Jalan Pencarian Tuhan

Para penguasa / pemimpin / sultan / pemerintah / raja di waktu silam sentiasa merujuk kepada Guru Rohani mereka. Sepertimana Sultan Muhammad al-Fateh yang sentiasa merujuk Sheikh Aaq Syamsuddin, sepertimana Sultan Zainal Abidin III merujuk Tokku Paloh dan ramai lagi.

Mereka tidak membuat keputusan terburu-buru sebaliknya akan merujuk dahulu kepada guru rohani mereka. Seorang pemimpin sebuah kerajaan mahupun wilayah terdahulu, tidak mudah akur dan tunduk kepada musuh-musuh Islam, dan jauh sekali menjadi boneka Yahudi dan Nasrani sepertimana yang kita lihat hari ini ada jua pemimpin Islam yang tunduk dan berkiblatkan barat.

Alasannya hendak menjaga hubungan, ekonomi dan sebagainya kerana mereka kuasa besar!

Cuba renung kembali tatkala kerajaan-kerajaan Islam masih lagi kecil, adakah mereka tunduk kepada kuasa-kuasa besar seperti Romawi? Jika mereka tunduk tidaklah terjadinya perang Yarmuk, Mutah dan penaklukan Constantinople serta Andalusia.

Jika kita mengkaji dan membaca sejarah sultan di alam Melayu terdahulu, mereka pasti mempunyai seorang guru yang lebih kepada pembersihan hati dan mengenal Tuhan. Mufti, Imam dan Kadi dahulu kebanyakan di antara mereka adalah para ulama tasawuf atau hakikat yang membawa ajaran Tarikat. Mereka bukan sahaja arif malah alim dalam ilmu fiqh dan banyak lagi. Tetapi hari ini kebanyakannya hanya menekankan syariat dan soal Hakikat dikatakan sesat. Sedangkan keduanya adalah sama penting.

Guru Rohani ataupun Mursyid sangatlah diperlukan bukan sahaja bagi seorang pemerintah, tetapi juga bagi kita semua umat Islam. Jangan sia-siakan usia kita tanpa mencari guru pembimbing rohani. Cuba fikir kembali tujuan kita hidup dimuka bumi ini.

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian! Manusia yang ‘mati’ hatinya akan tetap tinggal dalam kerugian, kebodohan, kemusyriqan dan kekufuran.

Kesempurnaan ilmunya hanya merupa kejahilan akan Tuhannya. Kita harus mengakui bahawa diri ini tidak mengetahui sehingga Tuhan menurunkan hidayah kepada kita. Andainya kita mengupayakan mendapat ilmu secara sendirian, di akhir perjalanan yang amat panjang, kita tetap akan keliru tentang matlamat sebenar diri ini. Di antara mencari dan menemui adalah terlebih baik menemui dan mencari.

Manusia itu juga adalah dinobat sebagai Khalifah Allah. Kendati pun, andai manusia itu mengetahui dan memahami RAHSIA disebalik ciptaannya, RAHSIA keberadaan dirinya, sosok RAHSIA hatinya (Qalbu) yang meyelubungi dimensi ketuhanan, pastinya setiap manusia itu akan diterjah kesedaran dan penyesalan tanpa hentian. Pasti, juraian air mata akan mengiringi setiap helaan nafasnya.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar : Ayat 9)

Al insaanu sirri wa anaa sirrahu wa sirri sifaati wa sifaatii laghairi’’
Insan itu rahsiaKu dan Akulah rahsianya dan rahsia itu sifatKu dan sifatKu itu tiada lain daripada Aku.

Nah!

Kita tidak perlu bertemu Usthum (ada yang menyatakan namanya sebagai Ashif Bin Barkhiya) untuk menerbangkan Istana Balqis namun, kita amat perlu menemukan seorang pembimbing rohani. Melaluinya, kita akan dapat terbang menjulang, membumbung dan memuncak kehadrat Sang Maha Kekasih, Sang Maha Pencipta, Allah Azza Wajalla, sekaligus merongkai RAHSIA besar yang menyelimuti kewujudan kita.

Di atas keberhasilan tindakan ini sahajalah sebenarnya terletak keselamatan diri kita dan tiada selain darinya.

Setiap Muslim mukallaf adalah diwajibkan mengorak langkah sempena fitrahnya, bangkit dan membuat perjalanan mencari seorang pembimbing rohani atau Guru Mursyid bagi mengajar, membimbing dan menitipnya menjurus di atas jalan Tarikat Sufiyyah, sehingga sampai keHadrat Allah.

