Wahai Diriku, Bangkit Kembali Atas Izin-Nya !

Wahai Diriku,
Ada ketika, pelbagai perkara yang tidak dijangka berlaku mengubah kehidupan dirimu sekelip mata. Tidak mustahil segala apa yang membahagiakan dirimu di hari ini akan hilang dikeesokkan hari samada engkau suka atau berduka.

Wahai Diriku,
Tatkala dirimu kecundang lemah tidak berdaya akan segala apa yang berlaku dalam kehidupanmu namun selagi dirimu bernyawa, engkau masih diberikan peluang oleh Allah Yang Maha Besar untuk bermuhasabah dan memikirkan kembali apakah solusi terbaik untuk keluar dari kepompong tersebut.

Engkau tidak akan pernah tenang dengan mengelakkan kehidupan yang dilalui. Hidup ini sentiasa berputar di luar jangkaanmu setiap saat dan engkau harus sedar bahawa tidak perlu adanya penyesalan dalam pilihan, walau pilihan itu kemudiannya nanti menyebabkan dirimu terluka. Yang ada cuma hikmah dan pengajaran di atas pilihan yang telah dibuat olehmu yang mana, ianya perlu dicari apabila dirimu kecewa. Oleh itu, daripada engkau cuba mengelakkan ia, maka lebih baik agar dirimu mengambil setiap peluang yang ditawarkan dan alami cabaran itu agar dirimu semakin matang dan jiwa menjadi kental.

Bersabarlah kerana akan dirimu dapatkan 2 perkara di hujungnya samada; segala yang diidamkan dimakbulkan Allah Yang Maha Pemberi atau, pengajaran buatmu agar mengetahui apa yang lebih baik menanti pada langkah seterusnya iaitu;

  • Sentiasa ingat kepada Allah bahawa DIA sentiasa memberikan sesuatu yang terbaik buat setiap para Hamba-Nya.
  • Jika di takdirkan keadaan kini menyukarkan, insya-Allah sinar harapan terbentang luas di masa hadapan.

Bukan beban masalah yang melemahkan dirimu, tetapi ia berkenaan bagaimana engkau menghadapinya. Ya, engkau bisa sahaja menggunakan kesakitan, kekecewaan dan ketidakselesaan itu sebagai jalan memotivasikan berbanding menganggap ia sebagai perkara yang menyakitkan hati. Dirimu sebenarnya yang mengawal bagaimana untuk melihat kehidupan tersebut. Pelbagai perkara indah pasti akan hadir jika, dirimu menjarakkan diri daripada pemikiran negatif.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ma’afkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Al Baqarah – Ayat 286)

Benar, ia bukannya mudah. Pasti akan ada kesusahan berterusan yang perlu ditempuhi olehmu. Tetapi, hidupmu terlalu singkat untuk berperang dengan dirimu sendiri. Sentiasalah melatih mindamu untuk melihat kebaikan di dalam setiap perkara dan melangkahlah dengan hati yang redha dan pasrah. Di hadapanmu, ada cinta dan peluang terbaik yang perlu engkau cari, hargai, dan perbaiki.

Tidak dinafikan, terlalu banyak perkara di masa silam mu yang tidak dapat dihapuskan dengan waktu. Biarkan sahaja dan jangan putus doamu selagi masa dan Allah mengizinkan.

Wahai Diriku,

  • Di Saat Engkau Rendah Hati – Allah tinggikan darjatmu tanpa engkau meminta.
  • Di Saat Engkau Kecewa – Allah sedang mengajarmu bahawa harapan terbaik hanya pada-Nya.
  • Di Saat Engkau Di Sakiti– Allah sedang melatih hatimu untuk menjadi lebih kuat dan memiliki sifat sebagai seorang yang pemaaf.
  • Di Saat Engkau Di Sabar – Malaikat sedang menulis pahala tanpa batas, satu demi persatu buatmu.
  • Di Saat Engkau Bersyukur – Allah tambahkan nikmat bahkan, tidak engkau menyedarinya.
  • Di Saat Engkau Lelah – Allah sedang mengundangmu untuk beristirehat di dalam kekusyukan berdoa memohon dari-Nya.
  • Di Saat Engkau Diuji – Allah sedang menghapus dosamu satu persatu.
  • Dan Di Saat Engkau Kembali Kepada-Nya – Allah menyambutmu dengan memayungi rahmat berserta kasih dan sayang-Nya.

Wahai Diriku Yang Bahagia,
Tatkala dirimu lemah tidak berdaya malah cabaran kehidupan di dunia sementara ini terus menekan dirimu hingga jatuh tersungkur sekalipun maka, bangkitlah.

Bangkit dengan penuh semangat dan ucapkanlah kalimah suci dengan sepenuh hati…. Allahu Akbar!

Hanya pada-Nya kita berserah diri dan kepada-Nya jualah kita memohon perlindungan.

Jika perkara terpenting di dalam kehidupanmu ketika ini adalah meneruskan hidup, maka apa-apa sahaja pekerjaan dan kegiatan yang engkau lakukan, semata-mata tertumpu untuk menghiasi dan memuaskan hidup. Dalam erti kata yang lain, mengumpul harta untuk meneruskan kehidupan, astagfirullah.

Hidup bukanlah perkara terpenting. Bahagian terpenting dalam hidup kita, semestinya adalah menyediakan bekalan untuk kehidupan yang Abadi kelak iaitu kehidupan setelah kematian. Hakikat kehidupan yang sebenar bermula ketika hembusan nafas yang terakhir. Benar, tidak dinafikan meneruskan kelangsungan hidup itu jua sememangnya penting.

Tetapi,
Pengertian hidup itu jauh lebih penting!

Hidup yang bermakna adalah hidup yang mampu memberikan manfaat kepada insan lain ketika deru nafas, gerak langkah kita bersatu dalam pengabdian kepada “Pemberi Kehidupan”. Semua aspek hidup dijadikan medium untuk meraih redha-Nya tidak terkecuali dari sudut ekonomi dan kewangan (fahami konsep Kaya itu Mulia). Ketika satu sama lain saling membantu, yang kuat menolong yang lemah, semangat yang memberikan makna hidup juga kembali bersinar, insya-Allah.

Demi Zat Yang Maha Agung,
Segala-galanya adalah Indah buat mereka yang sentiasa bersyukur atas pemberian Yang Maha Esa.

Semoga dirimu tumbuh menjadi insan dan Hamba-Nya yang mempunyai keperibadian yang kental serta beriman sepenuhnya kepada ilahi, Allahumma Aameen.

DIRIMU – Muhammad Yuhailmy
Dan semurni Kasih-Nya yang meliputi segala sesuatu.

One thought on “Wahai Diriku, Bangkit Kembali Atas Izin-Nya !

  1. Terima kasih untuk perkongsian yang diberi. Kadang-kaang takdir membuatkan kita lelah dan dalam pada masa yang sama penat untuk bangkit kembali. Namun, mengenangkan Allah tidak suka orang yang berputus ada dan mahu hamba-Nya sentiasa bersangka baik, hati kena dipujuk untuk terus kuat..

    Like

Leave a reply to Alfi Cancel reply