Tujuh Puluh Tiga Pintu… Tujuh Puluh Tiga Jalan… Yang Sampai Hanya Satu Jalan
Sebuah hadith Rasulullah SAW menyebutkan tentang umat Islam yang terpecah kepada 73 golongan dan daripada kesemua ini hanya satu golongan yang terselamat dari seksaan neraka iaitu golongan (jemaah) yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sahabatnya.
Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah. (Sunan Abu Daud no 4429)
Maknanya,yang sampai itu bermaksud yang selamat. Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti manhaj Rasulullah dan para sahabat atau dikenali sebagai ahlus Sunnah wal jamaah.
Ribu-Ribu Margastua… Mencari Raja Si Muraq… Yang Sampai Hanya Tiga Puluh
Rangkap ini diambil daripada syair Parsi iaitu Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar. Kitab itu berisi pengalaman kerohanian yang pernah dilaluinya untuk mencari makna dan hakikat hidup. Beliau menuangkan pengalamannya itu melalui ungkapan sebuah cerita perjalanan sekawanan burung agar lebih mudah dimengertikan.
Dengan gaya bertutur, kitab itu mengisahkan perjalanan sekawanan burung untuk mencari raja burung yang disebut sebagai Simurgh (Muraq) di puncak Gunung Kaf yang agung. Sebelum menempuh perjalanan, maka berkumpulah segala burung di dunia untuk bermusyawarah. Tujuan mereka hanya satu yakni mencari sang raja.
Dalam perjalanan itu, para burung dipimpin oleh burung Hud-Hud. Sungguh, bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut kerana mereka perlu mengharungi 7 lembah iaitu;
- Lembah Pertama – Merupakan lembah keinginan. Di sini semua burung diminta bertaubat dan meninggalkan kehendak duniawi.
- Lembah Kedua – Merupakan lembah kerinduan di mana semua burung perlu menyelami lautan api agar tubuh mereka terbakar.
- Lembah Ketiga – Merupakan lembah makrifat. Di sini semua burung harus memilih jalan sendiri lantaran terlalu banyak jalan menuju yang satu, dan setiap satu disediakan bagi jiwa yang sesuai dengannya.
- Lembah Keempat – Merupakan lembah kepuasan yang mana semua tuntutan dan semua nafsu duniawi harus ditanggalkan dari hati.
- Lembah Kelima – Merupakan lembah kesatuan, yang banyak menjadi satu.
- Lembah Keenam – Merupakan lembah kekaguman. Tatkala itu burung-burung tersebut sangat keletihan dan kebingungan, menembusi hijab berpasang-pasangan, dan mendapati jiwa mereka kosong. Hinggakan mereka menangisi; “Aku tidak mampu berfikir lagi lantaran ghaibnya segala ilmu dari diriku. Daku curiga atas kecurigaanku ini. Namun rasa curiga itu sendiri pun daku tidak pasti. Aku mendambakan, tetapi siapakah yang sebenarnya aku dambakan?”
- Lembah Ketujuh – Merupakan lembah kefakiran dan fana, di mana segala sifat keakuan ditanggalkan dari diri mereka, mereka dipakaikan dengan jubah ketidaksedaran, menyebabkan mereka hanya meneguk ruh kewujudan.
Tatkala mereka berjaya mengharungi kesemua tujuh lembah tersebut, meruntuhkan gunung keakuan dan menanggalkan kecintaan terhadap segala ilmu, barulah mereka dibenarkan meneruskan perjalanan bertemu Raja Si Muraq.
Dari beribu-ribu ekor burung yang memulakan perjalanan, hanya tiga puluh sahaja yang berjaya mengharungi segala payah jerih tersebut. Dengan kepenatan yang tidak terhingga, dengan perasaan kehinaan yang tidak terkata, mereka dibawa berjumpa dengan raja segala burung.
Hakikat dipengakhirannya, apa yang mereka temui bukan raja segala burung tetapi, refleksi diri mereka sendiri dalam cermin diri!
Si Muraq ataupun Sirmuragh, adalah perkataan Parsi yang bermaksud tiga puluh ekor burung. Dalam mengharungi perjalanan yang panjang dan segala payah jerih, sebenarnya mereka mencari ‘diri sebenar mereka sendiri’.
Tujuh lembah itu adalah simbolik kepada tujuh tingkatan nafsu yang perlu dilepasi manusia sehingga rohnya benar-beanr mengenal Allah. Namun kemuncak kepada makrifat itu ialah tidak mengenal. Kerana zat Allah yang dicari tiada rupa, tiada bentuk, tiada bersudut dan bersegi, tiada tertakluk dalam ruang,tempat dan masa serta tiada tertakluk di luarnya pula.