Pencarian Mursyid ini janganlah disamakan dengan mencari guru-guru yang ajaran ilmunya bersifat ilmiah/akademik seperti yang terdapat di institusi-institusi pendidikan negara, tetapi Guru Mursyid menuntun murid-muridnya ke jalan ukhrawi dan kerohanian semata.

Menurut tokoh-tokoh tersohor Tarikat Tasawuf, seseorang harus mencari dan menemui seorang Mursyid bagi memulakan perjalanan suluknya dengan melakukan upacara pertama dan yang terpenting, yakni, taubat sebenarnya (Nasuha) kerana taubat adalah langkah pertama bagi menemui/mengenal Allah.

Bagaimana untuk kita mengenal guru mursyid?

Ciri-ciri terpenting yang dimiliki oleh seorang Mursyid itu adalah seperti berikut;

  1. Sempurna Maqom kerohaniannya; yakni, berpengalaman luas dalam seluruh aspek kerohanian Tarikat Sufiyyah dan telah mencapai maqom kedekatan, keintiman, kesatuan dan kesempurnaan dengan Sifat Jalaal dan Jamaal ketuhanan.
  2. Beliau seharusnya seorang DOKTOR ROHANI, mahir dalam selok-belok ‘perubatan’ bagi merawat serba-ragam penyakit rohani yang dihidapi oleh muridnya, yang dengan beliau itu murid mencari kesembuhan dan mendapat kesejahteraan di akhir perjalanan rohani serta pencariannya.
  3. Sebaiknya Mursyid itu seorang yang ‘buta’; dan murid pun seorang yang ‘buta’ pula. Guru Mursyid itu ‘buta’ kerana tidak melihat yang selain Allah; dan murid pula ‘buta’ kerana tidak dapat melihat Allah.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. (Surah At-Taubah: Ayat 119)

Ayat di atas menggariskan kepentingan menyertai dan bergaul dalam lingkungan para Nabi diikuti oleh para Sahabat, Tabiin dan Sheikh kerana mereka, ‘orang-orang ‘alim dan Arifbillah adalah pewaris para Nabi dan Rasul’.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan. (Surah Al-A’raaf : Ayat 181)

Jika kita ingin menuju ke suatu tempat yang belum pernah kita terokai atau sampai sebelum ini, tanpa seorang pemandu jalan, mahir dengan selok-belok untuk menuju ke sana, perjalanan seseorang akan gagal menemui matlamatnya. Memiliki sepasang mata yang terang dan sepasang kaki yang berotot amat kuat dan menghafal banyak kitab bukanlah menjadi prasyarat atau jaminan. Yang pasti, perjalanan ini adalah amat mustahil dilaksanakan tanpa kehadiran seorang penunjuk atau pembimbing.

Ingatlah, jika perjalanan zahir pun tidak menjamin keselamatan dari bahaya dan lain-lain, apatah lagi perjalanan rohani yang mengundang lebih banyak dan serba-ragam petaka, seperti hawa nafsu, petaka dunia, syaitan iblis, akhlak buruk dan selainnya yang menjadi penghalang/hambatan kepada perjalanan tersebut.

Zaman sekarang terdapat ramai cerdik bijak pandai, para intelek dan ahli dunia yang lebih percayakan kepada kemampuan dan ketokohan diri mereka sendiri dalam menggapai pengertian agama menurut kuasa intelek mereka sendiri. Mereka meredah rimba demensi ghaib hanya dengan menggunakan kuasa intelek dan nafsu mereka dan apa lagi, seringkali berkesudahan dengan kecundangan, malah kehilangan akidah keimanan. Astagfirullah

Para ahli syariat pula, setelah membaca kepada kitab karya tokoh-tokoh Sufi seperti Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Maulana Jalaludin Rumi, Syaikhul-Akbar Ibn al-Arabi dan Ulama sufi selainnya, mereka mencuba dengan daya intelek mereka untuk memahami mesej dan matlamat karya-karya agung itu diciptakan. Maka mereka dengan mudah menghukum sesat dan sebagainya, Sedangkan mereka hanya tahu bahasa arab bukan bahasa Ahli sufi. Ulama sufi itu suka berkias maka mereka tafsirkan pula ikut sesuka hati mereka yang merasa bijak pandai tanpa merujuk kepada ahlinya.

Harus digariskan di sini, para tokoh ilmuan tersohor tersebut adalah juga pengasas dan pengamal aliran Tarikat Sufiyyah masing-masing, aliran penyelamat umat, tokoh sebenar pewaris Nabi, yang tanpa melalui dan menuruti jejak langkah, jalan Tariqah dan Suluk mereka, bagi umat terakhir ini, segala bicara, hujah, dan polemik, adalah merupakan alasan, perasaan dan perasan bagai angin lalu semata-mata.

