Dikisahkan ada seorang yang kaya bertanya pada seorang miskin; “Jika aku boleh tunaikan satu permintaan untukmu, apa yang ingin kamu minta?”
Jawabnya:
“Aku mahu minta kamu berikan aku modal berniaga. Aku seorang miskin mana mungkin aku mampu untuk mulakan perniagaan.”
“Kamu pernah berniaga?”, tanya si kaya.
“Tidak pernah tetapi aku ingin mencuba untuk mengubah nasibku”, orang miskin itu menjawab.
Orang kaya itu berkata;
“Baik, tetapi ada satu syarat yang perlu kamu penuhi. Esok jam 5 petang tunggu aku di tebing sungai itu.”
Kerana orang miskin itu terlalu menginginkan dirinya agar dibantu maka dia tidak banyak soal. Lalu keesokkan harinya dia menunggu orang kaya itu datang di tebing sungai. Setelah orang kaya sampai si miskin tadi tidak sabar lagi untuk menerima wang modal yang dijanjikan.
Sesampai orang kaya itu dia berkata; “Berapa modal yang kamu inginkan? Berikan sekali kegunaannya.”
Orang miskin itu menjawab; “Tidak banyak dan cukuplah hanya RM 3000. Aku ingin sekali membeli barang jualan dengan wang itu.”
Orang kaya berkata; “Boleh, tetapi syaratnya ambil pancing dan umpan ini. Dan pancinglah sebanyak 100 ekor ikan. Setelah itu aku akan berikan wang yang kamu minta tadi.”
Si miskin kehairanan lalu berkata; “Aku ingin meminta wang tetapi kenapa aku mesti memancing ikan? Aku tidak pernah memancing bagaimana aku ingin mendapat sehingga 100 ekor ikan?”
Kata orang kaya; “Ini adalah syarat dariku. Jika kamu tidak mendapat 100 ekor hari ini. Esok kamu cuba lagi.”
Si miskin itu akur lalu dia pun mula memancing. Selepas berjam-jam ikan masih tidak kelihatan. Sehinggalah hari menjadi gelap ikan yang di hajati masih tidak kelihatan. Wajahnya sangat hampa.
Keesokan harinya si kaya datang dan bertanya si miskin; “Sudah kamu dapatkan ikannya?”
“Belum Tuan. Mana mungkin aku akan mendapat ikan. Aku tidak pernah punya pengalaman dalam ilmu memancing. Sampai bilakah lagi aku harus menunggu?” , tanya orang miskin itu
Orang kaya itu berkata; “Sabarlah dan usaha lagi sehingga dapat. Esok aku akan datang semula menemuimu.”
Di hari kedua tersebut juga si miskin itu hampa kerana gagal mendapatkan walau hanya seekor ikan dan beliau mula menjadi bosan.
Sehinggalah hari yang ketiga, si kaya menemuinya dan bertanya lagi; “Sudah dapatkah ikan-ikanya ?.”
Si miskin itu mulai marah; “Aku ingin engkau membantu aku untuk dipinjamkan sejumlah wang untuk aku jadikan ianya modal untuk berniaga tetapi engkau pula menyuruhku memancing untuk mendapatkan 100 ekor ikan. Jika nasibku baik, barangkali aku mampu mendapatkan kurang lebih 2 atau 3 ekor sehari. Namun, berapa lamakah waktunya untuk aku menunggu untuk cukup jumlah 100 ekor tersebut dan mendapatkan wang modal itu?”
Si kaya tersenyum lalu berkata; “Sabarlah wahai saudaraku. Mari merapat, aku bawakan minuman untukmu. Adakah kamu benar-benar penat?”
“Ya semestinya. Sudahlah penat, berpanas seharian malah tiada langsung hasilnya !”, kata orang miskin itu
“Melalui keadaan kamu sekarang, adakah kamu masih inginkan wang modal untuk berniaga?”, tanya si kaya.
“Ya sudah tentu. Aku sudah di sini 3 hari menunggu wang tersebut.”, jawab si miskin.
“Bolehkah kamu berjanji untuk melunaskan bayaran hutang kamu kepadaku dalam masa 6 bulan ini?”, tanya si kaya.
“Ya sudah tentu aku boleh usahakan”, jawab si miskin.
“Bagaimana kamu yakin kamu mampu melunaskan hutangku dalam masa 6 bulan? Sedangkan baru 3 hari kamu memancing ikan tetapi tiada satupun hasil yang kamu dapatkan malah kamu terus marah-marah dan berputus asa?”, kata orang kaya itu.
