Hajar Aswad

Antara keutamaan Hajarul Aswad adalah kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim selesai membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf. Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru. Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Batu Hajar Aswad ini terletak di sisi luar Kaabah untuk memudahkan seseorang untuk menciumnya. Mencium Hajar Aswad merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW kerana baginda selalu menciumnya setiap kali tawaf.

Ianya terletak di salah satu bucu Kaabah di mana apabila jemaah yang ingin mengerjakan tawaf maka mereka hendaklah memulai tawaf itu dengan membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad berpusing sebanyak tujuh kali dan berakhir setiap pusingan itu di Hajar Awad juga.

Pada tahun 606 M, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 35 tahun, Kaabah mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi Muhammad s.a.w dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu.

Ketika pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.

Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak untuk meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya.

Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu.

Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu. Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad.

Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu. Alhamdulillah

Foto perubahaan warna batu Hajar Aswad dari tahun 80an ke 2006 dan 2012

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Abdullah bin Amr bin As r.a menerangkan bahawa perubahan warna Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan orang-orang musyrik.

Hal yang sama diungkapkan pula oleh Zubair bin Qais. Dikatakannya bahawa sesungguhnya Hajar Aswad adalah salah satu batu dunia yang berasal dari syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang-orang musyrik. Namun, kelak batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala.

Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang berkilauan. Sekiranya Allah SWT tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.

Peristiwa Batu Hajarul Aswad Dicuri

Dalam sejarahnya batu Hajarul Aswad pernah di curi oleh orang-orang yang tidak bertanggung jawab. Pencurian Hajar Aswad ini di ketuai oleh Abu Thahir yang berasal dari kelompok Syiah Qaramithah, yang tepatnya terjadi pada tahun 317H.

Pencurian Hajar Aswad ini bermula di saat mereka membuat huru-hara di tanah haram pada tanggal 8 Dzul Hijjah 317H. Abu Thahir bersama orang-orangnya merompak dan memerangi para jemaah haji ketika itu dan turut mengorbankan banyak jiwa. Bukan hanya di luar Kaabah malah, tidak terkecuali di hadapan Kaabah.

Disaat pedang-pedang orang Qaramithah menebas leher orang-orang yang ada disitu, termasuk orang-orang yang tawaf tidak luput dari pedang mereka. Termasuk yang menjadi korban diantaranya sebahagian ahli hadis.

Pada saat itu juga Abu Thahir berdiri megah di pintu Kaabah dengan pengawalan, menyaksikan pedang-pedang pengikutnya membabi buta membunuh manusia. Dengan sombongnya ia berkata;

“Saya adalah Allah. Saya bersama Allah. Sayalah yang menciptakan makhluk-makhluk. Dan sayalah yang akan membinasakan mereka !”

Jasad para korban penyerangan Abu Thahir tersebut diperintahkannya untuk di kuburkan di dalam telaga zam-zam, dan sebahagiannya di kuburkan di sekitar lokasi Masjidil Haram.

Kejahatan Abu Thahir tidak hanya berhenti sampai disitu. Dia memerintahkan orang-orangnya untuk menghancurkan kubah telaga zam-zam, pintu Kaabah di cabut dan melucutkan kiswah serta merobek-robeknya dengan disaksikan oleh pengikutnya. Selanjutnya Abu Thahir memerintahkan memerintahkan pengikutnya untuk mencongkel dan mengambil batu Hajar Aswad.

Pada saat itu Abu Thahir berbicara dengan nada sombong; “Mana burung-burung Ababil? Mana batu-batuan dari Neraka Sijjil?”

Lalu, Abu Thahir dan rombongannya membawa pulang batu Hajarul Aswad itu. Ketika itu, Amir Mekah tidak berdiam diri dan berusaha memujuk Abu Thahir agar mengembalikan semula Hajar Aswad ke tempat asalnya semula dengan menawarkan seluruh hartanya sebagai penebusan.

Akan tetapi, Abu Thahir tidak menerima tawaran Amir tersebut bahkan, Amir Mekah beserta keluarga dan pasukannya turut menjadi korban.

Dalam kisah yang lain disebutkan, bahawa disaat pencurian Hajar Aswad oleh Abu Thahir beserta orang-orang Qaramithah, batu tersebut diangkut oleh beberapa ekor unta. Dan unta-unta tersebut terluka dan mengeluarkan nanah dari pundaknya. Namun, ketika setelah 22 tahun dikembalikan, hanya memerlukan seekor unta sebagai tunggangan sahaja.

Abu Thahir membawa Hajarul Aswad beserta harta-harta rampasan dari jemaah haji dan batu dari syurga itu di bawa ke daerahnya iaitu Hajr (Ahsa) dan berada di sana selama 22 tahun.

Dalam pada waktu 22 tahun tersebut, banyak sekali usaha yang dilakukan oleh umat Islam untuk mengembalikan batu Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Termasuk di antaranya, usaha yang dilakukan Amir Bajkam dari Turki yang pernah menawarkan 50 ribu Dinar sebagai tebusan Hajarul Aswad. Akan tetapi, tawaran ini tidak meluluhkan hati Abu Thahir, pimpinan Qaramithah saat itu.

Bahkan kaum Qaramithah ini mengatakan; “Kami mengambil batu ini berdasarkan perintah, dan akan mengembalikannya berdasarkan perintah orang yang bersangkutan.”

Alhamdulillah, setelah 22 tahun berlalu, akhirnya Hajarul Aswad kemudian dikembalikan ketempat asalnya pada 10 Zulhijah 339H.

Tatkala Hari Kiamat Menjelma

Batu Hajar Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan mempunyai 2 lidah dan 2 mata serta boleh berkata-kata dan memberitahu; “Ya tuhanku dia kucup (cium) aku, dia betul-betul ikhlas.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Demi Allah! Allah akan membangkitkannya (Hajar Aswad) pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s