
Suhu mencecah sehingga di bawah paras 5 Deg Celsius awal pagi tadi diselangi dengan petir dari pelbagai arah. Di tengah padang pasir yang kurangnya tempat berlindung, pemanas yang dibuka juga tidak mampu menampung ganasnya ‘Sang Bayu’.
Maha Suci Allah, antara ujian terhebat dalam mencari rezeki. Pasti akan adanya sesuatu yang dapat direnungi akan tanda kebesaran Ilahi.
Teringat di suatu masa ketika masih belum mengenal dunia sepenuhnya, hati tertanya mengapakah bumi Malaysia ini panas tidak seperti di dunia barat yang pasti membuatkan penduduknya hidup aman dan gembira? Malah pernah tanpa sedar memohon kepada Pencipta agar dapat merasai bayu dingin mendamaikan sampai kapan pun.
Subhanallah, Allah Maha Mendengar !
Tatkala peluang dibuka untuk merasai sepenuhnya apa yang dipinta, ternyata betapa kerdilnya diri yang tidak sesekali selama ini bersyukur atas setiap kurniaannya. Biarpun bumi Malaysia itu dirasakan dahulu begitu jelek, ternyata perancangan Allah itu Maha Hebat.
Biar apapun rezeki atau pemberian yang dikurniakan, ucapkanlah Alhamdulillah atas Anugerahnya kerana apa yang dirasai itu adalah sangat terbaik bagi mereka yang memahami.
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Surah Ar-Rahman : Ayat 13)
Sesungguhnya tiada satupun segala nikmat pemberian mu Ya Allah ingin aku dustakan !
Allahumma Ya Rahman Ya Rahim Ya Mujib, Jadikanlah kami menjadi sebaik-baiknya Hamba-Mu dan jauhkan kami dari kelalaian, kekufuran, kefakiran serta melakukan sebarang kemaksiatan.
Allahumma Ameen.
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.