Kekayaan Hakiki – Apabila Berada Dalam Lautan Tauhid

Dalam melayari kehidupan yang singkat ini, kita perlu menggunakannya dengan sebaiknya agar berada dalam kebenaran.

Yang paling utama kita menjaga agar setiap nafas ini berada dalam hubungan dengan Allah, bukan tertakjub kepada kuasa diri.

Sentiasa ‘memandang’ Allah pada hakikat, jangan hanya terhenti pada bayangan ciptaanNya tanpa melihat akan tuan empunya bayang-bayang. Demikian juga sentiasa melihat Dia yang memberi nikmat dan dia menguji hamba-hambaNya. Tiada yang datang dari-Nya melainkan kebaikan.

Apa yang penting kita lalui kehidupan dengan cara yang baik, Allah menguji manusia dengan perasaaan dan fikiran, kerana dua perkara tersebut boleh membawa mereka gembira atau sedih. Hakikat kegembiraan dan kesedihan bukan datang dari luaran tapi faktor dalaman kita.

Kekayaaan hakiki yang boleh membawa kebahagiaan bukan terletak pada harta atau pangkat, tapi kekayaan hati. Apabila hati manusia itu miskin dengan aqidah, mereka akan tetap akan menderita dengan pelbagai keresahan dalam kehidupan. Di sekeliling mereka seperti melihat ada mereka yang lebih kaya dan dihormati berbanding mereka, anak-anak hidup berdengki dan berseronok sahaja atau lainnya. Mereka ini jika didampingi penuh dengan permasalahan jiwa dan pemikiran.

Berlainan mereka yang hidup dalam sentiasa kaya dengan makrifat kepada Allah, segala apa jua mereka kembalikan kepada Allah dan akan mencintai apa jua takdir Allah yang berlaku terhadap mereka.

Mereka akan banyak tersenyum dalam kehidupan apabila melihat semuanya bagaikan ‘gurauan’ Allah padanya. Manusia yang sebenar kaya dan bahagia ialah apabila hati mereka tiada tersangkut kepada makhluk, dunia, nafsu dan bisikan syaitan.

Mereka mematikan perasaan dalam lautan tauhid dengan membina jiwa di atas sifat redha, sabar, syukur, qanaah, ikhlas, tawadhu dan tawakal. Apabila sifat-sifat ini subur dan tumbuh dalam jiwa mereka, mereka menjalani kehidupan ini dengan santai dan gembira dengan izin Allah. Mereka tak tahu untuk merungut malah akan bertaubat jika datang perasaan tersebut.

Manusia akan miskin apabila jiwa berada dalam EMPAT perkara iaitu;

  • Dunia
  • Makhluk
  • Syaitan
  • Nafsu ammarah

Hidup mereka akan sentiasa memikirkan hal kehidupan dunia, perasaan dan pandangan manusia, bisikan syaitan yang mengajak kepada syirik dan menghembuskan dengki, dendam, kemarahan, kebencian dan kesombongan, nafsu yang jahat yang tiada mahu redha, patuh, syukur dan cinta kepada Allah.

Rasulullah SAW datang mengajar kita agar memburu kekayaaan yang hakiki dengan tauhid dan makrifat kepada Allah serta hidup berkasih sayang. Dengan makrifat yang kukuh, manusia itu dapat menguruskan perasaannya dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi. Cinta dan makrifat kepada Allah membawa jiwanya terbang ke alam lahut, mereka bebas dari kesempitan dan keterikatan jiwa dengan dunia, makhluk, syaitan dan nafsu.

Ramai manusia mengambil jalan membunuh diri kerana merasakan kematian akan membebaskan mereka dari segala kesengsaraan ini, walhal jalan yang terbaik ialah membunuh jiwa kehidupan ini menuju Allah.

Perjalanan mematikan diri kamu sebelum kamu mati yakni jiwa kita sudah mati dengan dunia, tiada apa yang kita kehendaki di dunia ini melainkan mencari cinta dan redha Allah.

Jalan kematian jiwa ini diperolehi dengan faham tentang nafi dan isbat dan matikan diri dalam nafi dan isbat, banyakkan tenggelam diri kepada Allah dengan banyakkan zikir samada lisan atau khafi, tafakur yang mendalam, solat yang khusyu’ dan sentiasa syuhud kepada Allah. Yakni, kehidupan yang tiada mahu terlalu difikirkan dan berbimbang dengannya.

Wallahu a’lam

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s