Dunia Oil and Gas ini sangat mencabar emosi, fizikal dan minda. Berdasarkan kepada sepanjang pengalaman peribadi saya, tugasan di ‘Offshore’ jauh lebih sukar berbanding di ‘Onshore’.
Sehingga artikel ini di tulis, saya telah telah merasai pengalaman hampir 13 tahun bertugas di ‘offshore’ yang meliputi negara Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar yang mana banyak waktu saya di habiskan melalui operasi yang melibatkan vessel dan Barge. Tidak terkecuali, saya juga mempunyai pengalaman berharga bertugas di ‘rig’.
Terlalu banyak suka duka tidak kurangnya pengorbanan yang ditaburkan samada secara ikhlas mahupun terpaksa. Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Teringat kenangan manis saya di OTTO-3 Barge bersama Stimulation Team terhebat melalui operasi kami di Shell Malaysia. Tatkala gelombang besar melanda, kami di buai ombak ganas yang ada kalanya melebihi seminggu. Kerisauan pada diri itu pasti ada kerana ianya melibatkan pertaruhan nyawa.
Walaupun operasi melalui barge itu boleh di katakan agak stabil namun, tiada siapa yang mampu menahan ‘amukan’ sang ombak yang ganas tanpa mengira siapa mangsanya. Bukan hanya memusnahkan alatan yang ada namun mampu meragut nyawa.
Maaf, banyak sekali yang saya dengar dan lihat akan impak dari amukan sang ombak ini. Banyak kisah sedih yang tidak mampu saya nukilkan di sini. Bukan hanya terputus anggota tubuh malah tidak terkecuali jasad bercerai dengan nyawa. Biarlah ianya menjadi antara memori pahit untuk saya kenangkan.
Bagaimana dengan mabuk laut?
Ya, kali ini saya lebih bersedia berdasarkan pengalaman lepas yang pernah saya kongsikan melalui ‘artikel‘ saya sebelum ini. Setiap pekerja yang melalui pengalaman ini ada cara mereka tersendiri untuk mengawalnya. Walaupun begitu, sesuatu cara yang di kira baik itu adakalanya jika berlebihan, pasti memudaratkan kesihatan pemilik tubuhnya.
Saya amat menggemari sesuatu yang sangat masam untuk dikunyah sewaktu bertugas di lautan. Keadaan ini membuatkan saya menjadi seorang yang ketagih dan sangat memerlukannya setiap masa. Bekalan yang saya bawa sangat banyak dan seperti menjadi hidangan snek bagi saya ketika itu.
Namun, tanpa di jangka keadaan ini menyebabkan saluran air liur saya tersumbat dan menyebabkan cyst dan tumor di bahagian kiri wajah saya. Sebelum itu, saya pernah merasakan perubahan diri ini tetapi tidak saya endahkan sama sekali sehinggalah di suatu hari sewaktu saya melakukan medical checkup di Rumah Sakit Balikpapan, Kalimantan (Indonesia), Doktor yang merawat saya memberikan amaran keras agar saya membuat pembedahan segera bagi membuang cyst tersebut sebelum ianya menjadi lebih parah kerana melibatkan saraf pada masa yang sama.
Hati berbelah bahagi ketika itu manakan tidak, saya berada jauh dari keluarga dan mustahil untuk saya lakukan pembedahan di situ. Pada masa yang sama, saya perlu berangkat segera ke perairan Myanmar untuk tugasan penting di sana.
Akhirnya, setelah kembali ke Malaysia, pada 28th May 2014, ditemani isteri tercinta, saya menjalani pembedahan selama 8 jam di Columbia Asia, Cheras Selatan. Pembedahan ini di kira major yang mana memerlukan 3 doktor pakar dan seorang Technician khusus melihat saraf melalui instrument nya di samping tambahan crew di operation theater.

Akibat dari pembedahan tersebut, saya mengalami kerosakan saraf utama muka di bahagian kiri yang mana tidak lagi boleh melakukan pelbagai fungsi. Benar, hati siapa yang tidak terasa jika dia berada di tempat saya. Emosi saya sangat terganggu sepertinya segala kenikmatan dicabut secara serentak.
Sungguh, Allah Maha Pengasih. Ujian itu sebetulnya menguatkan diri serta mendekatkan saya kepada-Nya setelah saya muhasah diri juga mengakui pelbagai kesilapan yang tersurat mahupun tersirat selama mana Allah meminjamkan usia ini di dunia. Biar apa dikatakan orang agar jiwa kita menyatu dengan Sang Pencipta.
Untuk itu, sekalung kasih buat Ayahanda dan arwah Bonda, juga buat permaisuri hati saya yang tidak pernah henti menjaga saya sepenuhnya serta keluarga dan sahabat handai. Kalian adalah ‘juara’ pemberi semangat untuk saya terus bangkit sehingga kini. Sungguh, saya yakin Allah telah menyediakan sesuatu yang ‘luar biasa’ buat kalian di syurga. Allahumma Ameen
Alhamdulillah, selama 5 tahun menjayakan tugasan yang pada saya sangat mencabar di Shell Malaysia ini, akhirnya melahirkan terlalu ramai insan hebat yang kini berterabur di serata dunia. Yang membanggakan saya, mereka ini adalah anak-anak Malaysia !
Benar, keadaan semasa tidak memihak kepada industri ini. Banyak kisah duka melanda sahabat seperjuangan. Masih perlu waktu untuk bangkit kembali namun, ianya masih kabur sama sekali.
Pesan buat diriku, jika masih berjuang, persiapkan diri dari sebarang musibah. Bersyukur atas setiap kurniaan Yang Maha Esa. Hapuskan segala bebanan dan kumpul bekalan sebaik mungkin demi generasi mendatang. Masa hadapan kelihatan sangat mendesak buat sesiapa yang berfikir.
Buat anak-anak muda yang sering bertanya kepada diriku akan keinginan bertugas di industri ini, ingatlah bahawa wang ringgit bukanlah ‘kiblat utama’.
Jika tersalah langkah, menyesalnya diri seumur hidup lamanya. Jika diberi pilihan selainnya, carilah pekerjaan yang mampu memberikan keuntungan buat dirimu, keluarga dan agama.
Buatlah sedikit ‘research’ dan bertanyakan kepada mereka yang sedia ada di dalam industri ini. Jika jiwamu kental dan koordinat tujuanmu benar, silakan dan aku bersedia membantumu dengan perkongsian ilmu yang Maha Kerdil ini.
Wallahu a’lam