Menteri Yang Kebingungan Mencari Jawapan

Pada zaman dahulu ada seorang Sultan yang telah mengambil seorang ilmuan untuk dijadikan menterinya. Maka dari itu diberikan kurnia berupa istana, gelaran dan pangkat serta seorang isteri yang cantik dan pelbagai kemewahan yang lainnya.

Sehinggalah pada suatu hari Sultan memanggil menteri tersebut kerana mahu bertanyakan tentang 3 soalan yang sarat berlegar di mindanya ketika itu iaitu;

  • Apa itu dunia?
  • Apa itu akhirat?
  • Apa itu iman?

Sultan hanya memerlukan jawapan yang tepat dan jitu, tidak mahu syarahan yang panjang berjela. Menteri itu terpinga-pinga untuk mencari jawapan yang memuaskan hati Sultan.

Kerana itu, Sultan telah murka lalu memberi tempoh selama seminggu supaya menteri itu boleh mencari jawapannya.Jika gagal, maka segala kurniaannya akan di rampas seluruhnya.

Menteri tersebut mengalami kerungsian yang amat sangat akan memikirkan dia akan kehilangan segala-galanya. Tidak mampu melelapkan mata di kala malam menjelma malah hilang selera menjamah makanan walaupun dihidangkan dengan pelbagai masakan yang enak.

Menteri itu turut mengumpulkan ramai cerdik pandai untuk mendapatkan jawapan yang tepat namun, segala usahanya itu gagal sama sekali. Kemuncaknya, menteri tersebut mengambil keputusan untuk keluar dari istananya dan mencari sesiapa sahaja yang mampu merungkaikan keresahan hatinya sekaligus, menyelamatkan segala apa miliknya dari di rampas oleh sultan. Malangnya, tetap jua tiada penghasilan dari usahanya tersebut.

Sehinggalah di saat akhir tiba, dengan penuh keserabutan di mindanya, beliau pasrah dan termenung panjang di bawah pohon besar di penghunjung kota mengenangkan nasibnya.

Tanpa di sangka, menteri itu terlihat sosok seorang tua yang sedang asyik berkebun. Agak lama menteri itu merenungnya dan apabila matahari naik sepenggalah, orang tua itu lalu berhenti dan berehat untuk makan tengahari dan menunaikan solat Zuhur selepasnya.

Seperti seakan yang mengarah, menteri itu lalu bangun dan menuju ke arah tempat orang tua tersebut dan memperkenalkan dirinya dengan hormat. Kelihatan duka dan lara di wajah menteri tersebut yang membuatkan orang tua itu berkata;

“Tuan, seperti nampaknya mempunyai masalah yang berat. Bolehkah hamba menolong tuan jika berdaya?”

Lalu, menteri tersebut menceritakan segala apa yang berlaku dari awal hingga ke penghujungnya.

Dengan tenang dan tersenyum, orang tua itu menjawab segala persoalannya dengan ringkas dan padat;

  • Apakah Dunia?“Dunia ialah apa-apa amalan yang kita buat untuk ditinggalkan.”
  • Apakah Akhirat?“Akhirat pula ialah apa-apa amalan yang kita buat untuk dibawa ke alam akhirat tanpa ada apa-apa maksud dunia di dalamnya.”

“Bagaimana pula dengan persoalan mengenai apakah itu iman?”, tanya menteri itu.

Maka orang tua itu berkata; “InsyaAllah, akan hamba beritahu petang nanti selepas solat Asar.”


Tatkala masuknya waktu Asar, mereka berdua menunaikan solat berjemaah di kebun milik orang tua tersebut. Dan setelah usai, menteri tersebut dengan terburu bertanyakan lagi akan persoalan berkenaan apakah itu iman.

Ketika itu, terdapatnya beberapa ekor anjing sedang memakan sisa-sisa makanan tengahari. Orang tua itu memberikan syarat bahawa untuk memberikan jawapan yang ketiga itu, menteri tersebut perlu makan bersama anjing-anjing tersebut.

Menteri itu kebingungan dan berfikir berkali-kali.

Diakuinya bahawa anjing itu adalah najis berat dan jika tidak mengikuti syarat orang tua tersebut, kemungkinan besar dia akan kehilangan segala hartanya dan pasti akan melarat hidupnya setelah itu.

Akhirnya, dengan hati yang berat, menteri itu membuat keputusan untuk makan bersama anjing-anjing tersebut. Dan hampir sahaja menyentuh makanan tersebut, orang tua itu lantas memegang tangannya dengan kuat dan berkata;

“Tuan, inilah Iman. Bagi mereka yang ada iman, sanggup kerugian segala dunianya tetapi tidak akan langgar perintah Allah (rugi akhiratnya). Tetapi mereka yang tidak ada iman akan sanggup langgar perintah Allah (rugi akhiratnya) untuk selamatkan dunianya!”

Maha Suci Allah. Sungguh, itu adalah suatu pengajaran yang sangat bermakna buat kita !

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s