Laksana rembulan yang ada waktu sinarnya tertutup awan dan kadangkala terkena gerhana. Namun pada akhirnya ia kembali bersinar.
Begitu pula kehidupan yang sementara ini kadang datang ujian bahkan bencana. Namun percayalah pada akhirnya kebahagiaan itu pasti kembali bercahaya.
Jangan pernah berputus asa atas segala kejadian yang menimpa, gerhana rembulan telah mengajari kita bahawa tiada yang abadi selamanya, segalanya berganti masa.
Namun satu hal yang jangan dilupa, setiap kali rembulan kembali bercahaya, sedarilah bahawa sinar itu bersumber dari pantulan Sang Mentari.
Begitu pula diri kita, setiap kali kemenangan datang kepada kita ia datang kerana kurniaan Allah Yang Maha Tinggi.
Alhamdulillah,
Malam yang begitu indah di Haradh Field 1094 di bumi Saudi bertuah. Tatkala rembulan mengambang sepenuhnya atas perintah Yang Maha Pencipta. Menjadi penyejuk hati, merasai kebesaranNya serta menyedari siapakah diri ini yang sebenarnya.
MasyaAllah, Site-28 turut berhadapan dengan Nabors Rig yang juga sama memberikan pemandangan indah di kala malam menjelma.
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
Demi matahari dan sinarnya di pagi hari,
Demi bulan apabila ia mengiringi,
Demi siang hari apabila menampakkan dirinya,
Demi malam apabila ia menutupi,
Demi langit beserta seluruh binaannya,
Demi bumi serta yang ada di hamparannya,
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya,
Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan,
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya,
Merugi bagi yang mengotori-Nya.
(Terjemahan Surah Asy-Syams Ayat 1-10)
Begitu indahnya janji Allah SWT dari surah Asy-Syams. Segalanya berputar mengikut paksi sepertinya manusia mengikut prinsip yang benar dalam kehidupan.
Matahari, bulan dan segalanya kehidupan mengikut perintah Allah. Maka siapalah kita jika sombong tidak mengikut perintah dan laranganNYA.
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Surah Ar-Rahman : Ayat 13)
Sungguh, tiada satupun di antara nikmat kurniaanMu yang aku dustakan !
Tiada hati melainkan memiliki semacam awan yang menyelimuti rembulan. Ketika tidak terhalang, ia memancarkan sinarnya dan ketika awan datang, ia menjadi gelap. (Terjermahan Hadis Riwayat Imam At Thabrani)
Ya Rahman,
Jadikanlah kami menjadi sebaik-baiknya Hamba-Mu yang bersyukur mengingati semua Nikmat-Mu di setiap masa. Allahumma Ameen
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.