Si miskin itu tersentak setelah mendengarkannya. Dia terdiam sambil merundukkan wajahnya lalu si kaya itupun berkata;
“Perniagaan ini sama umpamanya seperti kita memancing. Tanpa ilmu dan pengalaman kamu akan mudah kecundang walaupun kamu sudah mempunyai modal (pancing dan umpan).
Kamu berkata bahawa kamu yakin sekali akan mampu membayar hutangku itu. Tetapi yakinkah kamu yang perniagaan kamu akan menguntungkan? Sedangkan baru memancing 3 hari sahaja pun kamu sudah berputus asa. Perniagaan itu sebenarnya jauh lebih mencabar. Kamu yakinkah apabila kamu berniaga kamu tidak kan berputus asa?”
“Aku boleh mencuba. Dengan modal yang aku minta itu, aku yakin aku punya cukup wang untuk jalankan perniagaan yang aku suka”, si miskin itu masih tidak mahu mengalah.
“Begini sahaja. Mahukah kamu jika aku tunjukkan cara yang betul untuk memancing agar kamu berjaya mendapatkan 100 ekor ikan? Maka kamu akan mendapat wang modal yang kamu inginkan?” , si kaya itu mnegusulkannya.
“Ya sudah tentu maka ajarkan aku !”, pinta si miskin itu.
Maka si kaya mula mengajarkan si miskin itu kaedah dan teknik memancing yang betul. Sehari demi sehari si miskin itu semakin pandai memancing dan setiap kali berhasil dan mendapat ikan, si kaya itu menyuruh si miskin itu pergi berjualan hasil ikannya di pasar atau kepada sesiapa sahaja dan wang itu pula diserahkan kepada si kaya.
Sehinggalah cukup 100 ekor ikan, si miskin kelihatan begitu girang sekali kerana berjaya memenuhi syarat si kaya tersebut lalu berkata; “Wahai orang kaya, aku telah berjaya penuhi syarat yang engkau berikan. Maka bolehkah aku mendapatkan wang modal yang engkau janjikan?”
Lalu si kaya mengeluarkan sejumlah wang dan berkata; “Nah ambil semua wang ini dan tidak perlu engkau bayar kepadaku semula. Wang ini milikmu sepenuhnya !”
“Kenapa orang kaya? Bukankah aku telah berjanji yang aku ingin membayar semula wang yang aku pinjam ini?”, si miskin itu merasa ragu.
“Ini adalah wang penghasilan daripada ikan-ikan yang telah engkau jual.”, kata si kaya.
Terharu si miskin itu sehingga menitiskan air mata.
Lalu si miskin itu berkata; “Terima kasih wahai orang kaya kerana memberikan aku ilmu yang sangat bermakna di dalam hidupku. Hari ini barulah aku faham kenapa engkau meminta aku untuk memancing 100 ekor ikan. Tanpa tunjuk ajar darimu, aku yakin bahawa aku tidak akan mampu berjaya dalam sesuatu perniagaan.”
Berbunga hati si kaya tersebut lalu berkata; “Aku juga pernah diajar memancing seperti kamu. Berkat kesabaran aku berjaya menjadi seperti apa engkau lihat hari ini”.
Akhirnya si miskin itu meneruskan usaha memancing dan menjualkan ikan-ikan yang telah dipancingnya sehinggalah di suatu ketika dia mampu menjadi pembekal ikan terbesar di daerahnya. Alhamdulillah, dia kini turut menjadi seorang yang kaya raya.
Saudaraku yang bahagia,
Seringkali kita merasakan ujian demi ujian yang hadir ke dalam hidup kita ini sebagai satu bebanan dan hukuman. Tapi jarang kita memandang sisi baik di setiap ujian yang mendatang dalam hidup kita.
Perjalanan menuju kejayaan itu tidak mudah. Seringkali disulami dengan kegagalan, kekecewaan, kesedihan dan keperitan. Tapi di sebalik semua itu tanpa kita sedar kita menjadi semakin kuat, kita lebih bijak, bertambah ilmu dan pengalaman. Dan seandainya kita sanggup bertahan, kita pasti akan mencapai kejayaan.
Teruskan perjuangan saudaraku.
Proses kejayaan itu memang tidak menarik dan seringkali tidak diendahkan sesiapa. Ingatlah bahawa sebutir berlian itu tidak akan terhasil tanpa tekanan yang sangat kuat.
Ketahuilah siapa pun kita hari ini tidak menentukan siapa kita pada hari esoknya. Teruskan melangkah dan jangan pernah mengalah !