“Anda hanyalah seekor semut, Sedangkan perjalanan itu walau nikmat serba-warna, penuh liku-bahaya. Awas, aduhai ikhwan, bertindak meraba penuh duga, hanya kerana mendengar insan lain berbicara.

Bingkas, rentas dan carilah seorang pemandu dan pembimbing aduhai insan buta melata!

Khidmatnya lebih engkau perlukan dari yang wujud segala. Rendahkan sayapmu, hancur-leburkan segunung ego mu, agar pembimbingmu menjadi Rabitah dan Wasilah di qalbu. Andai tidak demikian, wujudmu hanya buih di lautan, yang hilang ditelan ombak.

Seorang murid/salik, ketika melakukan perjalanan rohani (spiritual) ini harus melalui beberapa hal dan maqom (tingkat/darjat). Di saat qalbu/roh si murid dicuci/suci bersihkan dari pakaian-pakain lazimnya sebelum ini, maka cahaya Ketuhanan akan menyelinap masuk menyinar dan menerangi segenap ruang dan liang dalam dada dan kullu jasad zahir batin si murid. Ketika itu enigma, misteri dan rahsia akan terbuka, wahyu-ilham sering menyapa, dan pelbagai keajaiban boleh berlaku tanpa arah dan iradah dari sesiapa.

Pengawasan seorang Sheikh /Mursyid amat penting di saat murid dipertontonkan hakikat sesuatu, yang belum pernah dilihatnya; apalagi hakikat diri dan hakikat Tuhan yang serba mengeliru dan menghairankan, dalam dimensi yang mengajaibkan. Andai tiada seorang Syeikh Arifbillah membantu murid tersebut, kegagalan adalah suatu kepastian.

Lazimnya seseorang yang berhasrat tinggi bagi mendapat perkenan diRaja dalam bentuk darjat dan kemuliaan, dan menikmati kebebasan keluar masuk dan bergerak di dalam istana MahaRaja, terlebih dahulu perlu mendapatkan akses dari MahaRaja, sekurang-kurangnya melalui seorang kepercayaan MahaRaja, kerana tumpuan MahaRaja hanya terhadap orang kepercayaannya.

Dalam hubungan yang sama, barang siapa yang berupaya menambat dirinya kepada seorang Sheikh/ Guru Mursyid (Akrab Tuhan, Pemangku MahaRaja), akan dapat mencapai yang dihajatinya kerana Mursyid adalah wasilah bagi menggapai /Mengenal Tuhan. Melalui imbasan, kesucian, dan kejernihan Ma’rifatnya mampu menyingkap ragam seribu-satu rahsia dari Alquranul Majid dan Hadits Rasul, mentakwil dan menerapkan ilmu dan ilham wahyu keTuhanan yang berkait rapat dengan suluk tariqah seorang murid dan anjakan dan transformasi Qalbunya.

Seorang murid, setelah melakukan sumpah ‘BAI’AT’ taat setia dengan Mursyidnya, simboliknya dengan Allah SWT; setelah menyerahkan hal ehwal dirinya kepada seorang Mursyid akan terus patuh dan memerhatikan segala urusan dirinya mendapat restu keizinan Mursyid.

Murid tidak boleh meninggalkan Mursyid berkepergian ke mana pun tanpa izinnya, mengambil pembimbing lain atau bergaul dengan kumpulan yang tidak diredai. Apabila seorang murid memutuskan hubungan dengan Mursyidnya bermakna ia juga telah memutuskan Hablum Minallahnya yakni, memutuskan aliran taufik, berkat, hidayah dan rahmat dari Tuhannya. Menurut fahaman jumhur Sheikh Tarikat tasawuf, murid dianggap telah mengkufuri nikmat perjalanan rohaninya dan dikhawatiri tidak mendapat keselamatan (Isim).

Jika seorang murid itu menjuruskan kepatuhan tulus, ia akan menambat kasih Mursyidnya, yang akan sentiasa menadah, menggamit, menagih dan meraih cinta kasih Tuhan keatas muridnya. Kerana khidmat dan cinta kasih seorang murid terhadap Mursyid (simbolik Rasul Muhammad SAW) adalah juga persembahan yang serupa terhadap Allah Azza Wajalla.

