Manusia bukan pemilik dunia. Apabila tiba masanya, manusia pasti meninggalkan dunia dan menuju ke akhirat.
Malah, Baginda Muhammad SAW pernah bersabda;
“Hiduplah di dunia ini seolah-olah kamu seorang manusia yang asing, ataupun kamu sedang dalam perjalanan dan kamu sentiasa merentasi suatu kawasan setempat demi setempat.”
Wahai Pemilik Hati,
Apabila kita berazam bagi membuat sesuatu pekerjaan yang baik lagi sholeh, maka jangan sesekali ditanguhkannya malah bersegeralah melakukannya.
Ini di khuatiri sekiranya beberapa ketika selepas itu kita sudah tidak mampu bagi mengerjakannya lagi. Jangan terbiasa dengan sikap bertangguh kerana ia adalah sebahagian daripada perkara yang dibenci Allah SWT.
Apabila berada pada waktu pagi, maka jangan kamu berharap datangnya waktu petang untuk mula mengerjakan amal soleh. Dan apabila berada pada waktu petang, maka jangan pula kamu berharap datangnya pagi esok untuk mula mengerjakan amal soleh.
Benar, dunia ini hanya rumah tumpangan. Istana yang hakiki menanti di akhirat kelak. Oleh itu, kita perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan kumpul pahala amalan sebanyak-banyaknya. Dalam waktu singkat yang dibekalkan kepada kita ini, carilah bekal yang boleh membahagiakan kita di akhirat kelak.
Wahai Pemilik Hati,
Tanamlah pohon yang membuahkan pahala, kerananya kita akan dapat memetik rahmat dan dapat berehat di dalam istana bahagia buat selamanya.
Jangan !
Janganlah di tanam pohon beracun dosa, bukan sahaja tiada hasil untuk kita petik, lebih malang lagi, dibimbangi kita akan dihukum tidak henti-henti di akhirat kelak dan maka merugilah kita sekiranya itu terjadi.
Semoga kasih dan rahmat Allah tetap bersama kita dan semoga Allah menjauhkan kita semua daripada azab siksaan-Nya.
Allahumma Ameen