Sejak mula menyimpan Emas, seringkali saya memerhatikan naik turun harganya. Malah, di awal menyimpan dulu, selalu juga hati saya terdetik kenapa tidak membeli pada hari tertentu kerana ianya lebih murah. Namun, setelah sekian waktu malah harganya melambung jauh lebih tinggi.
Masa terbaik membeli emas adalah ketika kita mempunyai wang lebihan di tangan. Sebelum ianya dirampas dengan rakus oleh nafsu berbelanja dan inflasi, baik saya selamatkan dahulu wang hasil keringat saya.
Kerana itu saya tidak percaya tentang jangkaan harga. Target saya hanyalah berapa gram emas yang telah terkumpul dan bukannya sejumlah angka yang besar di dalam bank.
Jangkaan harga emas naik sehingga RM503 per gram pada 2020 pada saya ianya tidak mustahil untuk di capai. Jujurnya, saya masih kurang percaya kerana ianya bersifat spekulasi. Sepatutnya kita jangan hanya melihat potensi keuntungan setelah membaca keratan akhbar tersebut tanpa memikirkan risiko kerugian kerana ianya pasti ada.
Jika benar-benar harga emas naik sehingga RM503 per gram sekalipun, ia bukan sesuatu berita gembira bagi saya kerana selalunya harga emas naik apabila keadaan ekonomi dunia atau dalam negara tidak menentu, seperti ringgit yang jatuh mendadak tahun 2015 yang lalu.
Umum mengetahui apabila ekonomi tidak menentu, para pelabur akan selamatkan kekayaan mereka kepada emas sebab ia dianggap sebagai ‘Safe Heaven Asset’. Dan setelah ekonomi kembali pulih, pelabur akan tinggalkan emas dan masuk semula ke pasaran lain seperti saham.
Pada pandangan saya, turun naik nya harga emas ini berkait rapat dengan matawang fiat juga. Emas terbukti sejak berzaman sebagai penyimpan nilai paling ampuh dalam sejarah manusia, sedangkan duit kertas terbukti gagal dalam menyimpan nilai.
Sampai waktu, duit kertas pasti akan berakhir dengan keadaan tidak bernilai sedangkan emas adalah satu-satunya aset yang tidak akan hilang nilainya dalam apa situasi ekonomi dan politik.
Biarpun hanya menjadi serbuk, nilainya tetap diakui hingga ke akhir hayat !