Coretan Dhuha Yang Terindah

Disebalik sesuatu kejayaan mahupun aturan kehidupan, pasti ianya bermula dari dorongan yang kuat samada melalui pengalaman peribadi, kisah inspirasi dari pelbagai manusia hebat, mahupun seseorang berhati mulia yang ingin kita berada di landasan yang tepat demi menggapai kejayaan di masa mendatang.

Buat saya secara peribadi,
Ayahanda adalah pemangkin kepada kejayaan yang saya kecapi ketika ini atas izin-Nya.

Sejak muda, ayah terapkan kepada saya tentang 2 perkara;

▪️JIKA BEKERJA, PASTIKAN JUJUR DAN BERTUGAS SEBAIK MUNGKIN.

Pekerjaan yang kita lakukan ketika ini adalah satu amanah juga ibadah bagi yang mengerti. Apa yang saya lakukan bukan mengharapkan imbuhan berganda tetapi keberkatan dari Allah. Ada waktu, tugasan yang diterima amat menduga hati, akal dan perasaan juga mengambil masa di luar waktu bekerja namun, itulah nikmatnya yang dirasai setelah tugasan disiapkan.

Jujur,
Segalanya adalah ujian buat kita sebenarnya. Adakah kita melaksanakan tugasan itu seperti yang diharapkan oleh pihak syarikat sebaik mungkin?

Ingat,
What is the meaning of ‘Principle Angle’?

Malaikat mencatat dan Allah Maha Melihat‼️

Sejak dahulu saya sematkan dalam diri;

“…. Kerja sebaik dan sehabis mungkin sehingga seseorang membencimu ataupun syarikat tidak lagi memerlukan dirimu….”

Kerana itu saya tidak khuatir sama sekali jika saya kecundang di tengah jalan (diberhentikan kerja) kerana saya tahu bahawa saya telah memberikan sesuatu yang terbaik dan, kemenangan akhir tetap saya raih di penghujungnya.

Buat yang berkelapangan, anda boleh membaca artikel di Blog kendalian saya di mana, pelbagai luahan diterbitkan dari hati sebagai perkongsian; Sinar Cahaya di Penghujung Langkah

Kata pada hati,
Mengapa perlu takut dan khuatir akan sesuatu jika diri BERIMAN kepada Tuhan Yang Maha Kaya?

Minta dari-Nya dan insya-Allah dimakbulkan walaupun mengambil waktu mahupun digantikan dengan sesuatu yang lebih baik dari yang kita inginkan. Tidak bermakna dikurniakan serta merta namun pasti, akan diberikan pada waktu yang tepat.

▪️SIMPAN WANG, JANGAN MEMBELI SESUATU YANG TIDAK MENGUNTUNGKAN DAN SELESAIKAN HUTANG.

‘Bebelan’ ini bukan hanya telinga saya yang mendengarnya saban waktu malah, turut dirasai oleh adik beradik saya. Ada waktu, perit sehinggakan terasa panas membahang dan seolah-olah mengalirnya darah dari lubang telinga…..😁

Ya,
Ayahanda meluahkan demi kebaikan anak-anaknya berdasarkan pengalaman yang ada dan saya mengakui keberhasilannya.

Walaupun saya di ‘asak’ bertubi-tubi olehnya, ia sebenarnya merupakan sebuah dorongan yang amat besar untuk saya restructure kewangan saya dan Alhamdulillah, pada usia 41 tahun saya telah mencapai ‘Financial Freedom’ atas izin Allah.

Hidup umpama roda yang berputar!
Saya turut merasai pahit getir suatu masa dahulu bersama isteri yang mana kami sukar melelapkan mata di malam hari tatkala dihimpit dengan hutang dari beberapa buah bank. Hampir setiap hari kami menerima panggilan bagi tujuan melunaskan baki tunggakan yang membuatkan saya hampir berputus asa.

Jumlahnya bukan sedikit dan wang itu boleh membeli sebuah rumah pada ketika itu. Di saat muram berduka, secara diam mengalir airmata saya melihat isteri dan Anakanda pertama kami yang bernama Adam yang ketika itu masih kecil akan apalah nasib buat mereka di kemudian hari.

Alhamdulillah,
Saya mendapat solusi terbaik dan keluar dari ‘kepompong’ yang mencengkam itu setelah hampir 5 tahun berikutnya (Biiznillah).

Hutang,
Ayahanda amat tidak suka saya melengahkannya dan sehabis mungkin beliau mahu saya membayar lebih dari komitmen bulanan yang telah diselaraskan oleh pihak bank. Biar agar cepat melunaskannya.

Masih saya ingat,
Setiap Muslim pasti mempunyai impian dan usaha untuk mengerjakan Ibadah Haji bukan?

Setelah lama menunggu panggilan Haji buat saya dan isteri namun, masih belum ada tanda-tandanya, Ayahanda berkata;

“Selesaikan dahulu segala hutang dunia. Pasti Allah memanggilmu malah, pintu rezeki akan terbentang luas setelah itu!”

Masya-Allah,
Berkat tindakan yang dilakukan, Saya dan Isteri menjadi Duyufurrahman pada tahun 2022 dan yang mengujakan, tahun itu juga merupakan ‘Haji Akbar’.

Maha Suci Allah,
Sungguh, ianya adalah ANUGERAH TERINDAH.

Wahai diriku,
Benar, rezeki itu telah tertulis buat dirimu di saat engkau berada dalam kandungan Bondamu.

Namun,
Kasih dan rahmat Allah tidak terhitung buat para hambaNya. Sentiasa bersyukur dan memujiNya, ikuti perintah-Nya, dan beriman sepenuhnya. Segala perbendaharaan di alam ini adalah milikNya.

Allah Maha Kaya cuma dirimu yang MISKIN meminta!

Saudaraku sekalian yang ada,
Mohon doanya dari semua buat Ayahanda Jamil Bin Ali agar terus dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa di dalam rahmat serta perlindungan Yang Maha Esa. Allahumma Ameen.


Muhammad Yuhailmy
Penerus Legasi

Leave a comment