Istiqamah Seperti Rumput

Rumput-Raja

Rumput sejenis tumbuhan yang paling mudah tumbuh, tahan lasak dan senang dipandang mata. Warnanya yang hijau memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Rumput tidak berbuah, tidak mengeluarkan bunga yang berwarna-warni namun, manusia tetap menanamnya.

Keistimewaan Rumput

Rumput memberi kekuatan kepada tanah. Akarnya mencengkam tanah dan menghalang air daripada menembusi tanah dengan mudah. Ia juga mampu menghalang hakisan tanah. Kerana itu rumput ditanam di lereng-lereng cerun yang curam agar dapat menahan tanah daripada hakisan dan akhirnya runtuh menimpa bumi.

Subhanallah, walaupun tanah dan batu sifatnya keras, rupa-rupanya rumput yang lembut itulah yang menahan tanah daripada runtuh

Hakikat ini mengajar kita satu perkara iaitu jangan berasa hina diri. Walaupun kita tidak mempunyai rupa yang cantik, harta yang banyak atau kecerdasan yang tinggi, kita masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama melalui keistimewaan (kelebihan) yang kita miliki.

Ingat, Allah SWT mencipta manusia dengan penuh ‘keunikan’. Setiap dari anda pasti mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Kenali apakah keistimewaan anda dan pertingkatkan sebaik mungkin. Jadilah seperti rumput, walaupun tidak berbuah dan berbunga, ia mampu memberikan kebaktian yang terpuji.

Lembut Tetapi Kuat

Seperkara lagi, walaupun dipijak berulang kali, rumput masih mampu bertahan. Benar, ia memang lembut, tetapi kerana kelembutan itulah rumput tidak patah apabila dipijak. Ia melentur apabila dihenyak, tetapi kemudiannya kembali ke bentuk asalnya semula. Bayangkan jika rumput ‘berkeras’, pasti patah dan musnah.

Jadi, kelembutan pada rumput sebenarnya adalah satu kekuatan, bukan satu kelemahan. Begitu juga dengan diri kita. Jangan terlalu berkeras atau sukar bertolak- ansur. Kita boleh tegas tetapi bukan berkeras. Ada orang yang suka berkeras, tetapi tidak tegas. Dan tidak mustahil ada juga orang yang lembut, tetapi sebenarnya sangat tegas.

Islam menganjurkan kita menjadi seorang yang berlemah – lembut, tetapi pada masa yang sama kita juga mesti menjadi seorang yang tegas. Ingatlah bahawa bersikap lemah – lembut bukan beerti kita lemah, malah itu sebenarnya satu kekuatan yang utuh.

Lihat bagaimana keperibadian para Nabi dan Rasul, terutamanya Nabi Muhammad SAW. Baginda begitu berlemah – lembut, tetapi pada masa yang sama sangat tegas pendiriannya. Ketika berdakwah misalnya, Nabi Muhammad pernah dilempar dengan kotoran, dituduh gila malah diancam bunuh. Baginda tidak melawan, tetapi perjuangannya tetap diteruskan. Itulah ketegasan Baginda Muhammad Yang Tercinta (selawat dan salam ke atas Baginda).

Rumput juga tidak pernah tumbuh bersendirian. Sekali ianya tumbuh, mesti bersama-sama yang lain, tompok demi tompok, kelompok demi kelompok sehingga memenuhi satu padang, lurah atau lembah. Geraknya sangat perlahan tetapi sangat konsisten. Sehari demi sehari dan akhirnya tanpa disedari, seluruh kawasan telah dilitupinya. Itulah rahsia rumput yang hidupnya sentiasa berjemaah dan istiqamah.

Kita juga mesti hidup bersatu padu dalam sebuah keluarga, organisasi dan masyarakat. Itulah hidup berjemaah namanya. Menerusi kesatuan itu, setiap orang dapat membangunkan aktiviti-aktiviti kebaikan dan kebajikan. Tidak mengapa sekiranya aktiviti-aktiviti itu hanya kecil-kecilan sahaja, asalkan ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh istiqamah.

Jadilah seperti rumput, dengan hidup berjemaah dan bersikap istiqamah, banyak kebaikan yang dapat dibuat. Musuh pun tidak dapat menggugat.

Ya, rumput selalu dipijak, tetapi ia tidak hina. Ia selalu di bawah, tetapi bukannya lemah. Sekalipun lemah – lembut, ia tidak akan musnah walau dipukul badai yang menggila.

Maha Suci Allah atas setiap kejadiannya. Terbuka pintu hati dan minda buat mereka yang faham akan maksudnya. Setiap apa yang wujud atas kuasa ilahi pasti memberikan kita harapan, inspirasi dan jawapan atas setiap permasalahan.

Wahai hati yang gundah, ingatlah bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu sering bersamamu. Dia dekat, malah lebih dekat dari urat nadi di lehermu. Mintalah kepadanya, Tuhan Yang Maha Pemberi. Semoga dirimu tetap terus dalam rahmat serta perlindunganNya.

Allahumma Ameen.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s