Teringat alkisah sewaktu melawat Politeknik Ungku Omar (PUO) baru-baru ini. Saya sempat bersembang dengan 3 anak muda yang mengikuti Pengajian Diploma Kejuruteraan Awam.
Pelbagai persoalan juga saya utarakan akan perkembangan semasa PUO. Kesemua dari mereka ketika ini berada di dalam Semester Ke-4 dan insya-Allah Semester Ke-6 nanti mereka akan mengikuti latihan industri selama kurang lebih 6 bulan dan jika bernasib baik, diserap terus untuk menjadi pekerja.
Di zaman saya, Semester Ke-4 ini adalah Semester di mana kami pelajar Diploma mengikuti Latihan Industri dan setelah selesai, kembali semula ke PUO untuk menghabiskan baki pengajian selama setahun serta menduduki peperiksaan akhir sebelum memasuki alam pekerjaan. Pada saya secara peribadi, generasi baru ini amat beruntung berbanding generasi saya.
Manakan tidak, kembali semula ke PUO untuk meneruskan pengajian setelah bekerja selama 6 bulan ada waktu melemahkan semangat juga. Belum lagi ceritanya pelbagai ilmu/teori banyak yang telah dilupai selama 6 bulan dan perlu di ‘asah’ kembali terutamanya melibatkan pelbagai formula pengiraan berkaitan physic dan Mathematics.
Dalam rancak bersembang, kesemua mereka memanggil saya ‘ABANG‘ sehinggakan ‘Permaisuri Hati‘ saya menjeling mesra…. ![]()
Saya khabarkan kepada mereka bahawa saya kini tidak layak di panggil Abang. Seharusnya kalian memanggil saya ‘PAKCIK‘ atas faktor usia. Sewaktu saya memulakan pengajian, kalian masih lagi meminum susu botol dan memakai pampers. Tersenyum semua yang mendengarnya…..![]()
Untuk pengetahuan, saya bergelar pelajar PUO pada usia 21 tahun dan tamat pengajian di dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik pada usia 24 tahun. Ya, saya terlewat memasuki Pusat Pengajian Tinggi ini kerana setelah tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) di dalam Jurusan Elektrik, saya mengikuti Sijil Kejuruteraan Elektrik di Institut Latihan Perindustrian Kuala-Lumpur selama 2 tahun serta berjaya mendapatkan Kompentesi sebagai Pendawai Elektrik dari Jabatan Bekalan Elektrik (JBE) ketika itu yang kini telah berubah namanya kepada Suruhanjaya Tenaga. Sempat juga saya bekerja sebagai Electrician selama setahun di salah sebuah hotel di Selangor setelah itu dan dalam masa yang sama, melengkapkan diri untuk menduduki peperiksaan menjadi seorang ChargeMan.
Namun,
Demi memenuhi hasrat Ayahanda saya untuk saya lebih berdaya saing dalam usaha memajukan diri, saya sahut tawaran yang diberikan oleh pihak Politeknik walaupun kursus yang ditawarkan bukan menjadi pilihan hati sebagai cabaran buat saya.
Perbezaan yang amat ketara dari aliran Elektrik Kuasa kepada Elektronik. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui betapa saya struggle sepanjang pengajian. Alhamdulillah, keputusan yang saya dapati setiap Semester amat cemerlang pada saya walaupun sibuk dengan pelbagai jawatan dan tanggungjawab yang saya pegang samada Persatuan mahupun sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di peringkat Jabatan dan Pusat sejak Semester Ke-2 hingga tamat pengajian.
Sebelum pulang, sempat juga saya titipkan pesanan buat anak-anak muda tadi agar belajar sebaik mungkin dan semoga berjaya dengan penuh cemerlang di dalam jurusan yang diambilnya, Allahumma Aameen.
Buat para Graduan dan Alumni PUO di serata pelusuk dunia, sesungguhnya anda adalah insan yang sangat istimewa!
Ayuh sebarkan keupayaan, kekuatan, pengalaman dan ilmu yang ada untuk menyuburkan bumi anugerah ilahi ini sebagai bekalan utama untuk kita ‘ke sana’, insya-Allah.
Kekuatan dan Keamanan Melalui Teknologi!
Yuhailmy Jamil | 013DEE99 | Diploma in Electronic Engineering