Maha Benar Allah di atas firman-Nya yang agung;

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ali ‘Imraan : Ayat 31)

Sifat Jamaal (keindahan) seorang Sheikh yang telah Wasil (sampai) dan sempurna maqomnya, akan terpancar di cermin Qalbunya. Apabila seorang murid yang benar, menyedari hakikat Sifat keindahan kerohanian dimiliki seorang Sheikh, ia akan merasakan sentuhan pengaruh tersebut menyentuhi hati dan jiwanya. Justeru, ia dapat merasakan di dalam hatinya suatu kuasa gamitan, tarikan yang mencetuskan perasan kasih, lembut, tenang, damai, selamat, kekuatan dan azam bagi meneruskan mujahadah perjuangannya hingga ke akhir.

Selagi murid itu tidak tulus, taat, hormat dan kasih kepada Sheikhnya, ia akan mendapati perjalanannya terumbang-ambing, tidak mencapai istiqomah, dan sering berdepan dengan musibah hijab dan pelbagai rintangan yang mengganggu perjalanannya.

Perawakan rupa dan perwatakan seorang Syeikh itu jangan dijadikan suatu isu, selagi ia dan keberadaannya di dalam Cinta kasih Tuhan.

Sememang mencari dan mendapatkan seorang Guru Mursyid adalah perkara yang sukar sekali terutamanya di zaman yang di tengah-tengah kehadiran bilangan ‘pendakwah-pendakwah’ di akhir zaman kini, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Sememang tidak mudah, kerana yang mudah dan segelintir yang terkenal biasanya adalah ‘ulama su’u yang boleh didapati di mana-mana pada hari ini.

‘Aduhai Qalbu, andai engkau ingin menagih Cintakasih Sang Maha Kekasih, tersungkur sujudlah dan akur menuruti perintanNya, Jika Dia Memerintah, ‘Perah airmata darah!’ Jangan di tanya, ‘Kenapa?’ Andai Dia Memaksa, ‘ Pertaruh nyawamu!’ Janganlah berdalih dengan protokol dan tatacara!’

Dalam suluk kerohaniannya, seorang murid yang sampai akan merasakan getaran dan gelora perubahan batin dirinya. Ibadahnya lebih tawadhuk dan mendalam serta ikhlas. Lidahnya menyebut diiringi batin yang bergetar, dibukakan juga keadaan diri, kasyaf akan hakikat keimanan dan kedudukannya disisi Tuhan Allah Azza Wajalla.

Antara hijab-hijab atau krisis kerohanian yang seringkali merintangi murid dalam perjalanannya adalah seperti ;

  1. Hijab Nafsu – Pengaruh hawa nafsu rendah ini sering memerangkap murid hingga tenggelam dalam ehwal keduniaan
  2. Hijab Cahaya – Sering meruntun murid untuk beribadah semata sehingga melupakan tanggungjawab lain yang ada
  3. Hijab Maqom – Yang sering menenggelamkan murid dikala terpaan ilham kasyaf yang terlalu mengasyikkan
  4. Hijab Hakikat – Sesuatu yang ketika dinyatakan boleh menghambat perhatian dan kesinambungan suluk seorang murid
  5. Hijab al-Hulul dan Ittihadi – Perbezaan dan pemahaman kedua-duanya yang halus dan boleh menjerumuskan seorang murid kecdalam rimba kecelaruan dengan menyangka dirinya telah menyatu dengan Tuhan

Kerana Tuhan tetap Tuhan; dan hamba tetap hamba selayaknya!

Selagi murid tersebut tidak terjebak dengan hijab diri dan tidak terjauh dari kedekatan Tuhan (Qurb), keimanan, yaqin dan kemaafan/keampunan (maghfirah) Tuhan akan diperoleh murid semahunya.

Kerana Dia adalah Tuhan yang boleh mengurniakan betapa hebat anugerah kepada seluruh semesta raya, dengan kehendakNya! ‘Adakah sesiapa yang ingin mengadu?’ ‘Adakah sesiapa yang ingin menemukan?’ ‘Di manakah orang-orang yang inginkan pengampunan?’ ‘ Pohonlah kepadaKu; kerana Kemurahan ku tiada batasan!’ demi kemurahan pemberianKu walau kepada siapa yang tidak pun meminta!’

Aduhai Ikhwan!

Kesemua ini diperoleh dari khazanah perbendaharaan Tuhan Maha Kaya. Kurniaan rahmatNya tanpa syarat. Hanya manusia sering meletakkan tuntutan dan syarat setelah melaksanakan sesuatu kebajikan, walau suatu trivia, sehalus debu.

“Andai diri berada di dalam Bahtera Nuh, andai diri berada di dalam perut Ikan Nun di laut dalam bersama Yunus, andai diri berada di dasar Laut Merah bersama Musa, kita tidak perlu tahu berenang!”

‘Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia Menunjukkan Tariqah/jalan yang lurus.’

WABILLA HITTAUFIQ WAL HIDAYAH.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s