Yakinlah diri bahawa akal tidak dapat mencapai zat Allah. Akhirnya dia mengenal Allah melalui dirinya sendiri. Ketahuilah, langkah untuk mengenal Allah ialah mengenal diri terlebih dahulu. Diri kita tidak lain adalah ayat-ayat Allah untuk menunjukkan diriNya.
Pada diri kita Dia menunjukkan sifatNya, asmaNya dan perbuatanNya!
Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (Surah Adz-Dzaariyaat : Ayat 21)
Oohh… Sang Algojo… Oohh… Nanti Dulu
Itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Atau dengan perkataan lain tukang pancung kepala di dalam bilik hukuman. Tetapi hakikat sebenar, yang ditugaskan mengambil nyawa itu adalah malaikat maut. Andainya dia tiba dan mahu menjalankan tugas, tidak akan dipercepatkan sesaat dan tidak pula diperlambatkan sedetik.
Lihat Dunia Dari Mata Burung… Atau Lihat Dari Dalam Tempurung… Yang Mana Satu Engkau Pilih
Dua rangkap yang atas adalah jelas dan terang, menyuruh kita berfikir antara melihat dari mata burung yakni dengan berpandangan jauh atau sekadar mahu melihat seperti katak di bawah tempurung, hanya melihat tempurung dan diri sendiri. Melihat jauh adalah kehidupannya di akhirat, memandang dalam tempurung ialah kerisauannya hanyalah mengenai kehidupan di dunia ini sahaja. Astagfirullah
Dalam Kalut Ada Peraturan… Peraturan Mencipta Kekalutan… Di Mana Pula Kau Berdiri… Di Sini
Disingkap kembali sejarah Rasullullah membawa cahaya pada zaman jahiliah. Rasullullah mengajarkan Islam pada masyarakat yang jahil. Maka dalam keadaan jahil itu wujudlah satu sistem yang sempurna. Namun dunia kini sudah jauh berubah, sistem yang sempurna itu sudah tidak diguna pakai. Tempatnya diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan, terkadang itu banyak kontroversi berlaku dan kita berada ‘di sini’!
Semasa kekalutan jahiliyah, peraturan Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah mengubah keadaan masyarakat. Namun setelah peraturan tersebut dirubah, ia mengundang kekalutan. Dan di mana kita berada? Ya, ‘di sini’, di dunia yang penuh kalut ini.
Oohh… Sang Algojo… oohh… Nanti Dulu… Berikan Aku Kesempatan Akhir Ini… Untuk Menyatakan Kalimah / Kisah Sebenarnya… Berikan Aku Kesempatan Akhir Ini… Lai Lai Lai Lai Lai Lai
Tibanya masa, rayuan tidak akan diberikan. Waktu bertaubat telahpun tamat. Segalanya telah terlambat jika secara tiba-tiba malaikat maut menjengah untuk merentap jasad dan nyawa. Samada diri telah bersedia atau sebaliknya.
Tanya Sama Itu Hud-Hud… Lang Mensilang Kui MengSikui… Kerana Dia Yang Terbangkan Aku Ke Mari
Oleh kerana burung Hud-Hud yang mendakwa bahawa raja si Muraq itu wujud dan menerbangkan kawanan burung ke tempat yang dituju, ‘Lang Mensilang Kui Mengsikui‘ yang maksudnya orang tidak semacam orang , jin tidak semacam jin.
‘Jin’ yang dimaksudkan di sini ialah alam ghaib manakala ‘orang’ yang dimaksudkan pula ialah alam zahir. Itulah ‘roh’ manusia dan roh itulah diri manusia sebenarnya.
Ia diterbangkan dari alam arwah ke alam dunia lalu menjadikan jasad manusia sebagai tunggangan sementara dalam perjalanan kembali ke alam barzakh. Roh itulah yang perlu disuci dan dibersihkan ketika di dunia, yang perlu dikembalikan pada kedudukan asalnya iaitu bermakrifat kepada Allah seperti di alam arwah dahulu.
Dia perlu mengenal dirinya semula, dari mana asalnya, mengapa dia di sini dan ke mana destinasinya selepas ini!
Kerana mengenal diri adalah anak tangga kepada mengenal Allah. Roh merupakan hakikat dirinya. Manakala jasad akan menjadi milik ulat-ulat dalam kubur dan menjadi habuan tanah. Manakala roh itu berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Dan akan kembali kepada Allah di akhirat untuk ditanyakan pelaksanaan amanah perjanjian Alastu Birobbikum ketika di alam arwah dahulu semasa perjalanannya di dunia sementara ini sebagai tempat ujian baginya.
Wallahu a’lam