Amanah itu bagus kerana boleh memberikan dividen lebih tinggi daripada ASB. Jujurnya saya tidak sesekali menafikannya. Pada masa yang sama, saya turut mengatakan pelaburan emas juga merupakan salah satu medium pelaburan terbaik juga kerana kenaikan nilai emas itu sendiri mampu mencecah 20% setahun secara purata yang bersifat jangkamasa panjang.
Jadi mana satu yang lebih baik sebenarnya?
Dalam pelaburan yang sah, tiada istilah pelaburan yang tidak baik asalkan ianya mematuhi syariah dan kita sendiri mempraktikkan apa yang dituntut oleh Islam. Dalam pelaburan kita tidak boleh terlalu taksub pada 1 medium sahaja. Pelbagaikan portfolio pelaburan kita. Tidak semestinya pelaburan Unit Amanah sentiasa tinggi pulangannya begitu juga emas.
Disini saya akan kongsikan serba sedikit tentang perbezaan antara pelaburan emas dan Unit Amanah. Semoga bersama mendapat manfaat darinya;
- Liquidity
“Liquidity” dalam pelaburan bermaksud tahap kecairan atau perubahan sesuatu pelaburan kepada wang. Pelaburan yang lebih mudah untuk memperoleh wang, ianya lebih “liquid”.
Kalau kita bandingkan antara emas fizikal dan Unit Trust, sudah tentu Unit Trust lebih “liquid” berbanding emas fizikal. Jika kita menyimpan di dalam Public Gold GAP (contohnya), “Liquidity” pelaburan emas adalah sama seperti Unit Trust kerana kita boleh sahaja menjualnya “on the spot” untuk memperoleh wang. Tetapi lebih “liquid” tidak bermakna ianya lebih bagus. Tetap bergantung pada strategi pelaburan anda. Ada pelabur yang kurang menyukai “liquidity” yang tinggi kerana kebocoran wang boleh berlaku.
- Tempoh Pelaburan
Tempoh pelaburan akan menentukan status samada ia adalah jangka pendek, pertengahan atau jangka panjang. Untuk Unit Trust tempoh pelaburan kebiasaannya dalam tempoh 3 hingga 5 tahun. Ada juga yang mencadangkan 10 tahun. Itu bergantung kepada matlamat pelaburan anda. Selalunya tempoh pelaburan Unit Trust adalah di peringkat pertengahan.
Untuk emas pula ia bergantung kepada status pelaburan. Jika penyimpan emas, ia bersifat jangka panjang kerana stok-stok yang ada tidak akan dijual. Penyimpan emas hanya berminat untuk menambah stok emas mereka setiap bulan. Manakala bagi pelabur emas, ia boleh menjadi jangka pendek atau pertengahan. Kerana bagi pelabur yang penting adalah “spread” atau susut nilai.
Jika susut nilai berjaya diatasi dan mula membuat untung, mereka akan mula menjual kembali apabila nilai emas itu telah mencapai matlamat keuntungan mereka. Kebiasaannya dalam tempoh 8 bulan ke setahun, susut nilai dapat diatasi dan keuntungan mula dijana pada tahun kedua dan seterusnya.
- Perolehan Keuntungan
Keuntungan sesuatu pelaburan boleh diperoleh samada dari kenaikan harga atau dividen. Untuk Unit Trust, keuntungan diperoleh berdasarkan dividen. Jika anda ingin melabur didalam Unit Trust, melaburlah di syarikat yang memberikan dividen purata minimum sebanyak 10%. Antara pelaburan lain yang keuntungan berasaskan dividen adalah ASB dan Deposit Tetap.
Emas pula menjana keuntungan berdasarkan kenaikan harga disebabkan nilai matawang yang lemah, inflasi dan fundamental affect. Purata kenaikan harga bagi emas adalah sekitar 12%. Adakalanya boleh mencecah 20% hingga 30%. Akan tetapi harga emas juga boleh menurun hingga -10% hingga -25%.
Ketika harga jatuh ini, pelabur atau penyimpan emas digalakkan menambahkan simpanan kerana jika harga naik semula pasti ia akan memberikan untung berganda.
- Pengurusan Risiko
Dalam Unit Trust dan saham amanah, Fund Manager akan mewakili kita untuk memilih syarikat berpotensi untuk melabur. Adalah penting untuk kita mengetahui latar belakang Fund Manager. Adakah anda tidak risau jika anda membiarkan Fund Manager yang kurang berkaliber melakukan pelaburan anda?
Jangan disebabkan dia rakan baik anda atau keluarga maka anda memberikan kepercayaan sepenuhnya kepadanya. Kelak anda juga yang menyesal tak sudah.
Manakala untuk pelaburan emas, kita berkuasa penuh terhadap pelaburan sendiri. Jual dan beli semua risiko dibahu kita.
Adakah ini bagus? Ya, jika anda menepati faktor di bawah;
- Mempunyai ilmu
- Anda tahu bila masa terbaik membeli dan menjual semula untuk mendapat keuntungan
- Pemilihan produk berdasarkan kepada berat, ketulenan dan jenis emas itu sendiri
- Anda tahu bagaimana menggandakannya
Seringkali saya ingatkan bahawa jangan sesekali terpedaya dengan angka. Adakalanya kita begitu teruja dengan keuntungan walhal hakikatnya angka itu tidak begitu kukuh pada actual value nya. Biar apa pulangannya, itu bukannya nilai keuntungan sebenar anda melainkan di bawah ini telah anda tolak sebelumnya;
- 2.5% – Zakat
- 4% – Inflasi Tahunan (Boleh mencecah maximum 8% di kota besar )
Bagi saya walaupun unit trust boleh menawarkan peratus lebih baik, tapi amat susah untuk mengetahui yang mana satu fund terbaik.
Sebaliknya emas, masih lagi mempunyai peningkatan dalam permintaan. Dan secara umumnya, semakin banyak negara pulih ekonominya, lebih banyak emas yang akan dibeli kerana mahu mengelakkan inflasi ekonomi berlaku.
Tidak kisah mana-mana pun malah digalakkan untuk melabur kedua-duanya sebab tiada siapa yang tahu apa akan jadi kepada harga emas dan unit trust pada keesokan hari.
Dan yang paling penting, melabur dulu dalam ilmu sebab setiap pelaburan ada risiko tersendiri.
Risiko paling tinggi dalam pelaburan ialah risiko melabur tanpa ilmu !
Biar kita membayar lebih untuk yuran kepandaian, daripada terpaksa menanggung cukai kebodohan yang lebih tinggi.