Apabila berjumpa dan duduk di hadapan Paksu Mid ini, hati secara tidak langsung merasa gementar, timbul segala perasaan hormat, segan, malu dan rasa hina. Walhal Paksu Mid bukannya orang besar, bukan seorang Menteri, bukan orang gagah malah berpengaruh.
Tetapi mengapa terbitnya perasaan itu? Jangankan berhadapan dengannya malah sewaktu menuju ke rumahnya pun diri merasa gementar.
Paksu Mid ini tidak pernah mengaku sebagai ulama besar, seorang yang alim malah seorang Wali Allah. Dia hanyalah mengatakan bahawa dirinya cuma seorang yang tua dan uzur . Tetapi, mengapa kebanyakan orang segan pada beliau? Pada pandangan saya, salah satu sebabnya sudah tentu hati kita ini kotor dan banyak dosa.
Perasaan malu itu wujud kerana kita berhadapan dengan orang yang soleh. Dari zaman mudanya beliau khatam Al Quran setiap 3 hari dan semakin lanjut usia kini, beliau masih mampu untuk khatam Al Quran dalam masa 5 hari. Allahu, dalam ibadah puasanya, tidak pernah berhenti dalam waktu 40 tahun berpuasa setiap hari kecuali Aidilfitri, Aidiladha dan 3 hari tasyrik.
Tidak mampu kita menahan malu setelah mendengar insan hebat ini hanya sahur dan berbuka puasa dengan secawan nasi dan sebiji telur. Gementaran hati kita itu hadir kerana perasaan malu dan hormat setelah berhadapan dengan hamba-Nya yang sangat soleh dan bersih hatinya.
Bayangkan, hanya dengan berhadapan dengan hamba-Nya yang soleh gementar dan malu perasaan hati, bagaimana pula tatkala diri berhadapan Allah di akhirat kelak?
Mengapa tiadanya perasaan malu berbuat dosa dan maksiat saban hari ketika hidup di dunia ini samada sedar mahupun tidak sedangkan kita yakin dan mengerti bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui akan para hamba-Nya?
Saya berpesan kepada diri saya khususnya bahawa, carilah seramai teman dan sahabat yang dapat mengingati kita kepada Allah dan raul-Nya. Dampingilah para ahli ibadah, ahli zikir, ahli selawat dan mereka yang istiqamah melakukan amal soleh. Sungguh, hati kita adalah tempat di mana Allah memandang dan menilai kita.
Perbanyakkan solat taubat, membaca Al Quran, zikir dan selawat juga bersihkan hati ini agar sampai waktu, dapat kita berkumpul bersama Baginda Rasullah SAW dan para hamba-Nya yang soleh. Allahumma Amen
Pesan Paksu Mid, “Kita sebagai manusia ini sebenarnya seumpama pokok, pada pokok itu, akar lah paling penting. Segala apa yang terjadi walau hujan, ribut taufan malah kemarau panas sekalipun, maka akar lah penentu keadaan pokok tersebut.”
Wallahu a’lam