Sedikit perkongsian demi saling mengingati antara kita agar tidak terjebak dari sebarang musibah mendatang.
Sistem Emas ETA ini boleh dibahagikan kepada 2 aktiviti iaitu:
- Pengusaha – Perlu menjual produk kepada orang lain
- Pelabur – Untuk diri sendiri
**** Mereka ini boleh membuat satu atau kedua-dua aktiviti itu tersebut
Mereka yang mempunyai kepentingan dalam sistem ini akan mengarang cerita yang indah-indah saja samada pelan tersebut sangat mudah dilaksanakan disamping memberikan pulangan terbaik yang hasilnya pembeli beratur untuk membeli produk Emas mereka dan untungnya berlipat ganda.
Bagi menjayakan bisnes ini secara konsisten, pengusaha perlu mempunyai 3 ELEMEN utama iaitu:
- Modal
- Supply Emas
- Pembeli
Oleh kerana ramai pengusaha tidak mempunyai modal yang besar, salah satu kaedah yang digunapakai adalah menggunakan fasiliti gadaian Ar-Rahnu, yang merupakan langkah meminjam wang dengan kadar bayaran balik yang tinggi (mencapai 16% ~ 18% setahun).
Elemen yang kedua dan ketiga adalah sangat kritikal kerana bisnes ini mengambil waktu (7 hari, 14 hari, sebulan, dsb). Sekiranya tergendala, maka bisnes ini akan pincang dan membawa masalah kepada pengusaha yang akhirnya mengalami kerugian besar.
Apa yang menambahkan risiko kepada semua pihak (pengusaha dan pelabur) ialah, harga transaksi ditetapkan lebih awal walhal harga Emas semasa naik turun setiap hari, malah ia naik turun setiap minit … !!
Harga Emas pula amat Volatile (mudah meruap), yakni kenaikan/penurunan secara mendadak. Secara jujurnya, perkara ini boleh membuatkan para pembeli terperangkap.
Begitu juga tanpa sedar Pelabur berisiko mengalami kerugian sekiranya:
- Pengusaha meninggal dunia, hilang upaya, berhenti berniaga atau melarikan diri sebelum Pelabur mendapat Emas yang dibeli (masih dalam tempoh ETA)
- Jika harga Emas naik mendadak dalam masa ETA tersebut, Pengusaha berkemungkinan enggan menyerahkan Emas itu kepada pelabur kerana mereka akan menanggung kerugian
- Sekiranya harga Emas jatuh merudum dalam masa ETA pula, Pelabur pula yang akan menanggung kerugian.
- Emas yang diberikan oleh pengusaha bukan yang tulen. Realitinya ialah ramai orang tidak tahu bagaimana untuk mengenalpasti antara Emas yang tulin dan yang palsu
Banyak rekod menunjukkan Produk Emas yang sama boleh dijual kepada ramai Pelabur (sudah tentu tanpa pengetahuan Pelabur tersebut). Hanya dengan menunjukkan produk Emas tertentu, bakal Pelabur terus terpesona dengan diakhiri wang bertukar tangan tanpa memilikinya secara langsung.
Semat dalam diri, jika ada pembayaran hibah, hadiah atau dividen kepada Pelabur, sistem ini secara automatisnya telah menjadi pelaburan dan ianya menyalahi undang-undang. Sebarang bentuk pelaburan di Malaysia WAJIB mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysia.
Tidak dinafikan risiko bisnes seumpama ini amatlah tinggi. Secara logik, kebanyakkan pengusaha mempunyai masalah untuk membuat keuntungan daripada bisnes yang kos produknya tetap. Oleh itu, bagaimana pula kita boleh mendapat keuntungan besar dari kos produknya yang begitu Volatile?
Ingat, membeli Emas itu mudah tetapi, jika ingin menjual mengikuti harga yang diinginkan itu belum tentu senang dan ada masanya agak mustahil … !!
Walaupun ada segelintir individu yang membuat duit hasil melalui bisnes ini, ketahuilah bahawa kebanyakkan peserta menanggung kerugian dan sesalan.
Sekiranya timbul sebarang keraguan juga inginkan kesahihan berkaitan sebarang Skim Emas ETA ini, Anda boleh menghubungi Tol Talian Bank Negara Malaysia di 1-300-88-5465.
Sematkan dalam diri bahawa anda mempertaruhkan wang keringat yang berkemungkinan besar hilang sekelip mata sekiranya terjebak. Buatlah sedikit ‘Research’ sebelum ianya bertukar tangan. Awas, manusia bermulut manis ibarat menanam tebu di tepi bibir senantiasa bersedia mencari mangsanya …. !!