Jangan pernah merasa suci berbanding makhluk yang lain!
Kisah ringkas yang di nukilkan ini datangnya dari Abu Yazid Al-Busthami yang merupakan seorang Syeikh atau pemimpin para kaum Sufi.
Subhanallah,
Beliau pernah mendapatkan ilmu yang sangat berharga walaupun dari seekor anjing jalanan.
Suatu ketika, Abu Yazid Al-Busthami berjalan sendirian di malam hari seperti kebiasaan lalu, beliau melihat seekor anjing yang berjalan terus menujuinya tanpa menghiraukannya. Namun, ketika hampir mendekat, Syeikh Al-Busthami mengangkat jubahnya kerana khuatiri akan tersentuh anjing yang dikatakan najis itu.
Tiba-tiba, anjing itu berhenti dan memandang Syeikh itu sambil berkata kepadanya;
Wahai Syeikh, tubuhku kering dan tidak menyebabkan najis terhadap dirimu. Jika sekalipun najis ini mengenaimu, engkau hanya tinggal membasuhnya dengan air dan tanah (samak) untuk menghilangkannya. Namun, jika engkau mengangkat jubahmu kerana beranggapan bahawa dirimu yang berbaju itu lebih mulia berbanding aku yang berbadan anjing ini hina, maka najis yang menempel di hatimu itu tidak akan engkau mampu untuk mensucikannya walaupun engkau membasuhnya dengan air seluas 7 samudera lautan!
Allahu Allah,
Syeikh Abu Yazid Al-Busthami tersentak dan memohon maaf kepada anjing tersebut dan sebagai tanda penghormatan serta meminta maaf, beliau mengajak anjing tersebut untuk bersahabat dengannya dan berjalan bersama-sama.
Anjing itu menolak permintaan Syeikh dan seraya berkata;
Engkau tidak seharusnya berjalan denganku kerana mereka yang memuliakanmu pasti akan mencemuhmu dan melempari aku dengan batu. Aku tidak tahu mengapa mereka menganggapku sebegitu hina walhal aku berserah diri pada Sang Maha Pencipta atas kewujudan aku di dunia ini.
Lihat lah !
Aku tidak menyimpan dan membawa seketul tulang pun sedangkan engkau menyimpan sekarung gandum.
Lalu, anjing tersebut berjalan sambil meninggalkan Syeikh yang masih terpinga-pinga.
Syeikh Abu Yazid Al-Busthami dalam diam berkata dalam hatinya;
Ya Allah,
Daku berjalan dengan seekor anjing ciptaanMu sahaja aku tidak layak, maka bagaimana aku merasa layak berjalan bersama denganMu? Ampunilah aku dan sucikanlah hatiku dari sebarang najis di hatiku.
Sejak dari peristwa tersebut, Syeikh Abu Yazid sentiasa memuliakan serta mengasihi sesama makhluk Allah tanpa sebarang syarat. Alhamdulillah
Maha Benar Allah di atas firmanNya yang agung;
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. (Surah an-Najm : Ayat 32)
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan dan kesabaran.