Melayu Islam..
Sudah bangkit dari lena alpa?
Tika kepala dan kepentingan diri di henyak…
Atau tika Islam mula di pijak?
Tika khazanah warisan hampir habis di ratah penjarah…
Atau tika tiada lagi maruah yang boleh di rasuah?
Apakah mahu bangkit di atas dasar asobiah..
Atau bangkit dari keinsafan sebenar-benar taubah?
Andai asobiah yang menjadi hujah…
Maka kelemahan pihak lain yang sibuk di persalah.
Andai taubah yang di pilih…
Maka kelemahan dan kesilapan sendiri yang awal di pulih.
Kembali bangkit…adalah juga Taubah,
Menyesali akibat ujian dan kifarah,
Menginsafi semula Amanah Allah,
Menjaga anugerah sebuah Tanah dan Daulah.
Ulama, Umara, cendikiawan, hartawan dan negarawan semuanya…
Wajib rasa bersalah dan bingkas dengan penuh hemah dan hikmah.
Usah di ulangi kesilapan lalu,
Usah di longlai dek tipu daya nafsu,
Sesama sendiri usah cemburu dan seteru,
Semua yang ada muafakatlah bersekutu,
Perbezaan untuk saling melengkapi dan menambah mutu,
Barulah benar berpadu dan bersatu dalam restu.
Murni jiwa, cerdas akal dan tangkas anggota mesti di bina,
Tauhid hakiki, adab mulia , hikmat dan sakti jangan di lupa,
Melayu Islam bukan kuat dengan bicara dan semangat semata,
“Dengan Allah dan Rasul menyatu jiwa, dengan alam dan makhluk menyatu raga”….inilah warisan Kekuatan leluhur kita.
Merdeka kita dari tawanan syaitan dan nafsu…
Bebas kita dari cengkaman musuh dan seteru.
Merdeka kita dari cinta dunia…
Bebas kita memilih mana-mana pintu syurga.