Berbicara pada hati,
Hanya Tuhan menjadi saksi,
Berbicara pada insan akan mudah tersentuh perasaan,
Pelbagai gaya rasa terpacul bertabur di halaman rasa,
Ada kata merobek hati, belum pasti pulih kembali,
Ada kata menyejuk jiwa tersimpan kemas di dalam dada,
Ada kata melecur berdarah tersimbah amarah bertikam telagah,
Ada kata menyampai amanah melabur pahala pada tunjangan hidup,
Ada kata menyampai dakwah meraih kebajikan sampai dunia tamat menuju kiamat.
Berbicara pada hati yang bisu,
Jangan sampai rasa tertewas,
Terlena dengan pelukan sorak pujian Syaitan,
Jangan biarkan lebur keteguhan Iman,
Cair hayut di lautan leka dilambung ombak nafsu,
Membadai di pantai rasa terdengkur lena bermimpikan indah Syurga dunia,
Mencuri di lorong-lorong hati yang goyah,
Perdaya mudah hati-hati lalai dihayut kelautan dosa.
Kenapa biarkan hati tergadai,
Dengan taburan janji angkara,
Terpenjara bicara terkunci nafas kebenaran,
Membunuh senyap insan lena dengan peluru perdayaan,
Kompas benar sudah lama tidak guna dipakai,
Suara jujur terbungkus dengan lapisan curang.
Sedarlah sebelum terlambat,
Rungkaikanlah rasa yang kian tertambat,
Oleh angkara helah Syaitan melencongkan niat,
Sucikanlah hati yang hampir mati dengan kalimah Syahadat,
Mandikan bibir dengan basahan Tasbih, Zikir, dan Tahmid,
Beriadah lah dengan rukuk dan sujud di hujung sejadah,
Siang malam tanpa sempadan tanpa waktu dan noktah,
Kerana gelanggang ibadah terbuka luas,
Tanpa berpintu masuklah dengan rela bersulam Taubat.
Berbicara pada diri tersimpan di hati,
Berbicara sesama insan belum tentu memahami,
Berbicara pada Tuhan meskipun senyap Dia Maha Mengerti.